|
Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota
Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di Pertandingan Membaca
Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1431H / 2010M
(Malam Pertama), bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
pada hari Rabu, 13 Jamadilakhir 1431 bersamaan 26 Mei 2010.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Alameen, Wassalaatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Aajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas izin serta limpah rahmat-Nya jua, kita berkesempatan hadir di majlis pertandingan pada malam ini, dan akan menyaksikan beberapa orang qari dan qariah muda, yang akan mempersembahkan bacaan masing-masing.
Pengelibatan generasi muda dalam pertandingan ini sejak beberapa tahun kebelakangan, menggambarkan bertapa dasar dan sistem penggalakan membaca Al-Quran, dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa, merupakan usaha beterusan Kerajaan Paduka Ayahanda, ke arah menyuburkan syiar Islam, serta penglibatan dan penghayatan masyarakat bagi memantapkan ketaqwaan masing-masing, telah mula menampakkan keberhasilannya.
Adalah setentunya menjadi kewajiban semua, untuk memastikan usaha bagi meningkatkan kemahiran dalam pembacaan Al-Quran, akan sentiasa diteruskan dan dilipat-gandakan, bagi melahirkan generasi penerus yang mahir dalam bidang pembacaan, serta menghayati Al-Quran sebagai panduan kehidupan yang syumul.
Generasi belia negara ini, sudah sekian lama didedahkan kepada kaedah pembacaan, serta pengajian Al-Quraan, sama ada melalui alam persekolahan dan sistem pendidikan negara, mahupun atas inisiatif para ibu bapa sendiri. Pendedahan berterusan yang dimulakan pada usia yang masih muda itu, tidak syak lagi mempunyai pengaruh yang besar ke atas usaha, menyemaikan nilai-nilai murni dikalangan rakyat dan penduduk di negara ini.
Kita sememangnya amat menjunjung tinggi hasrat Paduka Ayahanda, yang mengambil perhatian berat terhadap kepentingan pendidikan ugama, dengan menjadikan matapelajaran Pengetahuan Ugama Islam, sebagai salah satu matapelakaran teras dalam SPN21.
Kita juga bersyukur, atas titah Paduka Ayahanda, yang menekankan peri mustahaknya usaha-usaha dibuat pada mewajibkan Persekolahan Ugama, kepada semua kanak-kanak yang berugama Islam di negara ini, bagi memastikan generasi yang celik ugama dan berpegang teguh kepada ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya, serta sentiasa pula mengamalkan nilai-nilai akhlak yang luhur serta terpuji.
Pada hemat saya, pandangan jauh Paduka Ayahanda itu amat relevan, dalam usaha dan hasrat ke arah menjadikan negara ini sentiasa dilimpahi rahmat, berkat dan nikmat dari Allah Subhanahu Wata'ala, dengan mengharapkan negara akan sentiasa berkeadaan selamat dan aman tenteram, serta terhindar dari apa jua jenis bala bencana yang tidak diingini.
Dalam pada itu, permantapan nilai-nilai rohani, dan ukhuwah Islamiah di kalangan rakyat dan penduduk negara ini, adalah selaras jua dengan hasrat yang terkandung dalam Wawasan Brunei 2035, iaitu bagi memastikan keseimbangan pembangunan fizikal dan kerohanian rakyat dan penduduk.
Kita amat bersyukur atas berbagai nikmat yang tidak ternilai kurniaan Allah Subahanahu Wata'ala kepada diri dan negara kita, termasuklah keadaan negara yang aman tenteram dan kemakmuran, serta taraf kehidupan antara yang terbaik dirantau ini. Sebagai tanda kesyukuran itu, kita patutlah berusaha memantapkan diri dan masyarakat, untuk membudayakan pembacaan serta penghayatan ajaran kitab suci itu.
Kita setentunya harus mengakui bahawa, perkembangan arus global, akan terus mencabar dan meguji keutuhan pegangan kita.
Oleh yang demikian, kita memerlukan agenerasi yang berilmu, memiliki syaksiah yang hebat, serta mempunyai jatidiri muslim yang sebenar, yang kita yakini akan membolehkann kita mampu berdepan dengan cabaran dan ujian tersebut dengan jayanya, serta menyumbang kepada keharmonian sejagat.
Jatidiri itu akan lebih mantap dengan ketaqwaan kepada Allah, yang mampu menghalang segala bentuk anasir dan pengaruh negatif, yang boleh membawa kepada keruntuhan nilai murni itu, seperti maskud firman-Nya dalam Surah Al-'Imran ayat 102:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam".
Taqwa itu menyuburkan nilai-nilai luhur di kalangan generasi muda, untuk beradab sopan, tertib, jujur dan tabah serta cekal dengan minda yang positif.
Justeru itu, generasi muda perlu terus menerus diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredahi Allah Subhanahu Wata'ala, sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan bagi mencapai kemajuan dan pembangunan negara yang seimbang.
Sebaliknya, jika masyarakat dan generasi yang mengaku dirinya beriman, tetapi tidak memiliki serta mempratikkan nilai-nilai taqwa tersebut, pasti akan berlaku berbagai kepincangan dalam masyarakat, yang hanya berpaksikan kepada kemawahan dan kepentingan berbentuk duniawi sahaja. Perlu diingat bahawa, sebarang kemungkaran hanya akan membawa kehancuran kepada masyarakat dan negara, disamping kesengsaraan yang bakal menanti di akhirat kelak.
Akhirnya, dengan berkat kalimah "Bismillah Hir Rahman Nir Rahim", selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallalhu 'Alaihi Wasallam, saya dengan sukacita merasmikan Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1431 Hijrah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|