Monday, May 20, 2013
   
TEXT_SIZE

Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ketujuh

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ketujuh Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada hari Khamis, 15 Sya’aban 1433 bersamaan 5 Julai 2012 di Sekolah Pegawai kadet, Perkhemahan Sungai Akar, Negara Brunei Darussalam.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan bersyukur dan gembira, beta mengucapkan syabas kepada Pegawai-pegawai Kadet atas pertunjukan perbarisan mereka yang memukau lagi bersemangat.

Beta turut berbahagia dapat hadir di upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ketujuh Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ini.

Beta juga mengambil maklum, bahawa 26 orang Pegawai Kadet telah pun berjaya menjalani latihan padu mereka selama 42 minggu. Di antara mereka itu, termasuk juga dua PegawaiKkadet pemegang biasiswa pemerintah tertinggi dan biasiswa ABDB. Ini adalah merupakan 'sejarah manis' seumur hidup bagi mereka.

Tidak syak lagi, latihan dan pembangunan sumber tenaga manusia yang seumpana ini adalah sangat penting bagi kesinambungan sesebuah institusi, dan malah juga secara ‘amnya, turut menyumbang kepada kemajuan dan masa depan negara.

Fungsi latihan adalah sebagai pelengkap dalam makna mereka yang menjalani latihan itu adalah sedang melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu, dengan kebolehan dan kemahiran yang sangat-sangat diperlukan.

Berasaskan ini, jika kita terangsang untuk mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai yang telah berjaya menjalani latihan maka kita juga adalah wajar untuk merakamkan penghargaan dan tahniah yang sama pada para jurulatih mereka. Tanpa komitmen mereka hasil yang diharap-harapkan tidak akan menjadi kenyataan.

Beta percaya, para jurulatih telah pun melaksanakan tugas mereka dengan baik dan sempurna kerana mereka cukup memahami akan kepentingan latihan-latihan itu, sebagai punca untuk menentukan kualiti pegawai. Tanpa latihan yang berkualiti adalah mustahil untuk melahirkan pegawai-pegawai yang berkualiti pula.

Selain itu, patut juga disebut di sini, akan dukungan moral para ibu bapa yang merestui penglibatan anak-anak mereka dalam bidang pertahanan, adalah merupakan suatu wawasan besar lagi berani yang wajar untuk diberikan pujian.

Beta dengan ikhlas dan penuh bangga mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada para ibu bapa yang berkenaan, di atas sokongan dan kesedaran menggalakkan anak-anak mereka untuk menceburi bidang pertahanan ini.

Semoga restu dan doa mereka itu turut mendatangkan berkat dan rahmat kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada khususunya, dan negara pada umumnya.

Berbalik lagi kepada latihan, pengurusan perlulah terus dimantapkan dengan menambahkan beberapa kaedah, seperti paiwaian antarabangsa, computer-based training dan pengiktirafan akademik.

Sebagai langkah awal pada hemat beta, adalah wajar, supaya cadangan penganugerahan Extended BTEC, Diploma in Strategic Management and Leadership untuk mata pelajaran Sekolah Pegawai Kadet, dimulakan pada tahun depan.

Akhir kata, kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya pada Sekolah Pegawai Kadet Komandan, Colour Sergeant dan para jurulatih, beta sekali lagi merakamkan penghargaan atas usaha gigih mereka dan berharap semoga kualiti kejurulatihan akan terus berkembang melalui pengalaman yang boleh dibawa ke pengambilan Pegawai Kadet yang seterusnya.

Dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dan dengan berkat kalimah suci Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta sukacita mengurniakan Tauliah, sebagai Pegawai Tentera di dalam Angkatan Bersenjaa Diraja Brunei, kepada 26 orang Pegawai Kadet Pengambilan Ketujuh.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.