Speeches 2013
Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012
Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012
Ucapan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof di Majlis Akademik Sempena Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa Tahun 1433 Hijriah / 2012 Masihi pada hari Sabtu, 20 Jamadilakhir 1433 Hijriah / 12 Mei 2012 Masihi di Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX, Jerudong
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini iaitu di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat, kaum keluarga dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan kejururawatan kami terutama jawatankuasa penganjur kerana mengadakan acara penting ini. Bagi penceramah jemputan Profesor Madya Dr. Premarani Kannusamy dari Singapura dan Profesor Faustino Jerome Babate dari Filipina, saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kerana meluangkan masa anda untuk datang ke Negara Brunei Darussalam bagi berkongsi dengan kami pengalaman luas dan pengetahuan anda dalam profesion kejururawatan terutamanya Amalan Berasaskan Bukti dalam kejururawatan pada forum yang diadakan hari ini sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa.
Pada tahun ini, Majlis Jururawat Antarabangsa (International Council of Nurse, ICN) telah memilih tema 'Closing The Gap : From Evidence to Action' (Penutupan Jurang : Dari Bukti Kepada Tindakan) bagi sambutan Jururawat Antarabangsa 2012. Tema ini adalah sangat bertepatan dan relevan pada masa kini dalam usaha kita bersama-sama untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih cemerlang, lebih berkualiti dan efektif. Kita tidak seharusnya terlepas pandang akan pentingnya megguna pakai atau mengaplikasikan ilmu pengetahuan serta bukti-bukti yang sedia ada kepada amali penjagaan kesihatan sama ada dalam aspek perawatan dan pemulihan pesakit; pencegahan serta kawalan penyakit; malahan juga dalam mempromosikan kesihatan kepada orang awam secara menyeluruh.
Amalan Berasaskan Bukti atau Evidence Based Practice (EBP) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa merupakan sebagai amalan terbaik (best practice) yang bukan sahaja diguna pakai oleh profesional kesihatan dari golongan doktor-doktor dan Allied Health Professionals' malahan ia juga sangat penting bagi para jururawat dan bidan di negara ini dalam menyerapkan EBP ini kepada amalan-amalan kejururawatan untuk diguna pakai sepanjang masa.
Untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan EBP, ICN telah mengenal pasti empat komponen penting iaitu:
a. Pemahaman tentang Amalan Berasaskan Bukti (Understanding Evidence-based Practice);
b. Mengenal pasti sumber-sumber keterangan atau bukti (Sources of evidence);
c. Menterjemah bukti-bukti kepada tindakan (From evidence to action); dan
d. Membuat kes bagi perubahan (Making the case for change).
Dengan mengambil perhatian akan tema Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa tahun ini, saya menyeru supaya para jururawat dan bidan akan mendalami pengetahuan mengenai amalan-amalan berasaskan bukti agar ianya dapat membolehkan para jururawat dan bidan untuk sentiasa meneliti dan mengkaji semula amalan kejururawatan (Nursing Practice) dan mencari kaedah-kaedah yang baru yang lebih berkesan, cekap dan selamat sekali gus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kejururawatan kepada pesakit-pesakit khususnya serta orang awam amnya.
Seperti mana yang kita maklum, amalan yang berasaskan bukti banyak mendatangkan faedah kepada keberkesanan perkhidmatan bukan sahaja dari segi rawatan dan penj agaan pesakit dan orang awam malahan juga ada sebahagiannya berupaya menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan rawatan pesakit dalam jangka panjang. Amalan berasaskan bukti juga telah mendatangkan hasil yang positif dan berkesan seperti penyembuh penyakit-penyakit tertentu dengan cepat, pengurangan penggunaan ubat-ubatan seperti antibiotik, mampu menghalang penyakitpenyakit tertentu dari berulang dan sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan kesejahteraan individu dan masyarakat.
Sumbangan para jururawat dan bidan adalah sangat penting dalam memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran-cabaran kesihatan peringkat global dan juga setempat khususnya yang berkaitan dengan peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases); kemunculan penyakit-penyakit berjangkit baru serta kemunculan semula penyakit-penyakit berjangkit lama. Dalam semua situasi ini, adalah diharapkan para Jururawat dan Bidan hendaklah jangan leka kerana prestasi khidmat yang berkualiti dan cemerlang bukan hanya memberi kesan positif kepada pesakit atau individu yang dirawat malahan lebih dari itu, khidmat para Jururawat dan Bidan dapat memberi impak kepada status kesihatan negara seperti mana dinilai mengikut kaedah
yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui pencapaian Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals).
Perkhidamtan Kejururawatan juga diharapkan supaya akan dapat menumpukan kepada amalan kejururawatan yang dinamik dan relevan dalam menghadapi cabaran abad ke-21 ini dan juga ekspektasi orang ramai yang semakin tinggi. Di samping mengamalkan ciri-ciri kesepaduan dan semangat kerja berpasukan yang mantap, mempunyai disiplin yang tinggi disertai dengan penuh kesabaran dalam melaksanakan penjagaan, perawatan dan pengurusan pesakit dan orang ramai, para jururawat dan bidan juga diingatkan agar tidak mengabaikan asas-asas utama yang perlu diserapkan dan dihayati dalam menjalankan tugas-tugas kejururawatan iaitu seperti:
- Garis Panduan dan Standard Operating Procedures;
- Code of Professional Conduct for Registered Nurses and Midwives Code of Ethics for Registered and Midvies dan
- Amalan-amalan Berasaskan Bukti.
Dalam suasana di mana para jururawat dan bidan di seluruh dunia kini mula tampil ke hadapan dalam menghasilkan kaedah-kaedah baru dan inovatif untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, maka para jururawat dan bidan di negara ini seharusnya juga peka dan tidak ketinggalan untuk turut berusaha membuat pembaharuan dan inovasi semata-mata bagi menyumbang kepada mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan. Perubahan serta kaedah-kaedah baru ini dapat diaplikasikan dari model amalanamalan terbaik dan juga hasil dari penemuan kajian-kajian yang terbukti mendatangkan kesan yang positif. Salah satu pendekatan yang sedia ada ialah melalui kaedah Kumpulan Kerja Cemerlang yang mana seharusnya dijadikan sebagai landasan para Jururawat dalam menghasilkan kaedah-kaedah baru dengan berasaskan bukti untuk mengatasi sebarang masalah dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Profesion kejururawatan adalah antara profesion kesihatan yang terawal dan walaupun sektor penjagaan kesihatan telah melalui arus perkembangan pesat, profesion kejururawatan sehingga kini masih lagi bertahan teguh malahan ia diiktiraf sebagai profesion berpiawaian tinggi dan dihormati di seluruh dunia, tidak terkecuali oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini adalah satu perkara yang sewajarnya menjadi kebanggan kepada para Jururawat dan Bidan sendiri termasuk di Negara Brunei Darussalam dan pengiktirafan seperti ini seharusnya dimartabatkan dan dipertahankan.
Para Jururawat dan Bidan hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kerana pengetahuan yang meluas dalam pelbagai bidang kepakaran, maka keperluan perawatan dan penjagaan kesihatan pesakit dan orang ramai akan dapat dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah di Negara Brunei Darussalam kita menumpukan kepada inisiatif-inisiatif meningkatkan kepimpinan bidang klinikal di kalangan para Jururawat dan Bidan untuk mereka bekerjasama dengan profesional kesihatan klinikal lain sebagai satu pasukan untuk memberikan perkhidmatan yang bersepadu, efisien, efektif dan berkualiti.
Di samping itu, dalam pengurusan, para Jururawat dan Bidan yang diberikan amanah menjalankan tanggungjawab sebagai ward managers hendaklah penuh bertanggungjawab, cekap dan proaktif dalam memastikan pengurusan wad-wad di bawah jagaan mereka berjalan dengan baik dari pentadbiran jururawat-jururawat kepada hal ehwal pengurursan penjagaan pesakit-pesakit dan penjagaan persekitaran wad. Begitu juga para jururawat dan bidan di pusatpusat kesihatan dan klinik-klinik kesihatan, mereka hendaklah juga lebih peka akan keadaan sekeliling serta masyarakat di tempat mereka memberikan khidmat.
Apa yang mustahak disarankan supaya para Jururawat dan Bidan sentiasa mengadakan permuzakarahan di antara sesama mereka dan pihakpihak yang berkenaan di mana mereka ditempatkan. Di samping itu, Ketua-Ketua Jururawat hendaklah juga sentiasa bersifat terbuka untuk mendengar apa jua cadangancadangan yang bernas dan positif dari kalangan Jururawat dan Bidan di bawah pengurusan masing-masing dengan hasrat memperbaiki dan memantapkan lagi perkhidmatan yang diberikan. Dengan pendekatan demikian, ini sudah setentunya dapat mengwujudkan perasaan sense of belonging dan perasaan sama-sama bertanggungjawab terhadap tugastugas yang diamanahkan.
Melalui pendekatan amalan Berasaskan Bukti dalam Amalan Kejururawatan dan mengikut Standard Operating Procedure yang ditentukan, saya percaya Kementerian Kesihatan akan dapat berupaya menghasilkan Jururawat-Jururawat dan Bidan-Bidan berwawasan, proaktif, responsive,berkualiti serta mempunyai daya pemikiran analitikal lagi inovatif. Program Continuing Nursing Education setentunya dapat dijadikan akan perkembangan dan pergolakkan bidang kejururawatan perubatan dan kesihatan. Amalan kejururawatan yang berasaskan bukti ini juga akan dapat memartabatkan imej Perkhidmatan Kejururawatan di negara ini iaitu setanding dengan tahap perkhidmatan kejururawatan di peringkat global. Oleh yang demikian, para jururawat dan Bidan hendaklah menghayati amalan kejururawatan berasaskan bukti ini sebagai cara dan budaya kerja yang berterusan.
Sehubungan dengan itu, saya menyarankan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan melalui Unit Pendidikan Lanjutan Kejururawatan hendaklah mengambil inisiatif untuk mengendalikan kursus-kursus atau program yang relevan dan lebih inovatif mengikut perkembangan dan mengambil kira akan cabaran semasa dan mendatang termasuk mengenai Amalan Kejururawatan Berasaskan Bukti.
Bersempena dengan Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012 ini, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga kesemua Jururawat dan Bidan di negara ini akan sentiasa dikurniakan taufik, hidayah serta berada dalam kandungan sihat walafiat dan di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala bagi meneruskan menjalankan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada masyarakat dan negara.
Adalah diharapkan para Jururawat dan Bidan akan dapat mempertingkatkan satu landasan bagi para Jururawat dan Bidan mendalami Amalan Berasaskan Bukti ini supaya mereka sentiasa peka khidmat bakti dengan lebih berdedikasi, bersopan santun, berdisiplin, cemerlang, berkualiti, pemedulian dalam kita bersama-sama memantapkan dan mengukuhkan lagi sistem penjagaan kesihatan di negara ini. Semoga sumbangan khidmat bakti yang dicurahkan akan diterima sebagai ibadah dan diberkati serta dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata’ala jua.
Akhirnya saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa bagi tahun ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang murni lagi ikhlas itu akan mendapatkan keberkatan dan ganjaran yang sebaik-baiknya dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.
Dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012.


