Home arrow Titah arrow Upacara Perbarisan Diraja Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Make Text BiggerMake Text SmallerReset Text Size
Upacara Perbarisan Diraja Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei PDF Print E-mail
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Upacara Perbarisan Diraja Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bertempat di Perkhemahan Sungai Akar pada Hari Khamis 1hb Syaaban 1430 / 23hb Julai 2009

Titah

 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
 
Sempena
 
Upacara Perbarisan Diraja Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bertempat di Perkhemahan Sungai Akar
 
Pada Hari Khamis 1hb Syaaban 1430 / 23hb Julai 2009

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen,  Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een.  Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur kerana dapat sama-sama berhimpun pada pagi ini bagi menyambut hari yang penting di dalam sejarah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, iaitu Perbarisan Diraja (Sovereign Parade) bagi Pengambilan Pertama Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Terlebih dahulu, beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan perasaan amat gembira menyaksikan perbarisan yang baru saja ditunjukkan tadi, suatu perbarisan yang sungguh menarik lagi membanggakan.

Beta amat berbangga, akhirnya Angkatan Bersejata Diraja Brunei mampu untuk mewujudkan Sekolah Pegawai Kadetnya sendiri, dan seterusnya menghasilkan para pegawai tentera yang akan menjadi pemimpin dan juga penyambung kepada usaha-usaha peningkatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Beta yakin, lepasan Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ini, adalah setaraf dengan lepasan sekolah-sekolah pegawai kadet dari luar negara.  Mereka mampu mencapai tahap kepimpinan, intelektual dan ketenteraan mengikut standard yang dikehendaki.

Kejayaan ini, pada hemat beta, tidak akan dapat dicapai sepenuhnya, tanpa adanya sokongan dan dorongan daripada ibu bapa dan keluarga masing-masing.  Oleh itu beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para ahli keluarga, khasnya mereka yang hadir pada hari ini.  Kejayaan ini adalah merupakan kebanggaan kita semua.

Namun apa yang penting, Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ini, mestilah terus berusaha untuk mengekalkan keberkesanan dan kualiti pengajaran, kerana dengan cara ini sahaja, kita boleh meningkat lebih maju untuk menjadi yang terbaik di antara yang terbaik.

Satu langkah awal beta difahamkan, terdapat perancangan untuk menempatkan Sekolah Pegawai Kadet ini di tapak yang baru dengan prasarana lebih moden, selaras dengan rancangan penubuhan Akademi Pertahanan nanti.

Bagi mencapai wawasan ini, kesemua Pegawai Kadet, sama ada yang akan ditauliahkan menjadi Pegawai Tentera pada hari ini, mahupun yang masih menjalani latihan, dikehendaki supaya sentiasa bekerja keras dan menjaga disiplin di mana sahaja mereka berada atau ditempatkan.  Jadilah role-model yang baik, bukan sahaja kepada anggota bawahan atau mereka yang dipimpin, malahan juga kepada masyarakat umum.

Dan adalah juga menajdi tanggungjawab masing-masing untuk memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperolehi, di samping pada waktu yang sama, akan terus berusaha meningkatkan lagi kualiti diri, sambil tidak lupa menjaga nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Dalam meniti tugas, semua pihak, jangan pula mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan diri, khasnya semasa menjalani latihan, kerana memang diketahui bahawa latihan ketenteraan itu melibatkan aktiviti-aktiviti yang mencabar serta terdedah kepada risiko-risiko tinggi.

Oleh itu, pihak sekolah khasnya dan keseluruhan peringkat kepimpinan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya, perlulah mengambil langkah-langkah mengurangkan risiko tersebut supaya latihan-latihan berjalan dengan baik dan sebarang kecederaan dapat dielakkan.

Dengan besar hati, beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kesemua 32 orang Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan dan akan ditauliahkan menjadi Pegawai Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini.

Maka dengan bertawakal kepada Allah serta kalimah-Nya yang suci, Bismillahir Rahmanir Rahim, beta sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 32 orang Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan Latihan Pegawai Kadet bagi pengambilan pertama ini.

Perlu diingat, ini hanya satu permulaan kepada perjalanan yang masih panjang di hadapan.  Semoga Allah merberkati semua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
< Prev   Next >
Copyright of Brunei Information Department, Prime Minister's Office. Joomla Template Supplied by Netshine Hosting