Thursday, June 20, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Sambutan Hari Metrologi Sedunia 2012

Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama di Majlis Sambutan Hari Metrologi Sedunia 2012 bertempat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama pada hari Sabtu, 19 Rejab 1433 Hijrah / 9 Jun 2012 Masihi

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera

SEGALA puji hanya bagi Allah Subhanahu Wata’ala selawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kerabat sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Sambutan Hari Metrologi Sedunia 2012 ini adalah kali pertama di sambut di Negara Brunei Darussalam dikendalikan oleh Pusat Standard Kebangsaan (PSK) Kementerian Perindustrian Sumber-Sumber Utama (KPSSU).

Metrologi ialah sains sukatan yang berhubung kait dengan pengukuran atau sukatan dan timbangan, pemantauan ke atas ketepatan (accurancy) timbangan dan sukatan adalah sangat diperlukan dalam kerja-kerja seharian untuk menjamin keselamatan dan perlindungan pengguna.

Sukatan dan timbangan secara tidak langsung merupakan satu perkara penting dalam kehidupan kita seharian. Ianya berhubung kait dengan kualiti kehidupan seperti kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan juga kualiti pemakanan. Untuk memenuhi keperluan-keperluan ini, infrastruktur metrologi melalui agensi-agensi yang berkaitan sedang giat
dibangunkan.

Metrologi di Negara Brunei Darussalam bukanlah satu perkara yang baru. Sejak 1912 Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah meluluskan Akta Sukatan dan Timbangan serta penubuhan satu unit sukatan dan timbangan di bawah kawalan Polis Diraja Brunei.

KPSSU melalui PSK pada masa ini sedang bergiat dalam meningkatkan infrastruktur metrologi di Negara Brunei Darussalam. Salah satu perancangan iaitu penubuhan Komiti Metrologi Kebangsaan di bawah penjagaan Majlis Standard Kebangsaan. Komiti ini berperanan sebagai penasihat dalam hal-hal berkaitan dengan objektif dasar kebangsaan bagi aktiviti-aktiviti sistem pengukuran, penilaian konformiti, pengurusan kualiti makmal dan makmal-makmal rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi menangani isu traceability, kementerian ini telah pun mengenal pasti perkhidmatan yang perlu dibangunkan iaitu perkhidmatan makmal kalibrasi dan makmal ujian bagi mendukung Program Persijilan dan Pengiktirafan Makmal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi memudahkan aktiviti-aktiviti eksport di Negara Brunei Darussalam melalui Cross Border Recognition. Dengan adanya perkhidmatan ini juga akan dapat memudahkan dan membantu makmal-makmal ujian di bawah agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk menepati keperluan Pengiktirafan Makmal seperti Good Laboratory Practice (GLP), ISO/IEC 17025 dan ISO 15189 dalam mendapatkan laporan ujian yang sahih. Ianya juga akan dapat membantu Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) serta industri-industri dan kilang-kilang dalam menepati standard persijilan antarabangsa seperti Persijilan Good Manufacturing Practice (GMP), Persijilan Produk, HACCP, ISO 22000, ISO 9001 dan ISO 14001.

Maka oleh kerana itu pihak kementerian ini telah mengubah suai dua buah makmal untuk dijadikan Makmal Kalibrasi dan Makmal Ujian. Makmal berkenaan dijangka akan dapat memberikan perkhidmatannya pada tahun depan untuk peralatan dan mesin bagi makmal-makmal di bawah agensi-agensi kerajaan, swasta, kilang-kilang pengusaha tempatan dan industri. Pihak kementerian juga merancang untuk membangunkan kebolehpercayaan dan keyakinan pihak pelanggan kepada perkhidmatan kalibrasi yang akan diberikan melalui pembangunan sistem pengurusan makmal mengikut standard antarabangsa seperti ISO/IEC 17025, sistem pengurusan alam sekitar ISO 14001 dan juga sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau juga dikenali sebagai 'Occupational Health and Safety Standard Management System' (OHSAS). Dengan adanya makmal kalibrasi tersebut itu nanti jelasnya, akan mampu membantu isu traceability serta mengukuhkan infrastruktur standard dan konforman dalam bidang metrologi yang sangat diperlukan bagi setiap negara bagi meningkatkan aktiviti-aktiviti perdagangan, keselamatan dan perlindungan pengguna di Negara Brunei Darussalam. Usaha ini selaras dengan tema Hari Metrologi Sedunia pada tahun ini iaitu 'Metrology For Safety' dan slogannya 'We Measure For Your Safety'.

Saya berharap dengan ada aktiviti sambutan Hari Metrologi Sedunia yang mana akan dirancang untuk diadakan setiap tahun di Negara brunei Darussalam akan dapat mendedahkan lebih lanjut akan kepentingan metrologi atau sains sukatan pada kehidupan seharian dan membantu pembangunan infrastruktur metrologi di Negara Brunei Darussalam dalam mendukung aktiviti-aktiviti perdagangan sains dan teknologi, industri-industri, kesihatan, keselamatan dan perlindungan pengguna.

Sebelum mengakhiri ucapan saya tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa tanpa usaha dan titik peluh mereka acara pada hari ini tidak akan berjalan dengan lancarnya. Semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala jua.