|
Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri
Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum
Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden
Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) di Majlis
Muzakarah Ke-2 Bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di Dewan
Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada hari Selasa, 6
Julai 2010.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, selawat dan salam, ke atas Rasul Agung kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat, serta pengikut-pengikut Baginda, yang taat lagi jujur serta amanah hingga ke akhir zaman.
Kaola terlebih dahulu, mengucapkan terima kasih, di atas kesudian Yang Berhormat Pehin, untuk menjadi tuan rumah kepada Majlis Muzakarah Ke-2 di antara Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada pagi ini, iaitu setelah lebih kurang tujuh bulan, dari Majlis Muzakarah yang pertama diadakan, pada 17 November 2009, yang lalu.
Seperti yang Kaola tekankan di Majlis Muzakarah yang pertama, tujuan permuzakarahan seperti ini adalah untuk kita sama-sama membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana untuk memperkembangkan sukan di negara ini ke tahap yang lebih baik, di samping untuk melahirkan suasana yang lebih harmoni dan bersefahaman di antara BDNOC dan KKBS, di dalam kita sama-sama berusaha untuk mengharumkan nama negara.
Di Majlis Penyerahan Bendera kepada kontinjen negara ke 3rd Asian Indoor Games 2009, Viet Nam, pada 26 Oktober 2009 tahun lepas, ada Kaola tekankan, bahawa pencapaian atlet negara masih di tahap yang mendukacitakan, berbanding dengan South East Asian Games (SEA Games), yang kita adakan di negara ini, pada tahun 1999. Kaola berpendapat, ada baiknya kitani, menilai semula, mengapa usaha dan perancangan, semasa SEA Games 1999 itu, dapat membuahkan, pencapaian yang cemerlang. Setelah melihat, kepada pencapaian atlet-atlet negara, termasuk pesta-pesta sukan, serantau dan antarabangsa, sejak 3rd Asian Indoor Games 2009 diadakan, usaha dan perancangan, yang kita laksanakan, bagi SEA Games 1999 itu, mungkin masih relevan di masa kini.
Sehubungan dengan ini Kaola sukacita, ingin mengetahui usaha-usaha dan perancangan-perancangan, kementerian Ppehin ke arah ini. Apakah ada kajian-kajian, yang dibuat, sama ada satu-satu usaha dan perancangan itu, dapat dilaksanakan dengan efektif dan membuahkan kejayaan yang diharapkan. Apakah kita, hanya mampu melahirkan atlet-atlet yang berprestasi tinggi, ketika ketika negara ini, menjadi tuan rumah SEA Games sahaja, seperti tahun 1999, atau apakah kita mampu, melahirkan atlet-atlet sedemikian, bagi SEA Games, yang akan diadakan di negara ini, di masa akan datang?
Soalan-soalan seperti ini, pernah Kaola sentuh dan tanyakan di masa-masa yang lalu dan jika perlu, kaola tidak akan pernah jemu bertanya lagi, di masa-masa akan datang, demi kemajuan dan kecemerlangan sukan di negara ini.
Sebelum kitani beralih ke Agenda 2, seperti jua yang pernah Kaola jelaskan di Majlis Muzakarah yang pertama dahulu, peranan BDNOC itu, bukanlah sekadar memberikan pengiktirafan (endorsement), ke atas penyertaan atlet-atlet, pelatih-pelatih, pegawai-pegawai sukan, media dan penyalur jemputan-jemputan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri Sukan untuk berangkat hadir/menghadiri ke kejohanan-kejohanan sukan, serantau mahupun antarabangsa, malah lebih dari itu. BDNOC adalah satu-satunya, badan induk sukan di negara ini, yang diiktiraf oleh International Olympic Committee (IOC), untuk memastikan, sukan di negara ini, terus berkembang maju dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Alhamdulillah, penyertaan masyarakat, tidaklah menjadi isu di negara ini, kerana adanya dasar-dasar, bantuan-bantuan kewangan dan prasarana-prasarana sukan, yang disediakan oleh kerajaan.
Presiden BDNOC, bukan saja diberikan mandat, oleh IOC untuk memberikan endorsement, kepada atlet-atlet, yang akan mewakili negara, malah BDNOC juga, diberikan hak, untuk menentukan dan memilih mana-mana juga atlet, yang difikirkan berkelayakan, untuk menyertai kejohanan-kejohanan sukan, sama ada di peringkat serantau, mahupun antarabangsa. Walau bagaimanapun, BDNOC insya-Allah, akan sentiasa menghormati, keputusan yang disalurkan, melalui KKBS, asalkan atlet-atlet yang dipilih itu, memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Kaola berharap, kedudukan BDNOC, sebagai badan induk sukan, yang diiktiraf oleh IOC, akan dapat difahami bersama, demi mengelakkan kekeliruan dan salah faham. Dengan adanya kefahaman itu, dapatlah keduanya bekerjasama, bersatu padu, bertukar-tukar pandangan secara terbuka, saling beringat-ingatan, tentang tanggungjawab masing-masing, dalam sama-sama, membangunkan sukan di negara ini, ke tahap yang cemerlang, selaras dengan kehendak Para: 5.13, Muka Surat 9, Dasar Sukan Negara.
Bercakap mengenai beringat-ingatan, sukacita Kaola menarik perhatian abis Pehin, tentang First Youth Olympic Games (YOG), yang akan diadakan di Singapura, mulai 14 hingga 26 Ogos 2010, akan datang. Tarikh tutup penyertaan, kalau Kaola tidak silap, ialah pada 15 Julai 2010, iaitu lebih kurang sebelas hari dari sekarang. Negara Brunei Darussalam, mesti menyertainya. Jika tidak, besar kemungkinan, akan mengundang padah, iaitu penggantungan keahlian di dalam IOC. Jika ini terjadi, Negara Brunei Darussalam, tidak akan dibenarkan, untuk menyertai mana-mana jua pesta sukan, yang diiktiraf oleh IOC.
Untuk makluman abis Pehin, keahlian Negara Brunei Darussalam dalam IOC, hampir-hampir saja digantung kerana gagal menghantar atlet untuk menyertai Beijing Olympic Games 2008. Alhamdulillah, atas usaha dan alasan-alasan yang diberikan, BDNOC telah berjaya meyakinkan pihak IOC, untuk tidak menggantung keahlian Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun pihak IOC, telah memberikan amaran yang keras, iaitu jika Negara Brunei Darussalam, di masa-masa akan datang, gagal menghantar atlet ke Olympic Games, keahlian dalam IOC, secara automatik akan digantung. Inilah yang merisaukan Kaola, kerana YOG itu juga merupakan sebahagian daripada Olympic Games.
Berbalik kepada BDNOC, selain daripada terus berusaha, Kaola sebagai Presidennya, mengalu-alukan better ideas, pandangan dan cadangan, daripada pihak Pehin, bagaimana BDNOC, seharusnya memainkan peranannya, di masa-masa akan datang, terutama sekali dalam usaha kitani merealisasikan falsafah Dasar Sukan Negara Para: 3.5.3, Muka Surat 6. 'Mempertingkatkan mutu pencapaian individu dan kecemerlangan melalui pertandingan antarabangsa yang menghasilkan kebanggaan diri, keluarga, bangsa dan negara'.
Sekian. Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |