Sunday, May 26, 2013
   
TEXT_SIZE

Upacara Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-51 ABDB

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ketika bersabda pada Upacara Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-51 ABDB di Padang Kawad Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara pada hari Khamis, 10 Rejab 1433 Hijriah bersamaan 31 Mei 2012 Masihi.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu, ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee
Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan nikmat keamanan dan mengizinkan kita berhimpun pada pagi ini bagi memperingati Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Ke-51.

Keamanan dan kesejahteraan adalah satusatunya nikmat yang diidamkan oleh semua negara di dunia ini. Alhamdulillah, di negara ini, ianya adalah satu nikmat Allah Subhanahu Wata’ala yang paling berharga yang telah dilimpahkan-Nya kepada negara yang kita cintai ini.

Dengan keamanan dan kesejahteraan yang berterusan, agenda pembangunan telah dapat kita rancang dan laksanakan dengan lebih teratur dan sempurna. Inilah hasil keberkahan pelaburan strategik kita dalam beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala selaras dengan amalan Melayu Islam Beraja (MIB) yang bersulamkan usaha gigih dan berterusan di pelbagai peringkat masyarakat untuk menjana keamanan tersebut.

Ini tidak terkecuali kepada ABDB yang berperanan bersama dengan Kementerian Pertahanan untuk memantapkan institusi pertahanan negara ini. Peranan ini setentunya perlu dilaksanakan melalui rencana pembangunan ketenteraan yang lebih meluas serta terarah. Dengannya, ABDB akan lebih berkeyakinan dalam menangani apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Dalam konteks ini, Kerajaan Paduka Ayahanda sentiasa menekankan akan perlunya perancangan yang menjurus kepada hala tuju pembangunan yang jelas bagi mencapai matlamat pertahanan negara. Matlamat utamanya adalah untuk membentuk angkatan tentera yang resilien, memiliki kemampuan tersendiri serta tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang tinggi.

Justeru, Paduka Ayahanda telah memperkenankan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera jangka panjang yang cukup luas bagi mengembangbangunkan kewibawaan institusi pertahanan negara ke tahap yang diharapkan.

Sehubungan itu, saya mengucapkan tahniah kepada ABDB kerana berjaya menubuhkan beberapa institusi selaku pelengkap matlamat tersebut, seperti Jabatanarah Perkembangan Keupayaan Tentera; Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi dan Akademi Pertahanan. Jelas sekali, penubuhan institusi berkenaan adalah sangat penting untuk memantapkan keupayaan angkatan pertahanan bersepadu yang mampu bertindak menangani sebarang ancaman dan cabaran semasa termasuk
operasi yang berbentuk non-conventional.

Perkembangan positif tersebut juga membolehkan ABDB menyumbang dengan lebih bermakna kepada rangka kerjasama bersama agensi penguat kuasa awam. Di samping itu, ianya juga sangat berfaedah kepada penglibatan langsung anggota kita dalam operasi keamanan serantau dan antarabangsa seperti Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina dan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan.

Ke arah itu, doktrin dan prosedur-prosedur tetap hendaklah sentiasa disusun rapi dan diperkemaskinikan bagi memastikan keupayaan ketenteraan kita dalam melaksanakan keperluan operasi yang pelbagai bentuk dan pelbagai bidang. Kecekapan dan ketangkasan angkatan tentera kita hendaklah terus diperkemaskan kerana keberkesanan setiap operasi adalah banyak bergantung kepada tahap kesiapsiagaan anggota serta kelengkapannya.

Alhamdulillah, ABDB baru-baru ini telah berjaya melaksanakan Eksesais Hikmat Bersatu Empat yang menumpukan kepada operasi
berbentuk counterinsurgency dan urban warfare dalam rangka latihan ketenteraan berskala besar yang melibatkan keupayaan darat, laut dan udara. Ianya juga adalah bertujuan bagi menguji keupayaan sebenar Pusat Gerakan Markas Bersama dan sistem C4i yang diguna pakai.

Pada hemat saya bagi membolehkan ABDB memperolehi manfaat sepenuhnya daripada eksesais tersebut, apa jua jurang dan kelemahan dalam keupayaan yang dikenal pasti hasil latihan tersebut perlulah diambil iktibar dan tindakan sewajarnya dilaksanakan. Ini termasuklah keperluan bagi memperkenalkan kaedah-kaedah pemeriksaan fit for role secara berjadual dan
latihan berkala di antara semua perkhidmatan tentera.

Saya percaya banyak lagi ruang pembaikan yang perlu untuk terus ditangani serta dipersiapkan secara berhemah dan bijaksana. Ini meliputi penggubalan dasar semasa yang berkaitan perolehan, penggantian dan pengemaskinian aset-aset, pengurusan sumber tenaga dan penyelenggaraan infrastruktur pertahanan yang bertaraf tinggi dan berdaya tahan.


Hakikatnya, pembangunan keupayaan bersepadu seperti ini sudah setentunya akan mengambil masa dan memberikan cabaran yang berterusan. Kementerian Pertahanan dan ABDB khususnya, perlu memastikan pengurusan institusi pertahanan yang dinamik dan mempersiapkan angkatan tentera yang sentiasa dipertingkatkan keupayaannya dari masa ke semasa.

Dalam erti kata lain, keseimbangan dalam perkembangan institusi pertahanan, hendaklah menjurus kepada pembangunan semua aspek perkhidmatan ketenteraan berdasarkan keupayaan tersendiri. Keupayaan tersebut perlu dimiliki dan dikuasai ke arah menyumbang kepada kejayaan dan keberhasilan sebuah gabungan operasi bersama.

Sehubungan itu, adalah menjadi harapan bersama supaya pelaksanaan pembinaan Maritime Training School dalam jangka masa yang telah ditentukan, akan berperanan menyumbang kepada memperkasakan keupayaan pertahanan maritim, khususnya dalam mempertahankan kedaulatan zon ekonomi eksklusif.

Dalam pada itu, era pemodenan semasa juga banyak dipengaruhi oleh hasil dapatan penyelidikan dan perkembangan bidang sains dan teknologi. Perkembangan ini juga menghendaki kita untuk lebih teliti dalam membuat pengkajian dan penilaian secara berhemah terhadap sebarang keperluan taktikal demi memastikan prosedur perolehannya bersesuaian dan menepati matlamat pembangunan keupayaan operasi.

Ke arah itu, pendekatan dan proses-proses berkaitan dalam kementerian perlulah dibuat penilaian semula dari masa ke semasa sebagai asas pembaikan berterusan bagi memudah cara dan mempercepatkan pencapaian kejayaan proses perolehan dan pembangunan kapasiti menurut tempoh yang ditetapkan. Perkara ini adalah sangat diperlukan dalam kita berusaha untuk menggubal strategi pengurusan pertahanan yang lebih mantap.

Dalam hal ini, peranan sektor swasta juga harus diberi galakan, terutamanya syarikat-syarikat tempatan untuk turut bersaing dalam menawarkan perkhidmatan masing-masing sebagai penggalak kepada pertumbuhan industri perkhidmatan pertahanan setempat secara amnya.

Melalui peningkatan kaedah outsourcing dan usaha sama awam - swasta yang bestari, pengusaha tempatan akan dapat membina keupayaan masing-masing untuk seterusnya bersaing di persada serantau dan antarabangsa bagi menjana pertumbuhan sektor ekonomi yang berpotensi dengan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti serta mapan kepada anak watan.


Pada kesempatan ini, saya juga mengucapkan tahniah di atas pencapaian ABDB dalam menerapkan nilai-nilai murni agama melalui penglibatan langsung pucuk kepimpinan dan anak buahnya dalam aktiviti-aktiviti keagamaan pada sepanjang tahun. Pendekatan ini setentunya dapat mengukuhkan sifat takwa dalam diri setiap anggota tentera selaras dengan penerapan konsep MIB sebagai ciri teras dalam institusi pertahanan negara. Inilah satu pelaburan yang tidak boleh diabaikan.


Akhirnya, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun ABDB Ke-51 kepada seluruh peringkat warga tentera dan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas warga tentera, di atas khidmat bakti masing-masing kepada negara. Semoga kita semua akan terus mendapat berkat dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.