|
SABDA Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota
Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di Majlis Pelancaran Simposium
Tempat Kerja Sihat Perkhidmatan Awam 2010, bertempat di Dewan
Persidangan BRIDEX Jerudong pada hari Isnin, 18 Jamadilawal 1431
bersamaan 3 Mei 2010.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Alameen, Wassalaatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Aajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua dapatlah kita hadir di Majlis Pelancaran Simposium Tempat Kerja Sihat Perkhidmatan Awam pada pagi ini.
Saya sukacita merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan atas inisiatif penganjuran simposium sebagai tindakan susulan kepada hasil maklumat yang diperolehi daripada 'Program Pemeriksaan Kesihatan Menyeluruh dan Promosi Kesihatan Bagi Warga Perkhidmatan Awam'.
Dalam pada itu, usaha Kementerian Kesihatan dalam mengungkayahkan program pemeriksaan kesihatan tersebut adalah amat dialu-alukan dan relevan bagi mengumpulkan maklumat dan gambaran sebenar mengenai status semasa beberapa kementerian telah mengambil inisiatif dalam mempromosikan kesihatan di kementerian masing-masing.
Dapatan dari penganalisaan maklumat semasa itu setentunya akan membolehkan langkah-langkah yang konkrit diambil segera demi memperbaiki status kesihatan warga Perkhidmatan Awam, yang mana perkara tersebut memainkan peranan penting dalam usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti organisasi.
Kelangsungan pelaksanaan agenda pembangunan negara dan tahap pencapaian yang dapat diraih adalah bergantung kepada tahap kemahiran, pengetahuan dan kecekapan semua anggota Perkhidmatan Awam dengan tahap kesihatan diri yang memuaskan bagi memaksimakan keupayaan dalam menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.
Kita di negara ini sangat beruntung kerana komitmen serta usaha berterusan kerajaan paduka ayahanda dalam pelaksanaan pelbagai dasar yang menjurus kepada pembangunan sosioekonomi, prasarana awam serta kemudahan asasi, termasuklah sistem penjagaan dan kemudahaan kesihatan yang komprehensif telah membolehkan kita menikmati status kesihatan di tahap yang sangat tinggi.
Bagaimanapun kita tidak sepatutnya sudah berpuas hati dengan pencapaian tersebut bahkan haruslah sentiasa berusaha mendapatkan maklumat mengenai dengan status semasa kesihatan setiap warga seperti titah paduka ayahanda di Majlis Pelancaran Konvokesyen Kebangsaan Promosi Kesihatan pada 24 Julai 2004 bahawa 'Kesihatan adalah tanggungjawab semua'.
Justeru itu, warga Perkhidmatan Awam adalah disarankan untuk berganding bahu menanai tanggungjawab tersebut dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pengambilan pemakanan yang seimbang, di samping menjauhkan diri daripada tabiat-tabiat yang memudaratkan kesihatan, seperti merokok, yang terbukti mengancam kesihatan perokok itu sendiri dan orang-orang di sekelilingnya.
Peningkatan trend semasa penyakit kronik di negara ini seperti penyakit jantung, kanser dan diabetes adalah berkait rapat dengan cara hidup yang kurang sihat. Menurut statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2008, hampir 50 peratus kematian di negara ini adalah berpunca daripada tiga jenis penyakit kronik tersebut.
Peningkatan kes penyakit kronik di kalangan penduduk di negara ini termasuk warga Perkhidmatan Awam setentunya akan mengundang beban kepada kerajaan dari segi kos rawatan yang kian meningkat setiap tahun. Dalam konteks Perkhidmatan Awam pula, kes penyakit kronik adalah salah satu penyebab ketidakhadiran bekerja, sama ada kerana keperluan mendapatkan atau menjalani rawatan pesakit luar dan dalam hospital atau diberi cuti sakit.
Natijahnya, akibat daripada penyakit kronik tersebut organisasi akan turut menghadapi pengurangan produktiviti dan efisiensi yang secara tidak langsung akan menjejaskan keupayaan serta mutu penyampaian Perkhidmatan Awam.
Simposium ini adalah langkah yang bertepatan ke arah mempromosi kesihatan di kalangan warga Perkhidmatan Awam serta menanamkan kesedaran tentang kepentingan aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja masing-masing yang dapat dilaratkan kepada ahli keluarga dan masyarakat amnya.
Di kesempatan ini juga, saya ingin menekankan bahawa usaha-usaha mempromosikan kesihatan dan mencegah penyakit memerlukan penglibatan aktif dan usaha sama dari semua pihak termasuklah agensi-agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, kumpulan-kumpulan masyarakat serta orang ramai amnya.
Saya juga ingin menekankan bahawa kepimpinan di dalam organisasi memainkan peranan penting dalam mewujudkan tempat kerja yang sihat dan selamat. Setiap ketua organisasi perlu fokus dan memberikan komitmen yang berterusan agar budaya cara hidup sihat dapat dihayati sepenuhnya demi mendukung pencapaian matlamat Wawasan Negara 2035, iaitu 'Kehidupan yang berkualiti dan menjana ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan'.
Akhirnya, dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim dan selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Majlis Pelancaran Simposium Tempat Kerja Sihat Perkhidamtan Awam dan Buku 'Panduan Penjualan dan Penyajian Makanan dan Minuman Sihat Di Tempat Kerja'.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |