|
SABDA Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul
'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah di Majlis Perasmian Penutupan
Rasmi Persidangan Belia Islam Asia Tenggara Sempena Sambutan Jubli
Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, bertempat di Songket
Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, pada hari Khamis, 28
Muharam 1431 bersamaan 14 Januari 2010.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil'alameen, Wassalaatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Aajma'een, Waba'du.
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, Tuhan seru sekalian alam, kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, kita dapat sama-sama hadir di Majlis Persidangan Belia Islam Asia Tenggara yang penuh berkebajikan pada petang ini.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Persidangan ini adalah merupakan satu peluang keemasan bagi semua peserta untuk bertukar-tukar fikiran, pandangan dan berkongsi pengalaman bagi mengukuhkan perpaduan.
Saya telah difahamkan bahawa berbagai kertas kerja telah dibentangkan oleh mereka yang ahli dalam bidang masing-masing, termasuk penyampaian kertas-kertas kerja mengenai pencapaian kegiatan belia Islam di setiap negara yang ikut serta dalam persidangan ini.
Semuanya itu adalah bagi mencapai hasrat di sebalik tema persidangan ini iaitu, 'Perpaduan Belia Islam Menjana Kecemerlangan'.
Tema ini amat relevan atas kepercayaan bahawa para belia adalah merupakan generasi penerus yang memainkan peranan penting dalam memastikan kemantapan perpaduan yang setentunya menjadi asas dalam usaha ke arah mencapai kecemerlangan ummah.
Oleh itu, usaha bagi memperkukuhkan perpaduan belia Islam amat mustahak untuk sentiasa diperhebatkan, demi memelihara nama baik Islam dan umat Islam itu sendiri.
Saya berharap, para belia akan mengambil manfaat dan pengajaran daripada hasil persidangan ini, khasnya bagi menyusun langkah-langkah yang bijak dan berkesan, ke arah menjana kecemerlangan melalui perpaduan di kalangan belia Islam yang lebih kukuh dan matang.
Saya juga berharap supaya persidangan ini akan dapat dijadikan asas bagi mewujudkan jaringan kerja yakni Networking dan kerjasama di antara belia Islam di rantau Asia Tenggara ini dan seterusnya membantu di dalam pembentukan program-program pembangunan belia yang menjurus ke arah perpaduan belia Islam dan kecemerlangan ummah.
Akhirnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak yang turut menjayakan persidangan ini.
Saya berharap usaha seumpama ini akan dapat difikirkan supaya diperbanyakkan lagi di masa hadapan, demi memastikan supaya hasrat suci bagi perpaduan belia Islam dan kecemerlangan belia dan umat Islam itu akan tercapai.
Maka dengan lafaz 'Bismillahir Rahmanir Rahim' serta selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya tutup secara rasminya Majlis Persidangan Belia Asia Tenggara, sempena Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatulahi Wabarakatuh. |