Wednesday, May 22, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Pelancaran Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara

Ucapan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binte Othman semasa berucap pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada hari Isnin, 2 April 2012 Masihi / 10 Jamadilawal 1433 Hijrah

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu AlaihiWasallam, kaum keluarga, para sahabat serta pengikut Baginda yang taat lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala jua kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya jua kita semua dapat berkumpul di Majlis Pelancaran Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara pada petang ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 89 orang pelatih yang telah terpilih bagi mengikuti Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara yang bermula semalam 1 April hingga 23 Jun 2012. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa dan penjaga pelatih kerana telah memberikan sokongan ke arah pelaksanaan projek rintis kedua program khidmat bakti negara ini.

Projek Rintis Program Khidmat Bakti Negara yang bermula pada 4 Disember 2011 baru berakhir pada 27 Februari 2012. keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Kem Projek Rintis Pertama pada 25 Februari 2012 bagi melihat dengan lebih dekat lagi pelaksanaan Projek Rintis Pertama tersebut telah menunjukkan keprihatinan baginda ke atas projek yang berperingkat nasional ini.

Alhamdulillah daripada maklum balas yang telah diterima daripada bekas pelatih, para ibu bapa dan orang ramai terhadap projek rintis pertama menunjukkan kejayaan projek rintis pertama. Komen-komen yang diterima melalui evaluasi semua pihak ke arah mempertingkatkan lagi keberkesanan program khidmat bakti negara telah diambil kira dalam merancang Projek Rintis Kedua. Dengan ini modul latihan pada kali ini akan memasukkan beberapa ciri baru seperti modul asas menembak di bawah kawalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta pengetahuan asas mengenai Undang-Undang Kemanusiaan atau 'Humanitarian Law' yang akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC). Manakala komponen keagamaan, keusahawanan dan khidmat komuniti yang dimantapkan dari segi kepelbagaiannya ke arah merealisasikan visi Belia Brunei Cemerlang yang berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB).

Dari segi prasarana, satu padang kawad dan tambahan penginapan dan bilik-bilik darjah sedang dalam proses pembinaan bagi menambah jumlah kemasukan pelatih ke PKBN nanti. Dalam masa yang sama persediaan untuk membina bangunan kekal PKBN yang berkonsepkan mesra alam yang berharga sekitar 23.5 juta dengan keluasan 40 ekar di Mukim Batu Apoi, Temburong sedang giat dijalankan. Kem baru ini nanti dijangka akan dapat memuatkan sekitar 700 orang pelatih dalam satu-satu masa.

Program Khidmat Bakti Negara atau lebih dikenali lagi dengan gelaran PKBN adalah Program Khas Pembangunan Belia Kebangsaan yang memfokuskan kepada pembinaan jati diri atau character building ke arah ketahanan dan kekuatan mental, fizikal dan kerohanian mengikut lunas-lunas budaya, kenegaraan dan agama. Selama 12 minggu program ini berjalan, para pelatih akan diasuh dari segi disiplin bertanggungjawab dan untuk memupuk sifat peri kemanusiaan. Di samping latihan jasmani latihan kawad menembak dan yang lain yang menjurus kepada sifat tahan lasak para pelatih akan juga didedahkan kepada kerja-kerja kemasyarakatan yang mana.

Insya-Allah akan dapat meningkatkan kesedaran para pelatih belia kita kepada realiti golongan masyarakat yang vulnerable. Pengalaman ini diharap akan dapat menjadikan belia kita sebagai individu dan golongan yang prihatin akan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat sekeliling, di samping mempunyai keyakinan diri, semangat berdikari dan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan.

Daripada maklum balas yang diterima dari bekas peserta projek rintis pertama jelas menunjukkan dinamik program ini yang dapat membina belia dengan mindset yang positif, belia yang tidak mudah putus asa, belia yang mempunyai keyakinan diri dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran di masa depan.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa melalui PKBN ini nanti akan dapat melahirkan golongan belia yang dapat membawa kepada perubahan yang dinamik dan progresif kepada negara dengan sentiasa mempertahankan kedaulatan raja, bangsa, negara dan agama tanpa menjejaskan atau merosakkan kemurnian adat istiadat, budaya dan tatasusila bangsa Brunei.

Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang mempunyai masyarakat prihatin masyarakat pemedulian hanya akan dapat mengekalkan nilai-nilai murni ini dengan komitmen dan penglibatan para belia. Iltizam ini adalah penting bagi membolehkan negara kita mencapai Wawasan 2035 untuk menjadi sebuah masyarakat yang berpendidikan dengan tahap kualiti kehidupan yang tinggi. Negara ini memerlukan belia yang mempunyai semangat kenegaraan yang kental, yang prihatin dan memahami akan peranan mereka terhadap sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan negara.

PKBN adalah program nasional program yang dimiliki oleh semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan sektor swasta badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat. Walaupun Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan merupakan agensi utama dalam pengendalian program ini PKBN adalah milik semua dan adalah tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama menjayakan program ini.

Sehubungan dengan ini, peranan semua agensi yang terlibat, ibu bapa, keluarga, para penyelia dan tenaga pengajar, masyarakat umum dan juga para pelatih belia itu sendiri adalah penting sebagai penyumbang ke arah peningkatan keberkesanan program ini. Saya difahamkan bahawa seramai 29 bekas peserta program rintis pertama akan ikut terlibat sebagai sukarela dalam pengendalian projek rintis ke-2 ini.

Syabas saya ucapkan kepada mereka dan penyertaan mereka adalah sebagai bukti kepada kejayaan projek rintis pertama yang dapat menimbulkan perasaan rindu dan perasaan kekitaan di antara pesertanya dengan PKBN sehingga ingin membantu menjayakan PKBN. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang telah memberikan kerjasama bagi pelaksanaan projek rintis kedua ini.

Buat mengakhiri ucapan saya ini saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada para pelatih yang akan mengikuti projek rintis kedua PKBN ini dan berharap para pelatih akan menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik-baiknya kerana kejayaan projek rintis kedua ini nanti adalah juga tertakluk kepada komitmen penuh para pelatih itu
sendiri. Peranan para pelatih dalam setiap aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tiga bulan nanti sangat penting.

Tunjukkan kebolehan, kepimpinan serta komitmen abiskita sepanjang projek ini berjalan nanti. Kautlah sebanyak ilmu dan sebanyak nasihat yang dapat, yang mana apabila tamat menjalani latihan nanti akan menjadi sukat-sukat abiskita dalam mengharungi realiti kehidupan yang semakin mencabar di luar sana. jadikanlah projek ini sebagai medan perjuangan ke arah mempersiapkan abis kita untuk menjadi belia harapan bangsa dan penyumbang kepada pembangunan negara.