Friday, May 24, 2013
   
TEXT_SIZE

Seminar Melayu Islam Beraja (MIB)

Ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned di  Seminar Melayu Islam Beraja (MIB) sempena Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-60 Tahun pada hari Isnin 22 Jamadilakhir 1433 Hijriah / 14 Mei 2012 bertempat di Dewan Kompleks Seri Kenangan, Daerah Tutong

Alhamdulillah kita panjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini bagi sama-sama menghadiri Seminar Melayu Islam Beraja (MIB) yang bertemakan 'MIB Asas Perpaduan'.

Terlebih dahulu peramba/koala/saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Pengerusi Bersama majlis mengundang peramba/koala/saya selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar MIB pada hari ini.

Peramba/koala/saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Majlis Tertinggi MIB di atas usaha murni menganjurkan seminar yang dikelolakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri Sempena Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-60 Tahun selama dua hari.

Tema seminar yang berbunyi 'MIB Asas Perpaduan' ini tidak syak menepati hasrat murni pembangunan negara untuk kesejahteraan semua.

Perpaduan adalah perkara utama dan mutlak untuk keamanan dan keharmonian iaitu di antara prasyarat penting untuk mencapai kesejahteraan.

Perpaduan ini jangan diambil ringan. Ia adalah tuntutan mutlak dan fardu di dalam kehidupan bagi setiap anak watan yang cintakan keamanan dan kemajuan tulen di atas bumi tumpah darah yang tercinta ini.

Tanggungjawab kita ialah untuk tidak membiarkan apa jua bentuk anasir yang boleh membawa kepada perpecahan.

Inilah sebabnya setiap negara memerlukan asas yang kukuh sebagai asas perpaduan bagi kelangsungan kewujudan sesebuah negara dengan aman dan sejahtera.

Bagi negara kita Negara Brunei Darussalam asas kita ialah konsep MIB yang kita warisi turun-temurun di dalam kesebatian naluri kehidupan orang-orang Brunei.

Negara ini telah ditakdirkan sebagai sebuah negara Melayu yang mewarisi nilai-nilai kemelayuan Brunei. Negara ini terbukti di dalam sejarahnya dengan keterbilangan nilai-nilai teras bangsa Melayu Brunei yang mengutamakan sifat-sifat kehidupan yang harmonis, bersopan santun, bertatasusila dan beradat resam. Nilai-nilai kemelayuan Brunei ini menjadi teras kepada ketertiban dan kelembutan keolahan, budi pekerti dan pembawaan berhemah di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Nilai-nilai ini telah membuktikan kelangsungan orang-orang Melayu Brunei sebagai bangsa yang hormat, berpegang teguh kepada peraturan dan adat resam, takutan kuasa Allah Subhanahu Wata'ala dan pantang menderhaka kepada raja. Inilah nilai-nilai yang menjadikan bangsa Melayu Brunei dapat menjalani kehidupan yang aman dan bersatu padu turun-temurun bagi sekian lamanya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita orang-orang Brunei untuk memastikan kelangsungan nilai-nilai murni Melayu Brunei untuk tidak ditelan zaman dan tidak dicawirkan oleh apa jua anasir.

Di dalam konteks bernegara, nilai-nilai murni Melayu Brunei ini bukanlah milik ekslusif orang-orang Melayu Brunei sahaja, malahan ianya untuk dimiliki oleh semua orang Brunei tidak mengira keturunan kerana ia sebahagian dari konsep negara.

Negara ini juga telah ditakdirkan sebagai sebuah negara Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara dan mengasaskan amalan cara hidup lengkap negara di atas
nilai-nilai Islam.

Islam itu, melalui nilai-nilainya yang universal boleh diterima oleh semua, menjamin keadilan, keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan semua insan. Islam berteraskan kehidupan yang bermoral tinggi. Justeru itu Islam mensyiarkan kemuliaan atau kebaikan dan sangat membenci kemungkaran dan kejahatan.

Melalui prinsip ini, Islam adalah cara hidup yang lengkap yang boleh menjadi teras perpaduan bagi keadilan dan kesejahteraan semua. Inilah lagi satu nilai yang sudah terbukti turun-temurun di negara ini dapat menjamin kemuliaan, membanteras penginayaan, membela orang-orang daif dan mengurus kehidupan bermasyarakat dan bernegara di atas landasan Islam untuk kesejahteraan bersama kerana Allah.

Kita semua bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan nilai-nilai Islam bagi kesejahteraan semua ini daripada diganggu gugat oleh anasir-anasir jahat. Negara kita juga telah ditakdirkan sebagai sebuah negara yang turun-temurun mengamalkan sistem beraja.

Sistem beraja sebagai warisan bangsa mendaulatkan raja yang adil ulil amri di sisi Allah dan agama Islam untuk menaungi rakyat yang taat setia demi untuk kesejahteraan hidup.

Keadilan raja dan kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi terhadap raja telah turun-temurun menjadi teras perpaduan dan benteng kelangsungan kewujudan bangsa Brunei dan Negara Brunei Darussalam.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga keutuhan sistem beraja dan institusi-institusi di bawahnya yang sudah terbukti turun-temurun memberikan kesinambungan pemerintahan untuk keadilan dan kesejahteraan.

Dari sudut mana pun, konsep MIB itu benar-benar jitu sebagai teras perpaduan negara untuk menjamin keharmonian, keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan.

Oleh itu adalah amat penting rakyat dan penduduk negara ini mengetahui, memahami dan mengamalkan nilai-nilai di bawah konsep MIB yang diwarisi turun-temurun.

Seminar pada hari ini dapat memainkan peranan penting, antara lain, untuk memperkuatkan integrasi nasional, memahami adat istiadat negara, kebudayaan Melayu Brunei dan hubungan di antara puak.

Rakyat dan penduduk negara ini yang cintakan keamanan perlu mempunyai kewaspadaan yang tinggi tentang pengaruh-pengaruh sosial dan politik yang tidak serasi dan sesuai dengan amalan kehidupan kita. Jangan kita mudah lupa daratan sehingga pengaruh-pengaruh yang bermotifkan kejahatan mudah mempengaruhi kita.

Kita perlu unggul dengan jati diri kita orang-orang Brunei untuk menangkis pengaruh-pengaruh jahat yang bertopengkan kemajuan.

Walaupun di dalam konteks globalisasi dunia tidak mempunyai sempadan, kehidupan manusia akan tetap selamanya mempunyai sempadan. Bak kata pepatah kita, yang baik kita ambil ikutan dan yang jahat kita jadikan sempadan.

Orang-orang Brunei sementelahan generasi muda yang masih di dalam persekolahan, perlu mempunyai ketahanan jati diri dan kewaspadaan tinggi untuk membina benteng-benteng pertahanan dari dipengaruhi oleh nilai-nilai songsang dan budaya kuning.

Anak-anak muda kita perlu sentiasa sedar bahawa perjalanan kehidupan mereka adalah masih jauh ke hadapan. Jangan gara-gara tidak mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni, perjalanan mereka awal terjebak ke lembah maksiat dan jenayah sehingga merosakkan masa hadapan dan peluang kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Jika banyak anak-anak muda kita terjebak akibat pengaruh dadah, minuman keras, pergaulan tanpa sempadan, ajaran-ajaran sesat dan tidak kurangnya pengaruh dan bahaya rokok, keadaan ini bukan saja menghambat keutuhan kelaurga, malah ia merupakan musibah yang boleh beransur-ansur melemahkan keutuhan negara.

Sebab itulah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat-sangat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak muda, sementelahan pendidikan agama dan mengukuhkan agensi-agensi yang berkepentingan untuk mencegah maksiat dan jenayah, sementelahan di kalangan anak-anak muda.

Adalah amat penting anak-anak muda kita sebagai generasi pewaris mempunyai jati diri dan kefahaman yang mendalam mengenai nilai-nilai warisan di bawah konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

Nilai-nilai jati diri ini akan sentiasa mengingatkan di bumi mana kita sebenarnya berpijak dan langit mana yang sejawarnya kita junjung.

Nilai-nilai inilah yang akan sentiasa mengingatkan kita bahawa kita orang Brunei, kita tidak akan melupakan asal usul kita, kita tetap dengan nilai-nilai murni Melayu Brunei, cara hidup kita lengkap bersendikan nilai-nilai Islam iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah, kita mengangkat dan bernaung di bawah sistem beraja, mendaulatkan raja sebagai pemimpin yang diredai Allah dan secara keturunan kita orang-orang Brunei pantang menderhaka kepada raja kita.

Nilai-nilai murni warisan kita ini apabila terpahat di dada kita orang-orang Brunei dan disulami dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, maka insya-Allah akan jadilah anak-anak Brunei yang berilmu, berjati diri, berjiwa besar, berani dan berdaya saing, tidak lupa daratan, kuat beragama dan patriotik untuk sedia berputih tulang. Inilah anak-anak muda MIB. Kita semua, muda dan tua, akan tetap
menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk tidak mengabaikan MIB di dalam arus modernisasi.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, Peramba/Kaola/Saya sukacita ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pembentang kertas untuk menjayakan seminar ini. Tidak lupa juga terima kasih kepada para peserta yang turut sama dalam menjayakan seminar ini.