Sabda 2012
Majlis Pelancaran Persidangan kebangsaan Ejaan Jawi: Kaedah dan Penyelarasan
Majlis Pelancaran Persidangan kebangsaan Ejaan Jawi: Kaedah dan Penyelarasan
Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Persidangan kebangsaan Ejaan Jawi: Kaedah dan Penyelarasan bertempat di Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong hari Rabu, 14 Syaaban 1433H bersamaan 4 Julai 2012M.
Assalamu ’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu, ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabt serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia-Nya jua dapatlah kita bertemu dalam suasana yang harmoni, hadir dalam ‘Persidangan Kebangsaan Ejaan Jawi: Kaedah dan Penyelarasan’ pada hari yang mulia ini.
Pepatah Melayu ada mengungkapkan ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’, berkat permuafakatan di antara pihak penganjur dan pengendali, maka persidangan ini dapatlah menghasilkan percambahan minda yang boleh menyelesaikan masalah-masalah penggunaan ejaan Jawi yang tidak selaras pada masa ini.
Persidangan Kebangsaan Ejaan Jawi: Kaedah dan Penyelarasan ini diharapkan dapat menyatukan dan menyelaras suatu kaedah yang standard digunakan di Negara Brunei Darussalam sama ada di peringkat institusi pendidikan, mahupun agensi kerajaan dan sektor awam.
Penggunaan ejaan Jawi yang dipersetujui dalam persidangan ini akan mengatasi sebarang kekeliruan dalam menyelesaikan isu penggunaan ejaan Jawi.
Memang tepat dan wajar masalah ini perlu diselesaikan dengan segera dan bijaksana. Apa yang paling penting, ejaan Jawi akan terus digunakan di Negara Brunei Darussalam.
Apa yang paling penting, ejaan Jawi akan terus digunakan di Negara Brunei Darussalam.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, kata sepakat yang disuarakan dalam persidangan ini menunjukkan komitmen tinggi jawatankuasa penganjur dan pengendali dalam memartabatkan dan memperkasakan penggunaan ejaan Jawi dalam pelbagai bidang dan aspek.
Saya sukacita mengucapkan tahniah dan syabas atas usaha dan inisiatif dalam menggubal dan menyelaraskan kaedah Jawi yang mudah dipakai dan digunakan oleh semua pihak dan pencinta tulisan Jawi di negara ini.
Saya juga melahirkan rasa optimis setiap orang di negara ini hendaklah tahu dan faham mengeja dan membaca Jawi dengan baik dan betul.
Saya berharap dan berdo’a semoga penggunaan ejaan Jawi di seluruh Negara Brunei Darussalam ini dapat disebarluaskan penggunaannya dengan lebih dinamik dan berkesan.
Terdapat banyak ruang yang perlu diambil perhatian untuk menambah baik dan meningkatkan penguasaan tulisan Jawi di negara ini.
Peluang tersebut masih terbuka luas dengan usaha berterusan dan komitmen yang tinggi dari pihak kerajaan dan masyarakat dalam menghidupkan kembali dan membudayakan penggunaan ejaan Jawi di negara ini.
Ini menunjukkan keunikan dan keunggulan negara ini sebagai Negara Melayu Islam Beraja agar dapat merealisasikan Negara Zikir menuju Wawasan 2035 dengan cemerlang diredai Allah Subhanahu Wata’ala.
Akhirnya, dengan melafazkan kalimah Allah yang mulia dan selawat kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahumma Salli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa’ala ‘Alihi Wasahbihi Wasallim, saya dengan sukacita merasmikan Persidangan Kebangsaan Ejaan Jawi anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dikendalikan bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam pada hari ini, 14 Syaaban 1433 bersamaan 4 Julai 2012.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


