Speeches 2013
Majlis Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2012
Majlis Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2012
Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Majlis Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2012 bertempat di Time Square, Berakas pada hari Sabtu, 19 Rejab 1433 Hijrah / 9 Jun 2012 Masih
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan hidayah-Nya jua, kita dapat berkumpul bagi bersama-sama meraikan Hari Arkib Antarabangsa pada pagi ini.
Saya dimaklumkan bahawa Hari Arkib Antarabangsa yang diadakan pada setiap 9 haribulan Jun adalah sebagaimana jua yang ditetapkan oleh International Council on Archives (ICA) di mana Negara Brunei Darussalam telah menjadi ahli semenjak tahun 1984.
Tujuan utama kita menyambut Hari Arkib Antarabangsa ini adalah bagi mempertingkatkan kesedaran semua pihak yang berkepentingan khususnya decision makers, penjawat awam dan para arkivis serta orang ramai mengenai keperluan bagi pengurusan rekod dan pentadbiran arkib yang efektif dan penggunaan sumber-sumber informasi primer yang berakauntabiliti dan berintegriti ini bagi menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan akademik dan profesionalisme melalui penyelidikan dan rujukan.
Kita harus menyedari bahawa rekod-rekod kebangsaan yang berbentuk dasar, perundangan dan pensejarahan negara ini akan menjadi sebahagian dari warisan memori bagi sesebuah negara. Ianya adalah merupakan khazanah negara yang sangat penting dan tinggi nilainya kepada pembangunan bangsa.
Kepentingan merakamkan semua bentuk informasi mengenai sistem pemerintahan, pembangunan sosioekonomi adalah bagi keperluan kesinambungan dan memperkukuhkan bangsa dan negara untuk lebih berwibawa, dinamik dan penuh kematangan dalam menghadapi arus dan corak perubahan persekitaran geopolitik antarabangsa dan peradaban sejagat di era globalisasi. Ianya adalah juga untuk kesinambungan dan memperkukuh falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB).
Pada masa yang sama dengan adanya penyimpanan di arkib ini juga akan secara langsung menyediakan informasi yang authentic dan reliable sebagai rekod yang membentuk sebahagian besar dari memori manusia dalam konsep sejagat/dunia seperti mana dilaksanakan oleh United Nations Education, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) di bawah Program 'Memory of the World Register'.
Tema yang dipilih bagi menyambut Hari Arkib Antarabangsa bagi tahun ini iaitu 'Melindungi Rekod Untuk Masa Depan Kitani', adalah pada hemat saya, sangat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjana masyarakat bermaklumat yang akan dapat sama-sama membangun negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah baginda semasa Majlis Pelancaran Persidangan Kebangsaan mengenai Masyarakat Bermaklumat (NASIS) yang berlangsung pada 3 Syaaban 1426 Hijriah bersamaan 7 September 2005 Masihi telah menekankan ... "Masyarakat bermaklumat adalah merupakan agenda penting dalam membantu pembangunan ekonomi serta peningkatan taraf hidup. Peralihan ke arah masyarakat bermaklumat menjadi relevan disebabkan adanya peluang-peluang baru dalam pelbagai urusan dan aktiviti masyarakat."
Bertepatan dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut, rekod dan arkib, merupakan sebahagian besar sumber informasi yang relevan yang menyumbang dalam usaha-usaha berterusan Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mempertingkatkan taraf hidup secara holistik semua lapisan dan peringkat masyarakat.
Dalam perkara ini Arkib Negara yang bertanggungjawab dalam menguatkuasa dan melaksanakan peruntukan-peruntukan yang digariskan dalam Akta Arkib Negara Brunei Darussalam Penggal 116 perlulah berusaha dalam memastikan rekod-rekod kerajaan dan awam akan dikawal selia, didaftarkan, dipelihara dan dibuka bagi keperluankeperluan akses secara lebih mantap, berkesan dan efisien.
Pada hemat saya, semua proses yang menjana ke arah arkib berkualiti dan masyarakat bermaklumat ini memerlukan kerjasama bersepadu dari semua pihak-pihak yang berkepentingan tersebut sebagai contoh adalah mustahak bagi setiap pihak berkepentingan meneliti rekod yang terdapat di jabatan dan kementerian masing-masing sebelum diserahkan ke Arkib Negara Brunei Darussalam untuk dijadikan sebagai bahan arkib.
Saya berharap agar Arkib Negara Brunei Darussalam akan sentiasa mempertingkatkan usaha-usahanya bagi memastikan penyediaan dan pemberian perkhidmatan seperti perkhidmatan konsultansi pengurusan rekod dan akses akan sentiasa diberikan keutamaan. Adalah perlu Arkib Negara Brunei Darussalam mengadakan latihan kemahiran khususnya dalam bidang-bidang arkib dan pengurusan rekod.
Dalam era digital ini, Arkib Negara telah berkembang maju dengan pelaksanaan projek e-Arkib yang mana telah dapat dipergunakan sejak Januari 2012. Projek e-Arkib telah dilancarkan telah mulai memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan efektif serta mesra pelanggan secara online selain perkhidmatan konvensional. Penyediaan maklumat-maklumat dalam bentuk digital mebolehkan Arkib Negara berinteraksi dan berurusan dengan orang awam dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan, cepat dan berkualiti. Ini kerana melaluinya, orang awam dapat mengakses maklumat serta membuat sebarang permohonan melalui laman-laman web rasmi kerajaan yang telah disediakan mudah dan cepat.
Dalam hubungan ini saya berpendapat sudah tiba masanya, peruntukan-peruntukan dalam Akta Arkib Negara Brunei Darussalam akan dapat disemak semula agar ianya selaras dengan keperluan-keperluan semasa dan jangkaan-jangkaan masa hadapan bagi kepentingan negara. Ini termasuklah dalam meneliti perubahan-perubahan bentuk media dan format rekod yang dihadapi dalam era globalisasi dan kepesatan dalam kemajuan teknologi informasi, khususnya rekod-rekod elektronik.
Bagi mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Arkib Antarabangsa 2012 dan merakamkan berbanyak-banyak terima kasih di atas jemputan Jawatankuasa Majlis Sambutan Hari Arkib Antarabangsa bagi melancarkan majlis pagi ini.
Dengan bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala jua dan mengucapkan kalimat Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacita merasmikan Majlis Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2012.


