Saturday, May 25, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Perasmian Konferensi Islam Antarabangsa Borneo V (KAIB V)

Sabda Duli  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,  Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di Majlis Perasmian Konferensi Islam Antarabangsa Borneo V (KAIB V), di Dewan Persidangan BRIDEX Jerudong pada hari Rabu, 7 Syaaban 1433 Hijrah   bersamaan 27 Jun 2012 Masihi.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Persidangan Islam Antarabangsa Borneo Kali Kelima dengan tema 'Membongkar Rahsia Pendidikan Islam, Ilmu dan Keagungan Tamadun Islam di Borneo’.

Terlebih dahulu, saya merakamkan tahniah kepada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB)  dan Universiti Teknologi MARA Sarawak di atas kejayaan mengungkayahkan persidangan yang amat relevan dengan fungsi dan tanggungjawab masing-masing dalam mengkaji serta memperkasakan pendidikan dan tamadun Islam, khasnya di Kepulauan Borneo.

Saya juga gembira mengambil maklum  bahawa persidangan ini dikendalikan di atas jalinan kerjasama strategik di antara kedua-dua buah institusi yang sudah setentunya akan bertambah erat dari semasa ke semasa.

Pada hemat saya, tema yang telah dipilih untuk persidangan ini adalah sangat menarik dan penuh bermakna. Ini adalah kerana Borneo adalah sebahagian dari gugusan Nusantara Alam Melayu yang memiliki keunikan tersendiri dari sudut perkembangan pendidikan dan tamadun Islam.

Ulama Islam berasal dari Borneo seperti Syeikh Muhammad Arsyad Banjar dan Syeikh Ahmad Khatib Sambas telah diiktiraf oleh dunia Islam sebagai penggerak perkembangan pendidikan dan tamadun Islam Alam Melayu.

Kegigihan para ulama silam dan kejayaan mereka dalam mengukuhkan tapak cahaya Islam di Nusantara ini patut disyukuri.

Oleh itu, ia selayaknya dikaji bersungguh-sungguh agar ianya dapat dijadikan iktibar sebagai usaha cendekiawan Islam, generasi masa kini, dalam meneruskan perjuangan suci mereka bagi memartabatkan pendidikan dan tamadun Islam.

Kita juga menyedari bahawa masih terlalu banyak rahsia khazanah ilmiah yang belum lagi diteroka dan dibongkar di Kepulauan Borneo ini, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan Islam, dakwah, tokoh-tokoh, penulisan manuskrip dan peranan institusi pengajian Islam.

Justeru, saya menaruh harapan agar para ahli akademik di rantau ini terus mengumpul karya khazanah ilmiah tersebut sebagai wadah kepada ilmuwan Islam untuk bermuzakarah sesama sendiri dan mengeratkan ukhuwah Islamiah. Di samping itu, para ahli akademik juga akan berpeluang untuk menaburkan  kebijaksanaan masing-masing untuk dikongsikan bagi kemaslahatan umum.

Perkara ini adalah sesuai dengan sifat ilmu itu, dalam mana manfaatnya akan terserlah setelah ianya dikongsikan serta diamalkan bersama. Kita tidak mahu khazanah ilmu yang tidak ternilai harganya itu pupus tanpa dibuat sebarang catatan atau usaha bagi pembukuannya.

Menyentuh mengenai tamadun Islam di kawasan kepulauan ini, saya ingin kongsikan di sini bahawa atas keazaman tinggi Paduka Ayahanda telah mengisytiharkan negara ini sebagai 'Negara Zikir'. Pengisytiharan ini lahir dari hati dan niat suci Paduka Ayahanda untuk negara ini sentiasa berusaha dalam membangun dan memperkasa pendidikan Islam dalam arus perdana pendidikan negara.

Matlamatnya adalah jelas, iaitu untuk memasyarakatkan nilai-nilai akhlak mulia dan pelbagai syiar Islam sebagai budaya bangsa dalam melestarikan tamadun Islam di negara ini.

Ke arah itu, KUPU SB, sebagai institusi perguruan dan pendidikan Islam di negara ini setentunya mempunyai tugas penting lagi mulia bagi menghasilkan modal insan yang beriman dan berilmu serta berkebolehan menyahut cabaran kemajuan pendidikan Islam di era globalisasi ini.

Saya berharap program-program yang dirancang dan dilaksanakan secara langsung atau tidak langsung untuk memperkasa gagasan negara sebagai 'Negara Zikir' akan diteruskan dan dipertingkatkan, semata-mata bagi mengharap rahmat dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Mudah-mudahan dengannya, negara ini serta seluruh penduduk di dalamnya, insya-Allah akan kekal terpelihara sebagai sebuah negara yang disebut dalam Surah Saba ayat 15 : “Baldatun Tayyibatun Warabbun  Ghafur,” iaitu “Negara yang makmur, aman dan sejahtera serta penduduknya mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.”

Saya percaya persidangan ini akan dapat menghasilkan buah fikiran yang bernas serta boleh dijadikan sebagai rujukan dalam membangunkan masyarakat Islam di Alam Melayu amnya, dan Borneo khasnya.

Para ulama, tokoh cendekiawan Islam serta pembentang kertas kerja yang turut mengambil bahagian dalam persidangan ini adalah diharapkan dapat berbincang dengan penuh tanggungjawab ilmiah dan 'ukhuwah Islamiah' agar objektif persidangan ini dapat dicapai dengan jayanya.

Saya sangat optimis persidangan ini berupaya untuk menjelmakan kejayaan serta memperkukuhkan usaha memperkembangkan pendidikan Islam di rantau ini dengan sentiasa berdoa semoga pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa bersama kita.

Akhirnya, dengan berkat kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacita merasmikan Konferensi Islam Antarabangsa Borneo Kelima.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.