Sunday, May 26, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Pembukaan 'Bengkel Pelaksanaan Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010

Ucapan Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binte Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd. Salleh, Peguam Negara di Majlis Pembukaan 'Bengkel Pelaksanaan Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010 bertempat di Dewan Jubli Emas, Tingkat 2, Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Bandar Seri Begawan pada hari Isnin, 7 Rejab 1433 Hijrah / 28 Mei 2012 Masihi

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Petang

ALHAMDULILLAH kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat sama-sama hadir di Majlis Pembukaan Bengkel Perlaksanaan Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan), 2010.

Kaola / Saya terlebih dahulu, sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bahagian Penyelidikan dan Penelitian Undang-Undang kerana berkesudian menjemput kaola / saya hadir dan seterusnya menyampaikan ucapan dan menyempurnakan perasmian Bengkel.

Kaola / Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Bahagian Penyelidikan dan Penelitian Undang-Undang dan juga kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat atas usaha gigih mengungkayahkan bengkel seperti ini juga, kepada agensi-agensi yang lain yang memberikan kerjasama bagi menjayakannya.

'Bengkel Perlaksanaan Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010' ini adalah salah satu inisiatif Pejabat Peguam Negara sebagai salah satu projek selaras dengan visi pejabat ini menurut Pelan Strategik 2012 - 2017, iaitu untuk memberikan perkhidmatan perundangan berkualiti tinggi.

Ke arah itu, tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membantu agensi-agensi perlaksana bagi Perintah Undang-Undang Keluarga Islam memahami dengan lebih lanjut lagi peruntukan-peruntukan yang terkandung di bawah Perintah ini mengenai permohonan perlindungan berkenaan dharar syarie' atau keganasan rumahtangga. Adapun peranan Pejabat Peguam Negara dalam mengelolakan Bengkel ini hanyalah sebagai pemudahcara dan penasihat kepada agensi undang-undang yang berperanan penting dalam perlaksanaan undang-undang tersebut. Adalah dihajatkan dengan adanya Bengkel ini, objektif utama pindaan 2010 tercapai dan terlaksana iaitu untuk memberi perlindungan penuh kepada mana-mana mangsa keganasan rumahtangga.

Semenjak berkuatkuasanya pindaan tersebut pada tahun 2010, saya difahamkan, sebanyak 275 kes penderaan telah direkodkan oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak dalam tahun tersebut; 241 kes dalam tahun 2011 dan 53 kes direkodkan sehingga bulan April tahun ini, hanya terdapat sebanyak 12 kes yang telah didaftarkan di Mahkamah Syariah di bawah permohonan perlindungan dharar syarie. Manakala jumlah yang direkodkan di Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak tersebut tidak terhad kepada wanita dan isteri sahaja tetapi juga merangkumi penderaan terhadap suami dan kanak-kanak, termasuk lelaki dan perempuan, pemohon-pemohon bagi perlindungan dharar syarie' di Mahkamah Syariah hanyalah terdiri daripada kaum wanita dan para isteri. Peruntukan perlindungan di bawah Perintah Keluarga Islam ini sebenarnya tidaklah terhad kepada mangsa wanita sahaja tetapi adalah merangkumi semua mangsa penderaan keganasan rumahtangga seperti yang termaktub di bawah tafsiran 'anggota keluarga' di bawah Bab 60A Perintah tersebut.

Maka, adalah tidak mustahil jika dijangkakan bahawa angka permohonan bagi perlindungan dharar syarie' di bawah Perintah Keluarga Islam ini akan meningkat lagi pada masa akan datang. Oleh itu, kepentingan untuk memahami lagi proses-proses permohonan perlindungan dan apa jua proses-proses yang bersangkut-paut mengenainya seperti proses penyiasatan, bantuan khidmat nasihat keluarga, bantuan perubatan, bantuan penempatan di tempat perlindungan dan sebagainya diteliti dan dihalusi lagi untuk melicinkan lagi perlaksanaan undang-undang berkenaan.

Saya difahamkan bahawa proses permohonan perlindungan di bawah Perintah ini tidaklah semudah yang difikirkan walaupun beberapa carta kerja telah disediakan seawal tahun 2010 lagi bagi membantu agensi-agensi untuk memahami prosedur-kerja dan penglibatan masing-masing. Setelah beberapa permohonan dibuat di Mahkamah Syariah dengan beberapa kes berjaya mendapatkan perintah pelindungan, ternyata masih lagi terdapat kekeliruan, kewahaman dan ketidakpastian mengenai proses-proses permohonan, kerana, seperti mana-mana jua perkara yang masih baru, proses-proses ini masih belum dapat dilicinkan secara praktiknya. Saya difahamkan di Bengkel ini nanti, peserta-peserta akan diberi peluang untuk menunduki lagi carta-carta kerja tersebut dan mengenal pasti mana-mana perkara yang masih perlu diberikan perhatian dan seterusnya membuat beberapa cadangan atau susulan bagi memperbaiki proses-proses tersebut.

Kita semua menghormati prinsip keadilan, apatah lagi saya sendiri yang pernah menjadi Hakim sekian lama. Perlu saya tekankan di sini bahawa Bengkel ini tidaklah bertujuan untuk ikut campur di dalam proses Persidangan Mahkamah Syariah apatah lagi mempengaruhi keputusan mahkamah kerana di mana-mana sistem perundangan pun, Mahkamah atau Kehakiman mestilah bertindak secara bebas dan tersendiri, tanpa dipengaruhi oleh pihak eksekutif demi memastikan sistem keadilan yang berwibawa dan mendapat kepercayaan penuh masyarakat umum. Saya yakin pihak kehakiman juga mengalu-alukan inisiatif baik ini, supaya kita dapat memahami lebih jelas lagi proses, bukti dan lain-lain yang diperlukan dari segi Undang-Undang Keluarga Islam, khususnya.

Saya sangat berbesar hati memandangkan Bengkel yang dinamakan 'Bengkel Perlaksanaan Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010' mendapat sambutan yang sangat baik dari semua agensi-agensi dan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang bertanggungjawab dalam perlaksanaan Perintah tersebut. Keramaian peserta mengikuti bengkel seramai 94 orang menunjukkan minat dan niat baik agensi-gensi dan jabatan-jabatan yang terlibat untuk sama-sama memastikan bahawa perlaksanaan undang-undang yang baru dikuatkuasakan pada tahun 2010 ini dapat dijalankan dengan lebih efektif, efisien dan berkesan. Niat kita semua adalah semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita semua dan untuk mendapat keredaan Allah.

Saya percaya dan berharap bengkel dua hari ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua peserta agar kita dapat sama-sama menuju ke arah sistem perundangan dan sistem keadilan yang unggul dan berwibawa. Saya juga sentiasa menggalakkan bengkel-bengkel yang serupa juga akan terus dapat diungkayahkan oleh Pejabat Peguam Negara dan agensi-agensi lain bagi tujuan meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan mana-mana pihak sama ada pihak-pihak agensi kerajaan, pihak swasta atau orang awam mengenai undang-undang Negara Brunei Darussalam bagi memastikan undang-undang yang ada sekarang tidak hanya nampak indah dan tersusun dikajang kertas (good on paper) tetapi juga tersusun dan indah perlaksanaannya.

Maka dengan kalimah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’ Saya dengan sukacita merasmikan 'Bengkel Perlaksanaan Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010'. Semoga kita semua mendapat petunjuk dan ganjaran pahala dari Allah Subahnahu Wataala jua. Amin.