Tuesday, June 18, 2013
   
TEXT_SIZE

Speech

Majlis Resepsi bersama Alumni Madrasah Al-Junied Islamiah 2012

Ucapan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman pada Majlis Resepsi bersama Alumni Madrasah Al-Junied Islamiah 2012 di Orchid Country Club, Singapura.

Waktu subuh menjelang pagi
Berzikir bertasbih amalan tariqat
Takdir menemukan kita di sini
Kerana Al-Juned madrasah yang berkat


Pertama sekali kita sekalian berterima kasih dan memberikan penghargaan kepada pimpinan Madrasah Al-Junied yang memungkinkan kita dapat bersama dalam majlis ini.

Kira-kira sebulan yang lalu Allah Subhanahu Wata'ala menemukan saya dengan rombongan Madrasah yang berkunjung ke Brunei. Saya tidak pasti apakah itu telah awal dirancang. Yang pasti ialah pertemuan mendadak yang singkat di pejabat saya petang itu membawa ingatan saya memasuki zone tahun-tahun 56-61 sewaktu belajar di Madrasah Al-Junied.

Saya dapati ahli rombongan yang bertiga sangat berminat mendengar apabila saya bercerita tentang karenah sebilangan kami angkatan pelajar tahun 56-61 itu. Tentu sahaja mereka berminat. Mereka bertiga adalah generasi baru dalam era baharu Al-Junied. Era yang sangat berbeza daripada zaman kami dahulu.

Perbezaan yang ketara antara era baharu sekarang dengan era masa lampau itu ialah kami diterima belajar dan dibenarkan meneruskan pelajaran sebagai pelajar
madrasah tanpa syarat.

Saya sempat menceritakan perihal songkok morning show. Ternyata mereka tidak sempat tahu ceritanya bahkan tidak tahu bagaimana rupa bentuk songkok morning show itu.

Tetapi mereka sepertinya tahu tentang jadam Madrasah Al-Junied.

Mungkin keistimewaan jadam Madrasah Al-Juned itu sudah menjadi sebahagian legacy nya yang melekat dalam ingatan orang-orang yang ada ikatan dengan Al-Junied. Ia disediakan oleh pembantu sekolah (namanya Wak Hamid) dalam bekas kecil yang tidak bertutup dan diletakkan dalam laci yang sudah usang di biliknya. Bayangkanlah.

Jadam itu ada hubungannya dengan penguatkuasaan disiplin bertutur bahasa
Arab.

Kegerunan kepada jadam tersebut bukan semata-mata kerana pahitnya bahkan kerana geli dan loya tekak membayangkan betapa dalam keadaannya terdedah di laci yang usang itu entah cicak entah lipas dan entah apa lagi mungkin tikus telah terlebih dahulu menikmatinya.

Saya harap pimpinan baharu Madrasah Al-Junied dalam eranya yang baharu sekarang tentu tidak lagi bergantung kepada kuasa menghukum pesalah yang tidak mematuhi disiplin bertutur bahasa Arab dengan penalti menelan jadam. Ianya kena dan sesuai dengan zaman kami. Bukan dengan zaman Al-Junied dalam eranya yang baharu.

Mengenai pelajar Brunei di Al-Junied, saya kurang pasti apakah.

Madrasah Al-Junied menyimpan rekod pencapaian pelajar-pelajar lepasannya yang melanjutkan pengajian di Malaya dan Mesir, termasuk kami pelajar-pelajar lepasannya dari Brunei.

Apa yang saya pasti dan mahu jelaskan ialah bahawa saya bukanlah pelajar Brunei yang awal belajar di Madrasah Al-Junied.

Saya dan dua orang rakan lagi adalah angkatan ke-6 yang dihantar dengan biasiswa Kerajaan Brunei ke Singapura dalam tahun 1956.

Angkatan awal pelajar Brunei dan perintis jalan ke Madrasah A1-Junied ialah  angkatan Mohd. Zain bin Haji Serudin dalam tahun 1950.

Beliau yang tidak dapat bersama kita dalam pertemuan ini, sekarang dikenali dengan sebutan gelaran kebesaran dan bintang darjah kehormatan negara Brunei sebagai Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utoma Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin.

Sebagai angkatan awal dan perintis anak Brunei di Al-Junied Pehin Dato Mohd. Zain
adalah agamawan Brunei yang pertama yang mendapat pendidikan agama secara sistematik sampai ke peringkat universiti. Beliau tamat pengajian di Universiti Al-Azhar dalam tahun 1963, seiringan dengan anak-anak Brunei yang Pertama tamat pengajian universiti-universiti di United Kingdom.

Itu suatu yang sangat signifikan. Menjadikan lepasan pengajian agama yang sulung itu kembali ke Brunei beriringan dengan lepasan sulung pengajian yang lain. Dan lepasan pengajian agama dari Al-Azhar itu mendapat gaji dalam sukatan gaji pegawai pegawai berijazah.

Ertinya : Brunei adalah negeri dan Kerajaan pertama di rantau ini yang mengiktiraf ijazah Universiti Al-Azhar dan memberikan nilai ekonomi yang sama sebanding dengan ljazah universiti-universiti United Kingdom dan universiti-universiti yang diiktiraf.

Pengiktirafan sedemikian sebetulnya suatu cabaran kepada anak anak Brunei yang berpendidikan tinggi agama.

Ternyata bahawa dengan berpendidikan Islam yang lengkap daripada Madrasah Al-Junied, Kolej Islam dan Universiti Al-Azhar; anak-anak Brunei daripada aliran pendidikan Islam telah membuktikan relevancy Islam dalam modenisasi Brunei.

Anda mengetahui betapa Brunei di bawah pemerintahan berajanya selama lebih enam ratus tahun adalah kuat dipengaruhi oleh Islam, di samping adat resam ke Melayuannya.

Hal itu adalah kerana keyakinan dan penghormatan rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka terhadap Islam.

Di Brunei sejak zaman dahulu lagi ugama Islam adalah pemangkin keharmonian sosial serta amalan tradisi berbaik-baik di kalangan rakyat dan penduduk dari semua kaum yang berlainan agama dan adat resam.

Dan kedudukan Islam sedemikian itu telah diperkukuhkan lagi oleh anak-anak Brunei yang berpendidikan Islam.

Angkatan Madrasah Al-Junied sampai ke hari ini masih terus Berperanan dalam banyak bidang pemerintahan Brunei. Mereka tidak sahaja berkhidmat dalam jawatan-jawatan ugamamalah juga dalam bidang perkhidmatan awam dan dalam jawatan diplomatik bahkan dalam jawatan politik.

Itu bukan suatu kebetulan atau suatu kemujuran. Anak-anak Brunei yang berpendidikan agama khasnya dari kalangan angkatan Madrasah Al-Junied itu telah membuktikan relevancy Islam dan pendidikan Islam kepada negara dan bangsanya yang menempuh transformasi pembangunan dalam banyak bidang sebagai sebuah negara moden.

Mereka mendapat kesempatan yang baik untuk mengetengahkan Islam dalam wajahnya yang sederhana inklusif dan dinamik.

Itulah peranan yang sebenarnya mereka buktikan dalam memastikan Islam itu kekal berada dalam main stream pemerintahan Brunei.

Jangan lupa bahawa Islam telah diterima sebagai agama anutan raja dan  pembesarpembesar serta majoriti rakyatnya selama lebih enam ratus tahun.

Maka wajar sahaja bagi Brunei terusmenerus turut memberi keutamaan kepada pelajaran dan persekolah agama Islam dalam sistem pendidikan nasionalnya pada zaman ini.

Ertinya : pelajaran ugama Islam dan persekolahannya dilakukan secara sistematik dalam pendidikan nasional. Murid dan pelajarnya dilengkapkan dengan mata-mata pelajaran umum. Dan itulah model persekolahan Arab di Brunei.

Dalam kontek inilah saya melihat madrasah-madrasah seperti Madrasah Al-Junied Al-Islamiah telah memainkan peranan memberikan pendidikan Islam yang kukuh. Dan peranan serta sumbangan sedemikian masih dapat terus dikembangkan dalam persekitaran baharu yang lebih mencabar. Pendidikan Islam yang disalurkan menerusi madrasah sangat perlu disesuaikan untuk memenuhi keperluan-keperluan baharu masyarakat Melayu-Islam dalam era kemajuan ekonomi yang berteraskan ilmu pengetahuan.

Pada hemat saya madrasahmadrasah akan terus berperanan memberikan pendidikan yang melengkapkan individu muslim untuk melaksanakan kewajipan fardu 'ain dan memahami konsep fardu kifayah untuk aplikasinya yang luas.

Peranan sedemikian sangatlah kuat pengaruh dan kesannya dalam pembentukan dan perkembangan saksiah Muslim.

Madrasah yang dalam peranan tradisinya untuk memenuhi keperluan dalam kehidupan beragama masyarakat (atau juga umat) Islam tentu menerima hakikat bahawa masyarakat Islam itu sendiri mengalami perubahan dalam lingkungannya dan di luar lingkungannya.

Dalam proses perubahan yang berterusan, masyarakat (juga umat) Islam didapati memberikan respon yang positif terhadap perkembangan yang ditempuhnya.

Saya tidak keterlaluan jika menyebutkan masyarakat dan umat Islam Singapura sebagai contoh.

Sungguhpun dalam persekitaran negara mereka yang sekular dengan masyarakat yang majmuk dan mereka adalah minoriti di dalamnya dan mereka menempuh cabaran untuk memajukan diri dalam ekonomi yang berteraskan ilmu pengetahuan, namun masyarakat dan umat Islam Singapura telah dan terus membuktikan bahawa agama Islam tidak menyebabkan mereka terpencil bahkan tampil sama dengan rakan-rakan senegara menyumbang kepada kemajuan dan keamanan Singapura.

Anda lebih tahu daripada saya.Kewujudan madrasah-madrasah di sini selain masjid-masjid yang kedua-duanya adalah turut diserikan oleh pencapaian kemajuan oleh individu-individu Muslim dan badan-badan sosialnya menurut rentak Singapura yang rancak.

Dan sangat positif pula apabila didapati masyarakat Islam tidak mengkesampingkan Islam dan agamanya. Sebaliknya mereka mengukuhkan jati diri individu keislamannya dan masyarakatnya yang diiktiraf sama penting berperanan dalam menjamin dan mengekalkan keharmonian hidup bersama dalam masyarakat dan bangsa Singapura yang progresif.

Saya sungguh beruntung berada di Singapura sebagai pelajar Madrasah Al-Junied antara pertengahan tahun 50-an dan awal tahun 60-an itu.

Dari segi usia waktu itu saya berumur antara 13-20 tahun. Dari usia menjelang remaja membawa ke usia muda belia.

Anda mungkin dapat membayangkan betapa dalam usia itu seseorang sangat energetic.

Bagaimana pun saya dapat mengatakan betapa seperti rakanrakan yang sama dari Brunei, saya dan rakan-rakan berada dalam lingkungan hidup yang conservative sebagai anak-anak pingitan madrasah.

Dalam lingkungan itulah kami menempuh zaman remaja dan muda belia. Nilai-nilai murni lingkungan pingitan madrasah itulah yang juga sangat berpengaruh dalam  perkembangan kami selanjutnya.

Tetapi anda jangan membayangkan sisi atau sudut sempit lingkungan hidup pingitan madrasah.

Anda dan saya sekarang tentu tidak menafikan betapa lingkungan pingitannya itulah madrasah berjaya melahirkan individu-individu Muslim yang kukuh penghayatan Islamnya.

Dan dalam waktu yang sama, saya kira anda semua wajar menjangkakan, betapa hidup dalam pingitan semacam apa pun akan memberikan alasan kepada seseorang untuk berjiwa ingin bebas.

Benar. Saya akui bahawa dengan jiwa ingin bebas itulah yang membentuk sebahagian dari pengalaman dari kesempatan berada di Singapura dalam tahun-tahun lima puluhan dan enam puluhan itu. Singapura yang dinamik!

Dalam dinamiknya itu, Singapura menyaksikan kegiatan pertubuhan pelajar dan pemuda, di samping kegiatan pergerakan parti politik dan kesatuan buruh.

Alhamdulillah dalam pingitan madrasah itu saya sempat menyertai pergerakan pelajar khasnya menerusi kegiatan seni budaya, bahasa dan sastera.

Dan di situlah bermulanya Episod-Episod Si Awang!.

 

Majlis Penutup Program Kursus Induksi dan Sesi Muzakarah

Ucapan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman di Majlis Penutup Program Kursus Induksi dan Sesi Muzakarah pada hari Selasa, 8 Rejab 1433 Hijriah / 29 Mei 2012 Masihi bertempat di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Baru.


Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Alhamdullilah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah rahmat-Nya serta dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul di majlis kita pada pagi ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta kursus induksi yang telah menamatkan kursus pada selama sebelas hari. Saya berharap semua peserta kursus mendapat manafaat dari kursus ini yang diungkayahkan sebagai usaha kementerian untuk mendedahkan biskita dengan kerja-kerja yang mencabar yang bakal dihadapi di kementerian dan jabatan-jabatan di mana biskita ditugaskan.

Saya difahamkan dalam tempoh kursus itu dijalankan peserta-peserta kursus telah menjalani pelbagai latihan, taklimat-taklimat, siri lawatan dan aktivit-aktiviti kerja secara berpasukan.

Dengan adanya kursus sedemikian pegawai-pegawai yang menyertai kursus ini akan mendapat pendedahan dan penjelasan mengenai pentadbiran dan prosedur-prosedur Kerajaan, peraturan-peraturan am, Akta-Akta dan Undang-Undang, Etika Kerja dalam Perkhidmatan Awam, Peraturan Kewangan dan lain-lain.

Setentunya biskita, yang kini telah pun mempunyai pekerjaan merasa lega kerana mungkin ada sudah yang menunggu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan pengalaman serta cita-cita masingmasing. Entah berapa lama sebahagian daripada biskita sudah menunggu entah berapa banyak surat permohonan yang di hantar kepada prospektif majikan berapa banyak resume yang telah disediakan berapa kali turun naik pejabat menghadiri temu duga dan sebagainya. Akhirnya ditawarkan pekerjaan.

Diharapkan pekerjaan yang ditawarkan kepada para pegawai adalah sesuatu yang dihajati, yang tepat dengan jurusan dan kelulusan masing-masing.

Sebenarnya, mencari pekerjaan dewasa ini bukanlah mudah. Di samping keadaan job market yang semakin berkurangan, termasuk di Negara Brunei Darussalam, di mana peluang pekerjaan mungkin tidak seimbang dengan jumlah pencari kerja (job seekers), majikan sekarang, sama ada di pihak kerajaan atau firma-firma swasta, akan mengambil masa yang lama untuk mengisi jawatan-jawatan kosong - mereka mahu pekerja yang ditawarkan pekerjaan adalah tepat dan sesuai bagi jawatan yang hendak di isi. Kalau dulu pekerja yang memilih pekerjaan, sekarang majikan yang memilih pekerja.

Majikan lebih cenderung kepada pekerja yang mempunyai kepakaran dalam satusatu bidang yang khusus, di samping berkebolehan dan bersedia melakukan multitasking. Majikan juga lebih cenderung kepada pekerja yang mempunyai inisiatif sendiri melatih diri, mempelajari perkara-perkara yang baru, yang kreatif, inovatif, yang pasti dapat making contribution kepada organisasi majikannya. Jika tidak, majikan akan membiarkan jawatan itu kosong sahaja, sehingga the right person walks in.

Setelah bekerja persoalannya sekarang ialah apakah biskita berjaya dalam pekerjaan masing-masing?

Ada beberapa tips yang boleh dikongsikan jika seseorang yang baru memulakan pekerjaan itu, hendak berjaya.

1. Sering bertanya. jangan segan untuk bertanya dengan co-workers mengenai kerjakerja yang dilakukan. Walaupun kita mempunyai kelulusan yang tinggi dan kepakaran tidak bermakna kita tahu segala-galanya. Biasakan diri dengan budaya kerja yang sedia ada dan jika ada perubahan yang akan dikenalkan jangan cepat membuat terlalu banyak perubahan.

2. Tentukan apa sasaran biskita - What are your targets in one year, two years time and so on. Apa yang hendak capai.

3. Bersikap positif kepada keupayaan dan kemampuan diri untuk melaksanakan kerja-kerja yang diberi.

4. Tunjukkan kesibukan walaupun apabila mula-mula bekerja tidak banyak kerja yang diberi. Jangan nampaknya seolah-olah kita tidak tahu apa yang dibuat atau kita menunggu arahan baru kita membuat sesuatu.

5. Cari mentor yang boleh membimbing biskita, orang tempat kitani mengadu, mendapat bantuan, orang yang bersedia mendengar masalah kitani, orang yang menjadi contoh kepada kitani yang cukup pengalamannya.

6. Hormati rakan sekerja kita dengar pendapatnya, mungkin ideanya lebih baik tidak ada salahnya jika kita menerima idea tersebut walaupun ia datangnya dari pegawai bawahan.

7. Sentiasa bersedia untuk memnimba ilmu yang baru, sama ada dalam pekerjaan kitani atau dalam bidang-bidang yang berkaitan.

8. Build your network - kenali sebanyak mana yang boleh mereka-mereka yang dalam pejabat di mana biskita ditugaskan. Kenali juga mereka di pejabat-pejabat lain bukan di kementerian kita sendiri. It will come handy dalam biskita menjalankan tugas. Sometimes 'its not what you know, its who you know'.

9. Minta feedback tentang kerja-kerja yang telah diberi bagi tujuan pembaikan.

10. Tampilkan diri sebagai seseorang yang boleh diberi tanggungjawab confident knowledgeable and trustworthy seorang yang merupakan asset kepada organisasi tersebut bukan  liability.

Sekian sahaja dahulu yang saya ingin sampaikan. Saya berdoa semoga semua pegawai dan kakitangan yang baru bertugas satu dua tahun kebelakangan akan menjadi warga Kementerian Pembangunan yang boleh menyumbang kepada kerja-kerja di kementerian secara amnya. Apatah lagi di mana pada masa ini ekspektasi orang ramai kepada penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan semakin meningkat. Jadilah warga Kementerian Pembangunan bukan hanya jabatan-jabatan di mana biskita bertugas.

Akhir sekali saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Unit Sumber Tenaga Manusia, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan kerana telah mengadakan majlis pada pagi ini.

 

Seminar Melayu Islam Beraja (MIB)

Ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned di  Seminar Melayu Islam Beraja (MIB) sempena Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-60 Tahun pada hari Isnin 22 Jamadilakhir 1433 Hijriah / 14 Mei 2012 bertempat di Dewan Kompleks Seri Kenangan, Daerah Tutong

Alhamdulillah kita panjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini bagi sama-sama menghadiri Seminar Melayu Islam Beraja (MIB) yang bertemakan 'MIB Asas Perpaduan'.

Terlebih dahulu peramba/koala/saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Pengerusi Bersama majlis mengundang peramba/koala/saya selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar MIB pada hari ini.

Peramba/koala/saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Majlis Tertinggi MIB di atas usaha murni menganjurkan seminar yang dikelolakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri Sempena Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-60 Tahun selama dua hari.

Tema seminar yang berbunyi 'MIB Asas Perpaduan' ini tidak syak menepati hasrat murni pembangunan negara untuk kesejahteraan semua.

Perpaduan adalah perkara utama dan mutlak untuk keamanan dan keharmonian iaitu di antara prasyarat penting untuk mencapai kesejahteraan.

Perpaduan ini jangan diambil ringan. Ia adalah tuntutan mutlak dan fardu di dalam kehidupan bagi setiap anak watan yang cintakan keamanan dan kemajuan tulen di atas bumi tumpah darah yang tercinta ini.

Tanggungjawab kita ialah untuk tidak membiarkan apa jua bentuk anasir yang boleh membawa kepada perpecahan.

Inilah sebabnya setiap negara memerlukan asas yang kukuh sebagai asas perpaduan bagi kelangsungan kewujudan sesebuah negara dengan aman dan sejahtera.

Bagi negara kita Negara Brunei Darussalam asas kita ialah konsep MIB yang kita warisi turun-temurun di dalam kesebatian naluri kehidupan orang-orang Brunei.

Negara ini telah ditakdirkan sebagai sebuah negara Melayu yang mewarisi nilai-nilai kemelayuan Brunei. Negara ini terbukti di dalam sejarahnya dengan keterbilangan nilai-nilai teras bangsa Melayu Brunei yang mengutamakan sifat-sifat kehidupan yang harmonis, bersopan santun, bertatasusila dan beradat resam. Nilai-nilai kemelayuan Brunei ini menjadi teras kepada ketertiban dan kelembutan keolahan, budi pekerti dan pembawaan berhemah di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Nilai-nilai ini telah membuktikan kelangsungan orang-orang Melayu Brunei sebagai bangsa yang hormat, berpegang teguh kepada peraturan dan adat resam, takutan kuasa Allah Subhanahu Wata'ala dan pantang menderhaka kepada raja. Inilah nilai-nilai yang menjadikan bangsa Melayu Brunei dapat menjalani kehidupan yang aman dan bersatu padu turun-temurun bagi sekian lamanya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita orang-orang Brunei untuk memastikan kelangsungan nilai-nilai murni Melayu Brunei untuk tidak ditelan zaman dan tidak dicawirkan oleh apa jua anasir.

Di dalam konteks bernegara, nilai-nilai murni Melayu Brunei ini bukanlah milik ekslusif orang-orang Melayu Brunei sahaja, malahan ianya untuk dimiliki oleh semua orang Brunei tidak mengira keturunan kerana ia sebahagian dari konsep negara.

Negara ini juga telah ditakdirkan sebagai sebuah negara Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara dan mengasaskan amalan cara hidup lengkap negara di atas
nilai-nilai Islam.

Islam itu, melalui nilai-nilainya yang universal boleh diterima oleh semua, menjamin keadilan, keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan semua insan. Islam berteraskan kehidupan yang bermoral tinggi. Justeru itu Islam mensyiarkan kemuliaan atau kebaikan dan sangat membenci kemungkaran dan kejahatan.

Melalui prinsip ini, Islam adalah cara hidup yang lengkap yang boleh menjadi teras perpaduan bagi keadilan dan kesejahteraan semua. Inilah lagi satu nilai yang sudah terbukti turun-temurun di negara ini dapat menjamin kemuliaan, membanteras penginayaan, membela orang-orang daif dan mengurus kehidupan bermasyarakat dan bernegara di atas landasan Islam untuk kesejahteraan bersama kerana Allah.

Kita semua bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan nilai-nilai Islam bagi kesejahteraan semua ini daripada diganggu gugat oleh anasir-anasir jahat. Negara kita juga telah ditakdirkan sebagai sebuah negara yang turun-temurun mengamalkan sistem beraja.

Sistem beraja sebagai warisan bangsa mendaulatkan raja yang adil ulil amri di sisi Allah dan agama Islam untuk menaungi rakyat yang taat setia demi untuk kesejahteraan hidup.

Keadilan raja dan kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi terhadap raja telah turun-temurun menjadi teras perpaduan dan benteng kelangsungan kewujudan bangsa Brunei dan Negara Brunei Darussalam.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga keutuhan sistem beraja dan institusi-institusi di bawahnya yang sudah terbukti turun-temurun memberikan kesinambungan pemerintahan untuk keadilan dan kesejahteraan.

Dari sudut mana pun, konsep MIB itu benar-benar jitu sebagai teras perpaduan negara untuk menjamin keharmonian, keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan.

Oleh itu adalah amat penting rakyat dan penduduk negara ini mengetahui, memahami dan mengamalkan nilai-nilai di bawah konsep MIB yang diwarisi turun-temurun.

Seminar pada hari ini dapat memainkan peranan penting, antara lain, untuk memperkuatkan integrasi nasional, memahami adat istiadat negara, kebudayaan Melayu Brunei dan hubungan di antara puak.

Rakyat dan penduduk negara ini yang cintakan keamanan perlu mempunyai kewaspadaan yang tinggi tentang pengaruh-pengaruh sosial dan politik yang tidak serasi dan sesuai dengan amalan kehidupan kita. Jangan kita mudah lupa daratan sehingga pengaruh-pengaruh yang bermotifkan kejahatan mudah mempengaruhi kita.

Kita perlu unggul dengan jati diri kita orang-orang Brunei untuk menangkis pengaruh-pengaruh jahat yang bertopengkan kemajuan.

Walaupun di dalam konteks globalisasi dunia tidak mempunyai sempadan, kehidupan manusia akan tetap selamanya mempunyai sempadan. Bak kata pepatah kita, yang baik kita ambil ikutan dan yang jahat kita jadikan sempadan.

Orang-orang Brunei sementelahan generasi muda yang masih di dalam persekolahan, perlu mempunyai ketahanan jati diri dan kewaspadaan tinggi untuk membina benteng-benteng pertahanan dari dipengaruhi oleh nilai-nilai songsang dan budaya kuning.

Anak-anak muda kita perlu sentiasa sedar bahawa perjalanan kehidupan mereka adalah masih jauh ke hadapan. Jangan gara-gara tidak mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni, perjalanan mereka awal terjebak ke lembah maksiat dan jenayah sehingga merosakkan masa hadapan dan peluang kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Jika banyak anak-anak muda kita terjebak akibat pengaruh dadah, minuman keras, pergaulan tanpa sempadan, ajaran-ajaran sesat dan tidak kurangnya pengaruh dan bahaya rokok, keadaan ini bukan saja menghambat keutuhan kelaurga, malah ia merupakan musibah yang boleh beransur-ansur melemahkan keutuhan negara.

Sebab itulah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat-sangat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak muda, sementelahan pendidikan agama dan mengukuhkan agensi-agensi yang berkepentingan untuk mencegah maksiat dan jenayah, sementelahan di kalangan anak-anak muda.

Adalah amat penting anak-anak muda kita sebagai generasi pewaris mempunyai jati diri dan kefahaman yang mendalam mengenai nilai-nilai warisan di bawah konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

Nilai-nilai jati diri ini akan sentiasa mengingatkan di bumi mana kita sebenarnya berpijak dan langit mana yang sejawarnya kita junjung.

Nilai-nilai inilah yang akan sentiasa mengingatkan kita bahawa kita orang Brunei, kita tidak akan melupakan asal usul kita, kita tetap dengan nilai-nilai murni Melayu Brunei, cara hidup kita lengkap bersendikan nilai-nilai Islam iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah, kita mengangkat dan bernaung di bawah sistem beraja, mendaulatkan raja sebagai pemimpin yang diredai Allah dan secara keturunan kita orang-orang Brunei pantang menderhaka kepada raja kita.

Nilai-nilai murni warisan kita ini apabila terpahat di dada kita orang-orang Brunei dan disulami dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, maka insya-Allah akan jadilah anak-anak Brunei yang berilmu, berjati diri, berjiwa besar, berani dan berdaya saing, tidak lupa daratan, kuat beragama dan patriotik untuk sedia berputih tulang. Inilah anak-anak muda MIB. Kita semua, muda dan tua, akan tetap
menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk tidak mengabaikan MIB di dalam arus modernisasi.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, Peramba/Kaola/Saya sukacita ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pembentang kertas untuk menjayakan seminar ini. Tidak lupa juga terima kasih kepada para peserta yang turut sama dalam menjayakan seminar ini.

 

Majlis Pelancaran Sistem Demerit Points

Ucapan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar selaku tetamu kehormat di Majlis Pelancaran Sistem Demerit Points pada 11 Jamadilakhir 1433 Hijriah / 3 Mei 2012 Masihi bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, Berakas

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah dengan berkat dan izin Allah SubhanahuWata'ala serta limpah dan kurnia-Nya jua, dapatlah kita berkumpul pada petang ini untuk menyaksikan pelancaran Program Rentis Sistem Mata Demerit.

Untuk makluman, rancangan untuk memperkenalkan sistem mata demerit ini telah lama wujud tetapi ianya tertangguh, antaranya disebabkan teknologi pangkalan data Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) belum bersedia untuk melaksanakan sistem tersebut. Alhamdulillah, pada masa ini pangkalan data JPD yang lebih dikenali dengan Sistem Pengangkutan Darat (SPD) telah pun beroperasi dengan baik dan juga telah mempunyai modul asas bagi pelaksanaan sistem mata demerit.

Selain kesediaan JPD dari aspek teknologi, kebimbangan terhadap senario kemalangan jalan raya di negara ini terutama di dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi keutamaan Kementerian Perhubungan untuk mempercepatkan pelaksanaan sistem mata demerit.

Menurut statistik jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian bagi tahun 2008 adalah sebanyak 29 kes, 2009 sebanyak 38 kes, 2010 sebanyak 26 kes dan 2011 sebanyak 47 kes. Manakala pada tahun ini sahaja, statistik kemalangan fatal hingga April adalah menjangkau 14 kes. Senario ini adalah merupakan suatu perkara yang sangat sangat membimbangkan dan perlu ditangani secara berkesan.

Kebimbangan ini juga pernah disebut di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddinWaddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-28 pada 23 Februari 2012.

Dalam situasi ini, pihak kementerian telah pun membuat beberapa langkah dan persiapan yang perlu bagi membolehkan Program Rentis Sistem Mata Demerit dilancarkan hari ini.

Walau bagaimanapun, pelancaran program ini sahaja tidak akan mencukupi sekiranya langkah-langkah susulan tidak dilaksanakan. Perkara utama yang perlu dilakukan ialah menyebarluaskan maklumat mengenai sistem ini kepada masyarakat di negara ini sama ada melalui sesi jerayawara, media massa, bahan cetak dan media sosial. Ini adalah penting bagi memastikan setiap pemandu di negara ini mengetahui dan memahami sistem ini dan tindakan yang akan dikenakan sekiranya pemandu membuat kesalahan lalu lintas yang boleh membawa kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

Dengan kesedaran terhadap denda-denda yang terdapat di dalam pelaksanaan sistem ini, ianya akan dapat menjadikan pemandu-pemandu di negara ini supaya lebih berwaspada dan berhati-hati semasa memandu.

Dengan secara tidak langsung, sistem ini akan dapat membantu mengubah tabiat dan sikap pemandu-pemandu di negara ini kepada lebih bertimbang rasa, berdisiplin dan berhemah semasa berada di jalan raya.

Di samping itu, langkah-langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan dalam mencapai matlamat sistem ini ialah untuk membuat kajian-kajian terperinci mengenai punca-punca kemalangan di negara ini. Kajian-kajian tersebut hendaklah mengambil kira elemenelemen penting seperti faktor manusia, keselamatan kenderaan dan jalan raya termasuk persekitaran. Perkara ini adalah perlu bagi membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti langkah-langkah pembaikan yang perlu untuk dilaksanakan dalam menghindar kemalangan jalan raya di negara ini secara komprensif dan lebih berkesan.

Seterusnya, usaha ke arah menanam sikap pemanduan berhemah di jalan raya di kalangan masyarakat di negara ini hendaklah dilaksanakan dari awal lagi iaitu sebelum seseorang individu itu memiliki lesen memandu. Perkara ini perlu dilaksanakan melalui sistem pembelajaran di sekolah-sekolah memandu baik dari segi latihan teori mahupun amali.

Dalam hal ini, saya ingin menekankan lagi akan pentingnya tugas dan tanggungjawab setiap sekolah-sekolah memandu di negara ini dalam memastikan sistem pembelajaran mereka sentiasa berkesan terutama dalam menerapkan budaya memandu yang berhemah termasuk memastikan pemandu-pemandu baru mempunyai kemahiran dan kecekapan melalui elemen defensive driving.

Penerapan nilai-nilai murni semasa memandu kepada bakal pemandu-pemandu baru juga perlu dilakukan seperti menanamkan sikap bertimbang rasa di jalan raya, bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan mematuhi setiap undangundang dan peraturan lalu lintas dan jalan raya yang ada.

Setiap bakal pemandu baru juga hendakah difahamkan akan tujuan serta matlamat kenapa sistem mata demerit dilaksanakan di negara ini.

Selain daripada itu, sistem ini juga perlu dijadikan sebagai salah satu kurikulum pelajaran di sekolah-sekolah dan institusiinstitusi pengajian di negara ini. Ini adalah perlu bagi memupuk kesedaran awal terhadap pentingnya isu-isu keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah kepada murid-murid dan penuntut-penuntut sekolah.

Dengan adanya kesedaran ini, ianya nanti akan dapat memudahkan penuntut-penuntut berkenaan untuk menjadi pemandu yang berdisiplin dan berhemah apabila memiliki lesen memandu.

Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan sistem ini masih tergantung kepada keberkesanan agensi-agensi penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang ada.

Dalam pada yang sama, penyediaan peraturan dan undang-undang yang bertepatan dan berkesan dalam menangani isu-isu berkaitan keselamatan jalan raya juga penting untuk diberi perhatian serius dan keutamaan.

Hanya dengan penguatkuasaan yang efektif sahaja, tujuan dan matlamat peraturan dan sistem yang diperkenalkan akan dapat dicapai seperti yang dihasratkan. Untuk ini, setakat yang terdaya kita akan meneliti mengikut keutamaan dan keupayaan dalam penyediaan dan pemasangan dan penggunaan alat-alat bantu teknologi terkini seperti CCTV, Speed Trap Camera dan Traffic Red Light Camera.

Sehubungan dengan ini, saya berharap kerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa yang berkenaan supaya mengambil perkara ini secara serius dengan menyedari implikasi kepada negara baik dari segi ekonomi dan sosial sekiranya pengkuatkuasaan tidak dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan semua kakitangan yang terlibat dalam mengendalikan majlis pada petang ini.

 

Majlis Pelancaran Program 'Cintai Warisan Kitani'

Ucapan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binte Othman semasa berucap pada Majlis Pelancaran 'Cintai Warisan Kitani' pada hari Khamis, 22 Rabiulakhir 1433 bersamaan 15 Mac 2012 bertempat di Jabatan Muzium-Muzium, Kota Batu

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga dan para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua maka kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Program 'Cintai Warisan Kitani' pada petang ini.

Warisan budaya adalah sesuatu yang penting untuk kita jaga dan pelihara kerana ianya lambang keujudan atau tamadun sesebuah bangsa. Sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat, Negara Brunei Darussalam mempunyai warisan budaya yang tersendiri yang membezakannya dengna negara-negara dan bangsa-bangsa lain di dunia ini. Warisan ini telah kita warisi sejak zaman berzaman iaitu sejak negara kita wujud lebih daripada seribu tahun yang silam dan setelah engara mengamalkan ugama Islam kira-kira 600 tahun yang lalu. Sebagai bangsa yang bertamadun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga warisan budaya ini supaya ianya tidak hilang ditelan oleh arus pembangunan dan modenisasi yang kian mengimpak kehidupan kita sehari-hari. Dengan kesedaran ini maka kita akan terus dapat melihat budaya kita terus hidup sering dengan pembangunan negara kita yang moden dan dinamik.

Saya difahamkan bahawa Program 'Cintai Warisan Kitani' yang dilancarkan pada petang ini akan diadakan di keempat-empat daerah dan memfokaskan terhadap kanak-kanak sekolah di negara ini. Setiap negara dan penduduknya perlu mengetahui dan menghargai warisannya, keadaan kita hari ini adalah kerana pengalaman yang kita lalui. Negara yang ingin maju ke hadapan perlu mempelajari dari pengalaman manis pahit yang pernah dilaluinya. Dengan ini, golongan kanak-kanak, yang merupakan masa depan kita, perlu didedahkan dengan setiap aspek pembelajaran, hatta dalam menerapkan kesedaran terhadap warisan budaya. Pembelajaran dari peringkat akar umbi adalah sesuatu yang amat ditekankan dalam dunia pembelajaran dan ini juga ditekankan dalam Islam. Dalam dunia serba moden ini, kanak-kanak lebih banyak terpengaruh dengan pengaruh-pengaruh asing yang boleh mengubah cara hidup dan daya pemikiran mereka. Kita tidak boleh menolak kemajuan-kemajuan ini, namun dalam masa yang sama kita tidak mahu gemerasi muda kita ini hanyut dengan arus kemodenan tanpa hala tuju dan tujuan.

Inilah peranan institusi muzium serta agensi-agensi wariasan negara yang lain yang merupakan gedung ilmu yang bertanggungjawab memasyarakatkan warisan bangsa agar semua mencintai warisan bangsa.

 

Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012

Ucapan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof di Majlis Akademik Sempena Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa Tahun 1433 Hijriah / 2012 Masihi pada hari Sabtu, 20 Jamadilakhir 1433 Hijriah / 12 Mei 2012 Masihi di Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX, Jerudong

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini iaitu di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat, kaum keluarga dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan kejururawatan kami terutama jawatankuasa penganjur kerana mengadakan acara penting ini. Bagi penceramah jemputan Profesor Madya Dr. Premarani Kannusamy dari Singapura dan Profesor Faustino Jerome Babate dari Filipina, saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kerana meluangkan masa anda untuk datang ke Negara Brunei Darussalam bagi berkongsi dengan kami pengalaman luas dan pengetahuan anda dalam profesion kejururawatan terutamanya Amalan Berasaskan Bukti dalam kejururawatan pada forum yang diadakan hari ini sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa.

Pada tahun ini, Majlis Jururawat Antarabangsa (International Council of Nurse, ICN) telah memilih tema 'Closing The Gap : From Evidence to Action' (Penutupan Jurang : Dari Bukti Kepada Tindakan) bagi sambutan Jururawat Antarabangsa 2012. Tema ini adalah sangat bertepatan dan relevan pada masa kini dalam usaha kita bersama-sama untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih cemerlang, lebih berkualiti dan efektif. Kita tidak seharusnya terlepas pandang akan pentingnya megguna pakai atau mengaplikasikan ilmu pengetahuan serta bukti-bukti yang sedia ada kepada amali penjagaan kesihatan sama ada dalam aspek perawatan dan pemulihan pesakit; pencegahan serta kawalan penyakit; malahan juga dalam mempromosikan kesihatan kepada orang awam secara menyeluruh.

Amalan Berasaskan Bukti atau Evidence Based Practice (EBP) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa merupakan sebagai amalan terbaik (best practice) yang bukan sahaja diguna pakai oleh profesional kesihatan dari golongan doktor-doktor dan Allied Health Professionals' malahan ia juga sangat penting bagi para jururawat dan bidan di negara ini dalam menyerapkan EBP ini kepada amalan-amalan kejururawatan untuk diguna pakai sepanjang masa.

Untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan EBP, ICN telah mengenal pasti empat komponen penting iaitu:

a. Pemahaman tentang Amalan Berasaskan Bukti (Understanding Evidence-based Practice);

b. Mengenal pasti sumber-sumber keterangan atau bukti (Sources of evidence);

c. Menterjemah bukti-bukti kepada tindakan (From evidence to action); dan

d. Membuat kes bagi perubahan (Making the case for change).

Dengan mengambil perhatian akan tema Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa tahun ini, saya menyeru supaya para jururawat dan bidan akan mendalami pengetahuan mengenai amalan-amalan berasaskan bukti agar ianya dapat membolehkan para jururawat dan bidan untuk sentiasa meneliti dan mengkaji semula amalan kejururawatan (Nursing Practice) dan mencari kaedah-kaedah yang baru yang lebih berkesan, cekap dan selamat sekali gus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kejururawatan kepada pesakit-pesakit khususnya serta orang awam amnya.

Seperti mana yang kita maklum, amalan yang berasaskan bukti banyak mendatangkan faedah kepada keberkesanan perkhidmatan bukan sahaja dari segi rawatan dan penj agaan pesakit dan orang awam malahan juga ada sebahagiannya berupaya menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan rawatan pesakit dalam jangka panjang. Amalan berasaskan bukti juga telah mendatangkan hasil yang positif dan berkesan seperti penyembuh penyakit-penyakit tertentu dengan cepat, pengurangan penggunaan ubat-ubatan seperti antibiotik, mampu menghalang penyakitpenyakit tertentu dari berulang dan sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan kesejahteraan individu dan masyarakat.

Sumbangan para jururawat dan bidan adalah sangat penting dalam memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran-cabaran kesihatan peringkat global dan juga setempat khususnya yang berkaitan dengan peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases); kemunculan penyakit-penyakit berjangkit baru serta kemunculan semula penyakit-penyakit berjangkit lama. Dalam semua situasi ini, adalah diharapkan para Jururawat dan Bidan hendaklah jangan leka kerana prestasi khidmat yang berkualiti dan cemerlang bukan hanya memberi kesan positif kepada pesakit atau individu yang dirawat malahan lebih dari itu, khidmat para Jururawat dan Bidan dapat memberi impak kepada status kesihatan negara seperti mana dinilai mengikut kaedah
yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui pencapaian Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals).

Perkhidamtan Kejururawatan juga diharapkan supaya akan dapat menumpukan kepada amalan kejururawatan yang dinamik dan relevan dalam menghadapi cabaran abad ke-21 ini dan juga ekspektasi orang ramai yang semakin tinggi. Di samping mengamalkan ciri-ciri kesepaduan dan semangat kerja berpasukan yang mantap, mempunyai disiplin yang tinggi disertai dengan penuh kesabaran dalam melaksanakan penjagaan, perawatan dan pengurusan pesakit dan orang ramai, para jururawat dan bidan juga diingatkan agar tidak mengabaikan asas-asas utama yang perlu diserapkan dan dihayati dalam menjalankan tugas-tugas kejururawatan iaitu seperti:

  • Garis Panduan dan Standard Operating Procedures;
  • Code of Professional Conduct for Registered Nurses and Midwives Code of Ethics for Registered and Midvies dan
  • Amalan-amalan Berasaskan Bukti.


Dalam suasana di mana para jururawat dan bidan di seluruh dunia kini mula tampil ke hadapan dalam menghasilkan kaedah-kaedah baru dan inovatif untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, maka para jururawat dan bidan di negara ini seharusnya juga peka dan tidak ketinggalan untuk turut berusaha membuat pembaharuan dan inovasi semata-mata bagi menyumbang kepada mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan. Perubahan serta kaedah-kaedah baru ini dapat diaplikasikan dari model amalanamalan terbaik dan juga hasil dari penemuan kajian-kajian yang terbukti mendatangkan kesan yang positif. Salah satu pendekatan yang sedia ada ialah melalui kaedah Kumpulan Kerja Cemerlang yang mana seharusnya dijadikan sebagai landasan para Jururawat dalam menghasilkan kaedah-kaedah baru dengan berasaskan bukti untuk mengatasi sebarang masalah dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Profesion kejururawatan adalah antara profesion kesihatan yang terawal dan walaupun sektor penjagaan kesihatan telah melalui arus perkembangan pesat, profesion kejururawatan sehingga kini masih lagi bertahan teguh malahan ia diiktiraf sebagai profesion berpiawaian tinggi dan dihormati di seluruh dunia, tidak terkecuali oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini adalah satu perkara yang sewajarnya menjadi kebanggan kepada para Jururawat dan Bidan sendiri termasuk di Negara Brunei Darussalam dan pengiktirafan seperti ini seharusnya dimartabatkan dan dipertahankan.

Para Jururawat dan Bidan hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kerana pengetahuan yang meluas dalam pelbagai bidang kepakaran, maka keperluan perawatan dan penjagaan kesihatan pesakit dan orang ramai akan dapat dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah di Negara Brunei Darussalam kita menumpukan kepada inisiatif-inisiatif meningkatkan kepimpinan bidang klinikal di kalangan para Jururawat dan Bidan untuk mereka bekerjasama dengan profesional kesihatan klinikal lain sebagai satu pasukan untuk memberikan perkhidmatan yang bersepadu, efisien, efektif dan berkualiti.

Di samping itu, dalam pengurusan, para Jururawat dan Bidan yang diberikan amanah menjalankan tanggungjawab sebagai ward managers hendaklah penuh bertanggungjawab, cekap dan proaktif dalam memastikan pengurusan wad-wad di bawah jagaan mereka berjalan dengan baik dari pentadbiran jururawat-jururawat kepada hal ehwal pengurursan penjagaan pesakit-pesakit dan penjagaan persekitaran wad. Begitu juga para jururawat dan bidan di pusatpusat kesihatan dan klinik-klinik kesihatan, mereka hendaklah juga lebih peka akan keadaan sekeliling serta masyarakat di tempat mereka memberikan khidmat.

Apa yang mustahak disarankan supaya para Jururawat dan Bidan sentiasa mengadakan permuzakarahan  di antara sesama mereka dan pihakpihak yang berkenaan di mana mereka ditempatkan. Di samping itu, Ketua-Ketua Jururawat hendaklah juga sentiasa bersifat terbuka untuk mendengar apa jua cadangancadangan yang bernas dan positif dari kalangan Jururawat dan Bidan di bawah pengurusan masing-masing dengan hasrat memperbaiki dan memantapkan lagi perkhidmatan yang diberikan. Dengan pendekatan demikian, ini sudah setentunya dapat mengwujudkan perasaan sense of belonging dan perasaan sama-sama bertanggungjawab terhadap tugastugas yang diamanahkan.

Melalui pendekatan amalan Berasaskan Bukti dalam Amalan Kejururawatan dan mengikut Standard Operating Procedure yang ditentukan, saya percaya Kementerian Kesihatan akan dapat berupaya menghasilkan Jururawat-Jururawat dan Bidan-Bidan berwawasan, proaktif, responsive,berkualiti serta mempunyai daya pemikiran analitikal lagi inovatif. Program Continuing Nursing Education setentunya dapat dijadikan akan perkembangan dan pergolakkan bidang kejururawatan perubatan dan kesihatan. Amalan kejururawatan yang berasaskan bukti ini juga akan dapat memartabatkan imej Perkhidmatan Kejururawatan di negara ini iaitu setanding dengan tahap perkhidmatan kejururawatan di peringkat global. Oleh yang demikian, para jururawat dan Bidan hendaklah menghayati amalan kejururawatan berasaskan bukti ini sebagai cara dan budaya kerja yang berterusan.

Sehubungan dengan itu, saya menyarankan Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan melalui Unit Pendidikan Lanjutan Kejururawatan hendaklah mengambil inisiatif untuk mengendalikan kursus-kursus atau program yang relevan dan lebih inovatif mengikut perkembangan dan mengambil kira akan cabaran semasa dan mendatang termasuk mengenai Amalan Kejururawatan Berasaskan Bukti.

Bersempena dengan Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012 ini, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga kesemua Jururawat dan Bidan di negara ini akan sentiasa dikurniakan taufik, hidayah serta berada dalam kandungan sihat walafiat dan di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala bagi meneruskan menjalankan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada masyarakat dan negara.

Adalah diharapkan para Jururawat dan Bidan akan dapat mempertingkatkan satu landasan bagi para Jururawat dan Bidan mendalami Amalan Berasaskan Bukti ini supaya mereka sentiasa peka khidmat bakti dengan lebih berdedikasi, bersopan santun, berdisiplin, cemerlang, berkualiti, pemedulian dalam kita bersama-sama memantapkan dan mengukuhkan lagi sistem penjagaan kesihatan di negara ini. Semoga sumbangan khidmat bakti yang dicurahkan akan diterima sebagai ibadah dan diberkati serta dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Akhirnya saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa bagi tahun ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang murni lagi ikhlas itu akan mendapatkan keberkatan dan ganjaran yang sebaik-baiknya dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2012.

 

Majlis Perasmian Sambutan Hari Antarabangsa Keluarga 2012

Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Majlis Perasmian Sambutan Hari Antarabangsa Keluarga 2012 bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada hari Selasa, 15 Mei 2012

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Keluarga yang kukuh dan harmoni merupakan asas utama dalam pembentukan sebuah masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya maju serta mendukung ke arah pembangunan negara yang mantap lagi berintegrasi tinggi.

Seminar kemahiran keibubapaan ini diharap akan dapat meningkatkan kesedaran para peserta selaku ibu bapa yang menjadi tunggak dalam setiap institusi keluarga, tentang peranan dan pengaruh mereka untuk menyerapkan nilai-nilai murni berlandaskan kasih saling kepercayaan dan hormat-menghormati serta nilai-nilai keagamaan yang teguh.

Sesuai dengan tema sambutan 'Keluargaku Harapanku', diharap usaha-usaha sambutan ini akan dapat mengingatkan kita bahawa walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada dalam susah ataupun senang, sihat ataupun tidak, keluarga merupakan tempat kita bergantung harapan, berlindung serta menerima sokongan, ketenangan dan kebahagiaan. keluarga yang mantap boleh menjadi sumber inspirasi dan seterusnya meningkatkan aspirasi untuk kita terus mencapai kejayaan demi kesejahteraan dan pembangunan negara.

Pepatah mengatakan sedangkan lidah lagi tergigit begitulah juga keadaan dalam hidup berkeluarga tidak sentiasanya berjalan lancar. Ada kala terdapat suka dan duka, kegembiraan dan kesedihan, kejayaan dan kegagalan. Begitu juga di dalam ahli keluarga itu diibaratkan sebagai sebuah pisang setandan akan terdapat yang masak ranum dan tidak kurang juga sebiji dua yang rosak. Walau bagaimanapun dalam kehidupan berkeluarga, kita tidak semata-mata memberikan perhatian dan tumpuan kepada ahli keluarga yang baik dan mengenepikan mereka yang bermasalah.



Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan bagi mengukuhkan institusi keluarga, mereka perlu mengambil sikap memperteguhkan ahli keluarga yang berjaya, membangunkan ahli keluarga yang lemah dan memperbaiki ahli keluarga yang bermasalah dengan belaian kasih sayang yang sama rata.

Kesimpulannya, adalah sudah menjadi lumrah alam dalam menjalani kehidupan seharian, sesebuah keluarga akan melalui berbagai cabaran dan dugaan yang sudah setentunya akan menguji kita. Dalam apa jua situasi ibu bapa dan ketua keluarga perlu memberikan perhatian, kasih sayang, sokongan dan memahami jiwa setiap ahli keluarga khususnya anak-anak mereka. Institusi keluarga adalah merupakan barisan pertama pertahanan atau first front line defence dalam menghadapi dan membuat koreksi (correction) ke atas permasalahan yang dihadapi dalam ahli keluarga.

Justeru itu, kejayaan sesebuah keluarga mengharungi onak dan duri kehidupan bukan saja bergantung kepada ketahanan, kesabaran dan keimanan kita malah juga sikap bertanggungjawab, keutuhan akhlak dan kemahiran keibubapaan dalam membimbing semua ahli keluarga menuju kejayaan.

Sehubungan dengan ini, pengertian yang mendalam mengenai keluarga dan peranan keluarga termasuk juga kemahiran keibubapaan atau parenting skill perlu ada dalam institusi keluarga terutamanya di kalangan mereka yang digelar ketua keluarga atau ibu dan bapa.

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah peranan penting keluarga dan kemahiran keibubapaan adalah merupakan keperluan yang bersifat universal tidak kira keluarga yang kaya dan miskin atau senang dan susah. Peranan keluarga dan keibubapaan adalah sama iaitu untuk mewujudkan ahli keluarga yang sempurna dan bahagia di dunia dan akhirat dengan mempunyai akhlak yang mulia, disiplin yang terpuji, pendidikan yang sempurna dan amal ibadat yang diredai Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita perlu mengambil contoh dan iktibar melalui sejarah para wali, alim ulama, cerdik pandai dan ilmuwan Islam dalam mana tidak kesemua mereka lahir daripada golongan bangsawan dan mereka yang kaya raya. Akan tetapi kebanyakan mereka lahir daripada keluarga yang miskin dan susah yang memberikan asuhan, didikan dan bimbingan yang penuh dengan kasih sayang, menitikberatkan ketakwaan dan ibadah kepada Allah serta menekankan akan pentingnya mengejar ilmu pengetahuan kepada anak-anak dan ahli keluarga mereka.

Bagi mereka yakni ibu bapa yang benarbenar mengerti akan kesempurnaan dan kebahagiaan dalam kehidupan ianya bukan semata-mata terletak kepada wang ringgit dan kekayaan, akan tetapi dalam keberhasilan mewujudkan sakinah, mawaddah dan warahmah dalam ahli keluarga dan hubungan mereka yakni ahli keluarga dengan masyarakat.

Oleh itu, saya berharap kepada semua peserta seminar agar mengambil peluang ini untuk meningkatkan keberkesanan kemahiran keibubapaan sekali gus mempelajari dengan lebih mendalam lagi kaedah-kaedah yang telah terbukti dapat mengukuhkan kesejahteraan keluarga.

Dengan bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim saya  dengan ini sukacita merasmikan Seminar Kemahiran Keibubapaan Sempena Hari Antarabangsa Keluarga 2012.

 

Majlis Pelancaran Ekspo Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan 2012

Ucapan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail semasa Majlis Pelancaran Ekspo Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan 2012 pada hari Sabtu, 18 Februari 2012 Masihi / 25 Rabiulawal 1433 Hijrah di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas segala rahmat dan hidayah-Nya yang telah mengizinkan kita hadir di Majlis Pelancaran Ekspo Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan 2012 pada hari ini.

Saya sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Ekspo atas ingatan baik menjemput saya hadir dan memberikan penhormatan kepada saya untuk merasmikan Ekspo Pengajian Tinggi, Kementerian Pedidikan 2012 pada pagi ini.

Saya dimaklumkan bahawa ekspo ini adalah kesinambungan kepada Hari Terbuka Bahagian Biasiswa dan Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan yang diadakan pada setiap tahun di mana lazimnya melibatkan jabatan dan bahagian di bawah Kementerian Pendidikan seperti Jabatan Pendidikan Teknik, Bahagian Biasiswa, Bahagian Pengajian Tinggi, Bahagian Kaunseling dan Bimbingan Bakat Kerja, Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Urus Setia Majlis Pendidikan Teknik danVokasional serta institusi-institusi pengajian tinggi termasuk juga institusi-institusi pendidikan teknikal dan vokasional.

Saya mengambil maklum bahawa ekspo pada tahun ini juga disertai oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan biasiswa seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perancangan dan Perkembangan Ekonomi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad.

Saya juga difahamkan bahawa ekspo ini turut disertai oleh wakil-wakil dari Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan Besar serta institusi pengajian swasta tempatan dengan tujuan untuk mempromosi kursus-kursus keluaran institusi dan universiti luar negeri dan agensi-agensi perbankan yang berhasrat untuk menawarkan khidmat nasihat kewangan bagi urusan pinjaman atau insurans pendidikan.

Melihat kepada gandingan pelbagai agensi dalam ekspo yang akan berjalan selama dua hari ini, saya penuh percaya bahawa ekspo ini akan mencapai objektifnya iaitu menyediakan dan memberikan ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar, ibu bapa dan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini (first hand information) mengenai program-program yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan dan swasta (IPTTS), skim-skim biasiswa bagi mengikuti pengajian dalam dan luar negara dan insentif kewangan bagi melanjutkan pengajian.

First hand information yang dimaksudkan adalah juga termasuk maklumat terkini mengenai syarat-syarat permohonan Skim-Skim Biasiswa yang telah dikemas kini, status pengiktirafan kelulusan institusi dan kursus keluaran luar negeri serta syarat dan kriteria kemasukan ke IPTTS di mana maklumat-maklumat berkenaan adalah penting untuk diketahui dan difahami oleh para pemohon bagi mengelakkan kesalahfahaman atau kekeliruan.

Perlu diingat bahawa maklumat-maklumat tersebut hakikatnya berubah-ubah tertakhluk kepada perkembangan semasa, keperluan-keperluan negara dan stakeholders yang lain, peningkatan dan persaingan dari segi kualiti akademik para pelajar.

Dengan demikian, saya sukacita menyeru supaya Ekspo Pengajian Tinggi ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pelajar, ibu bapa dan orang ramai bagi mendapatkan panduan yang jelas dan tepat sebagai perancangan dalam menentukan bidang pengajian yang akan diikuti. Pada dasarnya, ekspo ini adalah peluang terbuka bagi para pengunjung untuk mengajukan persoalan dan menghadapkan permohonan kepada pihakpihak tertentu secara langsung.

Khusus bagi peserta-peserta ekspo, saya berharap supaya maklumat-maklumat yang dikongsikan akan dapat membantu para pelajar membuat pilihan terbaik dalam menentukan bidang pengajian yang bukan berdasarkan minat sahaja tetapi mestilah bersesuaian dengan kelulusan akademik yang diperolehi.Peserta ekspo adalah juga disarankan untuk bersikap transparent dan profesional dalam melayan para pengunjung bagi sama-sama mendapat faedah dari ekspo ini.

Khusus dalam usaha memastikan caloncalon pelajar yang berhasrat untuk mengikuti kursus-kursus di institusi pendidkan teknik dan vokasional yang mempunyai kelulusan dan kelayakan yang menepati kriteria-kriteria tertentu, saya difahamkan bahawa dalam ekspo ini, Jabatan Pendidkan Teknik akan memperkenalkan Technical and Vocational Education Centralised Admission System (TVeCAS) iaitu subsistem kepada Technical and Vocational Education Student Information System (TVeSIS) yang sedang diguna pakai pada masa ini bagi menyelaras dan memudahkan lagi prosedur permohonan calon-calon pelajar tersebut.

Sistem yang akan diguna pakai pada sesi pengambilan pelajar pada mulai Julai tahun 2012 ini adalah tambahan kepada Sistem Kemasukan Berpusat Pengajian Tinggi (Higher Education Centralized Admission System [HECAS]) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2009.

Sehubungan dengan ini, saya berharap dengan adanya TVeCAS, calon-calon pelajar akan mendapat peluang sama rata, adil dan telus dalam proses pemilihan bagi mengikuti kursus-kursus di institusi-institusi yang berkenaan selaras dengan keperluan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti yang dapat memberikan rakyat Negara Brunei Darussalam ilmu pengetahuan dan kemahiran serta mampu bersaing mengharungi perubahan globalisasi pada masa ini dan akan datang.

Akhirnya, saya sukacita merakamkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta ekspo di atas kesudian menyertai ekspo ini dan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Ekspo Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan 2012 di atas usaha dan kesungguhan semua pihak sehingga ekspo ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga usaha berkebajikan dan kerjasama yang ikhlas dalam mengungkayahkan majlis ini akan mendapat balasan yang setimpal dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan mengambil tabaruk dari kalimah Tayyibah lagi mulia : Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalaatu Wassalaamu'alaa Asyrafil Ambiya Ewal Mursalin Sayyidina Muhammadin Wa'alaalihi Wasahibi Azmaeen, saya sukacita merasmikan Ekspo Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan 2012 dengan iringan doa semoga ekspo ini mencapai matlamat dan objektif penganjurannya.

 

Majlis Pelancaran Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara

Ucapan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binte Othman semasa berucap pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada hari Isnin, 2 April 2012 Masihi / 10 Jamadilawal 1433 Hijrah

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu AlaihiWasallam, kaum keluarga, para sahabat serta pengikut Baginda yang taat lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala jua kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya jua kita semua dapat berkumpul di Majlis Pelancaran Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara pada petang ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 89 orang pelatih yang telah terpilih bagi mengikuti Projek Rintis Kedua Program Khidmat Bakti Negara yang bermula semalam 1 April hingga 23 Jun 2012. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa dan penjaga pelatih kerana telah memberikan sokongan ke arah pelaksanaan projek rintis kedua program khidmat bakti negara ini.

Projek Rintis Program Khidmat Bakti Negara yang bermula pada 4 Disember 2011 baru berakhir pada 27 Februari 2012. keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Kem Projek Rintis Pertama pada 25 Februari 2012 bagi melihat dengan lebih dekat lagi pelaksanaan Projek Rintis Pertama tersebut telah menunjukkan keprihatinan baginda ke atas projek yang berperingkat nasional ini.

Alhamdulillah daripada maklum balas yang telah diterima daripada bekas pelatih, para ibu bapa dan orang ramai terhadap projek rintis pertama menunjukkan kejayaan projek rintis pertama. Komen-komen yang diterima melalui evaluasi semua pihak ke arah mempertingkatkan lagi keberkesanan program khidmat bakti negara telah diambil kira dalam merancang Projek Rintis Kedua. Dengan ini modul latihan pada kali ini akan memasukkan beberapa ciri baru seperti modul asas menembak di bawah kawalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta pengetahuan asas mengenai Undang-Undang Kemanusiaan atau 'Humanitarian Law' yang akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC). Manakala komponen keagamaan, keusahawanan dan khidmat komuniti yang dimantapkan dari segi kepelbagaiannya ke arah merealisasikan visi Belia Brunei Cemerlang yang berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB).

Dari segi prasarana, satu padang kawad dan tambahan penginapan dan bilik-bilik darjah sedang dalam proses pembinaan bagi menambah jumlah kemasukan pelatih ke PKBN nanti. Dalam masa yang sama persediaan untuk membina bangunan kekal PKBN yang berkonsepkan mesra alam yang berharga sekitar 23.5 juta dengan keluasan 40 ekar di Mukim Batu Apoi, Temburong sedang giat dijalankan. Kem baru ini nanti dijangka akan dapat memuatkan sekitar 700 orang pelatih dalam satu-satu masa.

Program Khidmat Bakti Negara atau lebih dikenali lagi dengan gelaran PKBN adalah Program Khas Pembangunan Belia Kebangsaan yang memfokuskan kepada pembinaan jati diri atau character building ke arah ketahanan dan kekuatan mental, fizikal dan kerohanian mengikut lunas-lunas budaya, kenegaraan dan agama. Selama 12 minggu program ini berjalan, para pelatih akan diasuh dari segi disiplin bertanggungjawab dan untuk memupuk sifat peri kemanusiaan. Di samping latihan jasmani latihan kawad menembak dan yang lain yang menjurus kepada sifat tahan lasak para pelatih akan juga didedahkan kepada kerja-kerja kemasyarakatan yang mana.

Insya-Allah akan dapat meningkatkan kesedaran para pelatih belia kita kepada realiti golongan masyarakat yang vulnerable. Pengalaman ini diharap akan dapat menjadikan belia kita sebagai individu dan golongan yang prihatin akan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat sekeliling, di samping mempunyai keyakinan diri, semangat berdikari dan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan.

Daripada maklum balas yang diterima dari bekas peserta projek rintis pertama jelas menunjukkan dinamik program ini yang dapat membina belia dengan mindset yang positif, belia yang tidak mudah putus asa, belia yang mempunyai keyakinan diri dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran di masa depan.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa melalui PKBN ini nanti akan dapat melahirkan golongan belia yang dapat membawa kepada perubahan yang dinamik dan progresif kepada negara dengan sentiasa mempertahankan kedaulatan raja, bangsa, negara dan agama tanpa menjejaskan atau merosakkan kemurnian adat istiadat, budaya dan tatasusila bangsa Brunei.

Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang mempunyai masyarakat prihatin masyarakat pemedulian hanya akan dapat mengekalkan nilai-nilai murni ini dengan komitmen dan penglibatan para belia. Iltizam ini adalah penting bagi membolehkan negara kita mencapai Wawasan 2035 untuk menjadi sebuah masyarakat yang berpendidikan dengan tahap kualiti kehidupan yang tinggi. Negara ini memerlukan belia yang mempunyai semangat kenegaraan yang kental, yang prihatin dan memahami akan peranan mereka terhadap sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan negara.

PKBN adalah program nasional program yang dimiliki oleh semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan sektor swasta badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat. Walaupun Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan merupakan agensi utama dalam pengendalian program ini PKBN adalah milik semua dan adalah tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama menjayakan program ini.

Sehubungan dengan ini, peranan semua agensi yang terlibat, ibu bapa, keluarga, para penyelia dan tenaga pengajar, masyarakat umum dan juga para pelatih belia itu sendiri adalah penting sebagai penyumbang ke arah peningkatan keberkesanan program ini. Saya difahamkan bahawa seramai 29 bekas peserta program rintis pertama akan ikut terlibat sebagai sukarela dalam pengendalian projek rintis ke-2 ini.

Syabas saya ucapkan kepada mereka dan penyertaan mereka adalah sebagai bukti kepada kejayaan projek rintis pertama yang dapat menimbulkan perasaan rindu dan perasaan kekitaan di antara pesertanya dengan PKBN sehingga ingin membantu menjayakan PKBN. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang telah memberikan kerjasama bagi pelaksanaan projek rintis kedua ini.

Buat mengakhiri ucapan saya ini saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada para pelatih yang akan mengikuti projek rintis kedua PKBN ini dan berharap para pelatih akan menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik-baiknya kerana kejayaan projek rintis kedua ini nanti adalah juga tertakluk kepada komitmen penuh para pelatih itu
sendiri. Peranan para pelatih dalam setiap aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tiga bulan nanti sangat penting.

Tunjukkan kebolehan, kepimpinan serta komitmen abiskita sepanjang projek ini berjalan nanti. Kautlah sebanyak ilmu dan sebanyak nasihat yang dapat, yang mana apabila tamat menjalani latihan nanti akan menjadi sukat-sukat abiskita dalam mengharungi realiti kehidupan yang semakin mencabar di luar sana. jadikanlah projek ini sebagai medan perjuangan ke arah mempersiapkan abis kita untuk menjadi belia harapan bangsa dan penyumbang kepada pembangunan negara.

 

Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2012

Ucapan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binte Othman semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2012 di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam pada hari Khamis, 15 Rabiulakhir 1433 Hijriah / 8 Mac 2012 Masihi

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, selawat dan salam kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerabat dan para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat dan setia sehingga ke akhir zaman.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya jua kita semua dapat berhimpun pada pagi ini bagi sama-sama menyambut Hari Wanita Antarabangsa (HWA) bagi tahun 2012.

HWA adalah hari yang penting kerana pada satu hari ini seluruh dunia dapat menumpukan perhatian dan fokus kepada isu wanita. Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan dalam menyambut hari yang mulia ini dan harapan kita semua agar isu wanita akan dapat diberi tumpuan yang sewajarnya pada hari ini. Isu wanita adalah banyak. Bagi Negara Brunei Darussalam, alhamdullillah, dengan adanya keprihatian yang ditunjukkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam maka status wanita di negara ini telah mencapai status yang tinggi, berdasarkan hukum Islam yang meletakkan kedudukan wanita di tahap yang tinggi. Walau bagaimanapun, seperti mana juga dengan negara-negara lain termasuk negara-negara maju, Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali menghadapi beberapa isu wanita yang negatif. Isu-isu yang dimaksudkan adalah seperti keganasan terhadap wanita dan perempuan, wanita dalam kemiskinan, penderaan, tuntutan nafkah serta penglibatan wanita dan perempuan dalam gejala-gejala sosial seperti kegiatan-kegiatan kurang bermoral.

Menyedari hakikat ini, maka Kerajaan Kebawah DYMM telah mengenal pasti bahawa salah satu isu sosial yang memerlukan perhatian ialah isu wanita. Dengan ini satu Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga dan Wanita telah ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial. Keahlian Jawatankuasa Khas tersebut termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan merupakan usaha bersepadu oleh semua stakeholders dalam menangani isu yang melibatkan institusi keluarga dan wanita. Alhamdulillah, jawatankuasa tersebut telah baru-baru ini meluluskan Pelan Tindakan yang bertujuan untuk mengukuhkan institusi keluarga dan ekuiti gender atau isu-isu yang dihadapi oleh wanita melalui program-program jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Di antara Pelan Tindakan itu termasuk meningkatkan kemahiran keibubapaan, meningkatkan sikap bertanggungjawab bagi setiap ahli keluarga, keseimbangan pekerjaan dan keluarga bagi pekerja-pekerja wanita, perkhidmatan guaman bagi isu wanita termasuk tuntutan nafkah serta menangani cabaran negatif dunia cyber.

Tema HWA bagi tahun ini ialah 'Connecting Girls, Inspiring Futures' dan bagi Negara Brunei Darussalam ini telah ditumpukan kepada penjagaan dan perlindungan kanak-kanak perempuan. Sudah setentunya isu pembesaran dan perlindungan kanak-kanak perempuan ada kaitan secara langsung dengan wanita kerana keperibadian dan penghidupan sosial kanak-kanak perempuan akan menjadi penentu kepada pembentukan personalitinya bila mereka menjadi wanita nanti. Di Negara Brunei Darussalam, 47 peratus daripada penduduknya terdiri daripada kaum wanita dan impak mereka kepada pembangunan negara sudah tidak dapat dinafikan. Dengan ini adalah penting bagi kita untuk memastikan bahawa kaum wanita dan perempuan diberi peluang untuk mencapai potensi mereka yang maksima. Kerana jika kita gagal dalam hal ini akan mengakibatkan kerugian besar bagi negara kita, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah juga dari segi sosiobudaya kita.

Justeru itu, bagi Negara Brunei Darussalam, semua kanak-kanak mempunyai akses secara percuma kepada kemudahan dan perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial. Alhamdulillah, penjagaan rakyat dan penduduk di negara ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui pencapaian negara dalam UNDP Human Development Index di mana Negara Brunei Darussalam menduduki tempat ke-33 daripada 187 buah negara.

Sambutan HWA pada hari ini akan memberi tumpuan kepada isu keganasan rumah tangga dan penjagaan diri kanak-kanak perempuan dan wanita dari sebarang penganiayaan. Keganasan rumah tangga berlaku setiap hari di seluruh dunia dan beribu-ribu wanita menderita dalam kesepian. Keganasan rumah tangga terhadap wanita pada umumnya berakar umbi dalam semua masyarakat dan budaya, sehingga ramai wanita yang menganggapnya sebagai sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Menurut kajian antarabangsa, sekurang-kurangnya satu dari tiga wanita mengalami keganasan rumah tangga dan serangan seks dalam seumur hidup mereka dan selalunya pelaku adalah terdiri dari kalangan keluarga.

Malangnya Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada mengalami kejadian keji ini. Mengikut data daripada Pasukan Polis Diraja Brunei menunjukkan  bahawa di antara kes-kes penderaan, kes penderaan isteri adalah yang paling tinggi. Baru-baru ini masyarakat Brunei telah dikejutkan dengan kejadian kematian seorang anak yang berumur dua tahun akibat penderaan fizikal. Perbuatan yang kejam ini yang berlaku di negara kitani sendiri amat mengejutkan lebih-lebih lagi Negara Brunei Darussalam terkenal sebagai sebuah masyarakat penyayang, masyarakat pemedulian masyarakat prihatin dan masyarakat di mana kebajikan rakyat dan penduduk diberi keutamaan. Titah Kebawah DYMM semasa perasmian Kompleks Bangunan Baru Sekolah Al-Falaah pada tahun lepas menekankan kesucian kanak-kanak dan kepentingan menyayangi kanak-kanak. Baginda bertitah: “Kerana itulah beta pun turut hairan, bagaimana boleh berlaku orang menganiaya kanak-kanak tergamak mendera dan malah membunuh mereka?” demikian titah baginda.

Baginda juga bertitah semasa perasmian Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini, akan kepentingan institusi keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang harus dijaga dan dipupuk. Jangan mengambil ringan institusi keluarga kerana institusi keluarga yang kukuh mempunyai kesannya terhadap masyarakat dan negara. Dengan ini keganasan dalam apa jua bentuk boleh menghakis institusi keluarga dan sistem nilai negara. Lebih penting
lagi keganasan terhadap manusia merupakan pencerobohan hak asasi manusia. Keganasan bukanlah jawapan untuk menyelesaikan masalah. Pelaku-pelaku keganasan atau mereka yang berpotensi untuk melakukan keganasan perlu mengetahui bahawa mereka boleh mendapat bantuan bahawa mereka tidak perlu menggunakan keganasan. Mereka bolehlah berhubung dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat atau agensi-agensi lain untuk mendapatkan khidmat kaunseling
terutama yang berkaitan dengan anger management dan bagaimana menyelesaikan masalah mereka dengan cara yang lain.

Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam kanak-kanak dilindungi dengan beberapa rang undang-undang bagi menjamin keselamatan mereka. Di antara undang-undang yang telah diluluskan dan dilaksanakan termasuklah Akta Perlindungan Wanita dan Perempuan 1972, Perintah Kanak-Kanak dan Remaja 2006, kemasukan 'Dahrar Syarie' atau Keganasan Rumah Tangga Jun 2010 dalam Perintah Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan), 2010 dan Perintah Akta Perempuan Bersuami (Pindaan), 2010 serta Unlawful Carnal Knowledge Act. Pelaksanaannya jelas terbukti dengan adanya kemudahan dan
prasarana bagi melindungi kanak-kanak perempuan dari penderaan dan eksploitasi. Walau bagaimanapun usaha yang lebih gigih dan bersepadu adalah penting untuk memasyarakatkan undang-undang ini. Peranan dan pemedulian ahli-ahli masyarakat juga sama pentingnya untuk memastikan kanak-kanak kita dapat membangun dan membesar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

 

Majlis Doa Kesyukuran Sempena 30 Tahun Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pengurusam (MSD)

Ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned di Majlis Doa Kesyukuran Sempena 30 Tahun Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pengurusam (MSD) bertempat di Tarindak d'Polo, Jerudong pada hari Sabtu, 19 Rabiulawal 1433 / 11 Februari 2012

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan inayah-Nya kita semua dapat hadir di majlis yang mulia ini iaitu Majlis Doa Kesyukuran Bersempena Dengan Ulang Tahun Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) Yang Ke-30.

Pertama-tama peramba/saya dengan penuh hormat dan takzim sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Mulia Dayang Hajah Norezan binti Haji Hambali, Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, selaku Pengerusi Majlis dan keseluruhan warga jabatan di atas penghormatan yang diberikan kepada peramba/saya untuk sama-sama hadir di majlis berkebajikan dan signifikan ini.

Usia 30 tahun adalah jangka waktu yang panjang yang memberikan kesinambungan kepada sesebuah organisasi untuk mencapai sasaran-sasaran utamanya. Inilah saatnya untuk mengimbas perjalanan yang telah dilalui mengingati liku-liku cabaran ada di antaranya mungkin pahit dan titik-titik kemajuan manis. MSD pada hari ini mempunyai struktur petugasan yang matang iaitu kelangsungan dari fasa-fasa pertumbuhannya bermula dari sebuah unit kecil sehingga menjadi sebuah jabatan penuh yang menyandang petugasan yang besar, mencabar dan strtegik.

Apa tidaknya visi MSD ialah untuk memimpin Perkhidmatan Awam ke arah kecemerlangan misinya pula ialah untuk memastikan Perkhidmatan Awam dan isi di dalamnya, supaya berterusan efisien, efektif dan berkualiti. Ini adalah sasaran yang tinggi dan mencabar, lebih-lebih lagi pada masa kini ketika mana tuntutan saingan global dan ekspektasi pengguna yang saban hari bertambah sophisticated.

Tidak hairanlah fungsi utama MSD ialah untuk menjadi pakar runding, penasihat dan pemudah cara di dalam Perkhidamatan Awam semata-mata untuk membawa MSD ke persada prestasi yang unggul.

Tidak cukup dengan ini MSD menjalankan keterbukaan atau ketelusan bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam menerima dan mengambil tindakan ke atas aduan dan keresahan orang awam mengenai  perkhidmatan jentera kerajaan iaitu Perkhidmatan Awam.

Kesemua petugasan dan tanggungjawab ini adalah amat berat, kompleks dan mencabar.

Ini setentunya memerlukan struktur organisasi yang mapan yang mempunyai tenaga manusia profesional yang arif dan berpengalaman untuk menjadi autoriti, pakar runding, penasihat dan pemudah cara di dalam pengurusan dan pentadbiran awam serta bidang-bidang yang berkaitan.

Struktur organisasi yang dimaksudkan, pada utamanya, untuk membolehkan kelangsungan kemajuan kerjaya ahli-ahli profesional di dalam organisasi ini sendiri di bawah skim-skim perkhidamatan yang mantap dan kompetitif untuk mencapai kadar retention pegawai dan kepakaran yang tinggi.

Inilah satu unsur keperluan yang perlu ada. Oleh kerana keperluan ini asasi sifatnya, ianya adalah satu sudut penilaian pencapaian bagi MSD. Jika ianya belum ada atau belum cukup, kita sewajarnya memberikan perhatian kepada bidang ini. Untuk membangun kumpulan tenaga pakar dan profesional yang cukup, memerlukan tempoh yang panjang. Di dalam hal ini kita tidak boleh lengah untuk tertinggal di belakang. Rancangan kemajuan tenaga manusia perlu ada untuk memenuhi keperluan in-house. Jabatan seperti MSD tidak akan berdaya tahan dan berautoriti jika terlalu banyak bergantung kepada kepakaran dari luar organisasi. Tahap kepakaran dan profesionalisme yang diperlukan, tidak cukup jika ianya hanya di tahap minima bagi kesemua pegawai-pegawai MSD.

Di dalam sejarah kewujudan MSD banyak program-program strategik telah dirancang dan dilaksanakan. Izinkan peramba/saya menyebut beberapa program utama antaranya civil service review, Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke-21, Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) dan pengauditannya, Pensejajaran Perancangan Strategik Perkhidmatan Awam, Penilaian Prestasi Kakitangan, Penyusunan Semua Struktur Organisasi, Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam, Manual Prosedur Kerja, Program Mesra Pelanggan, Hari Perkhidmatan Awam dan seumpamanya.

Program-program ini mempunyai bidangbidang tumpuan masing-masing untuk mencapai objektif-objektif tertentu melalui strategi dan mekanisme yang bersesuaian, kesemua objektif-objektif menjurus kepada untuk menjadikan Perkhidmatan Awam efisien, efektif dan berkualiti tinggi.

Dengan adanya pelbagai program-program strategik ini yang telah berjalan sekian lama memberikan lagi satu sudut penilaian pencapaian bagi MSD. Sejauh mana perlaksanaan program-program ini mempunyai kelangsungan yang dinilai secara berterusan dalam mana penilaian menjadi asas untuk pembaikan seterusnya? Adakah perlaksanaan program-program ini dibuat dengan payu dan sempurna? Adakah kita cukup konsisten dan dedikasi di dalam perlaksanaan kita?

MSD boleh meluaskan lagi skop penilaian pencapaiannya, antara lain dengan melihat kepada tahap status tekanan dan cabaran yang masih dihadapi di dalam Perkhidmatan Awam.

Perkhidmatan Awam masih menghadapi beberapa tekanan dan cabaran ada yang kronik memerlukan langkah-langkah pembasmian yang lebih terarah dan komited. Isu kedatangan dan produktiviti yang lemah adalah di antaranya, ketidakcekapan di dalam pemberian perkhidmatan kepada orang awam juga isu yang berkaitan.

Tekanan dan cabaran lain termasuk kedudukan saiz Perkhidmatan Awam yang besar dan terus membesar jauh melebihi sektor swasta. Pengauditan tenaga manusia di dalam Perkhidmatan Awam perlu diperkesankan antara lain untuk mengetahui keserasian dari segi bilangan kakitangan, keperluan sebenar, kemahiran, produktiviti, 'Return On Employee Investment-ROEI' dan pembahagian atau pengagihan kakitangan.

Pengauditan ini juga penting untuk mengetahui kedudukan non-performing employees (NPE) atau dikenali dengan, nama timang-timangannya deadwood. NPE atau deadwood mempengaruhi prestasi service delivery. Begitu juga pertambahan bilangan kakitangan yang tinggi, tambahan strata atau lapisan di dalam struktur organisasi dan hubungan inter-agency yang kompleks akan menjadikan proses-proses pentadbiran di dalam membuat tindakan, panjang dan kompleks.

MSD pada masa ini setelah mengharungi pengalaman 30 tahun, selain dari mempunyai struktur petugasan yang matang dan organisasi yang mapan, mempunyai wisdom mengenai hasil mahsul rancangan reformasi di dalam Perkhidmatan Awam. Pengajaran yang diperolehi dari sini, menempatkan MSD untuk boleh menyediakan sistem pengurusan kualiti Perkhidmatan Awam sehingga mendapat pensijilan ISO. Berikutan pengiktifaran ini, MSD membuat penyerapannya kepada beberapa agensi kerajaan.

Landasan kemajuan MSD ini menunjukkan ianya di atas landasan yang betul. Walau bagaimanapun, kita semua termasuk MSD, perlu lebih peka terhadap realiti masa kini di mana tuntutan perkhidmatan dan perubahan di dalam masyarakat kian hari kian mencabar, kompleks dan di luar dugaan.

Pentadbiran awam pada masa kini pesat menjalani perubahan. Perubahan ini pada pokoknya bertujuan untuk menjadikan pentadbiran awam sebagai satu sistem yang dinamik dengan mempunyai kapasiti untuk
menyesuaikan diri selari dengan masyarakat.

Untuk dapat memenuhi peranan ini, pentadbiran awam bertindak sebagai satu disiplin yang mempunyai konsep dan amalan yang melimpasi konsep dan amalan yang kita biasa sebelum ini.

Kita perlu kritis dan menghayati perubahan konsep dan amalan pentadbiran awam. Salah satunya ialah isu perubahan sifat governance itu sendiri. Salah satu unsurnya ialah pemahaman mengenai berkhidmat untuk awam yang jauh berbeza dari pemahaman lama. Perbezaan ini telah menukar konsep peranan kerajaan, peranan pegawai-pegawai kerajaan dan sifat hubungan di antara institusi-institusi awam, pertubuhan-pertubuhan awam dan masyarakat majmuk.

Persekitaran di mana Perkhidmatan Awam berfungsi di abad ke-21 adalah sangat berlainan. Kecepatan penyebaran maklumat dan penglibatan masyarakat di dalam sosial media sahaja sudah cukup untuk mempengaruhi isu-isu awam dan dasar-dasar awam berkaitan.

Dengan kedudukan ini, amalan-amalan perkhidmatan dan pentadbiran awam yang lama ternyata tidak berupaya untuk menangani tuntutan masyarakat di dalam suasana kehidupan yang penuh dengan cabaran-cabaran yang sentiasa meningkat mengenai ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan, kesihatan, bencana alam, kemiskinan, pekerjaan dan seumpamanya.

Adalah terlalu nyata dan menjadi realiti di mana-mana bahawa kerajaan sendiri-sendiri tidak mempunyai kapasiti yang cukup dan berdaya tahan untuk memenuhi keperluan awam. Kerajaan dan pentadbiran awam memerlukan sumbangan pihak-pihak masyarakat ramai untuk menubuhkan kapasiti berkumpulan bagi mencapai objektif-objektif pembangunan yang lebih bernilai termasuk dari segi kos.

Negara-negara yang jauh lebih maju telah lebih awal merebiu semula sifat kepimpinan, kapasiti dan peranan pegawai-pegawai di dalam pentadbiran awam.

Terdapat pendapat bahawa pegawai-pegawai perlu mempuyai ketangkasan atau kelincahan untuk memainkan bermacam peranan sebagai pegawai kerajaan atau public servant, pentadbir awam atau public administrator, pengurus awam atau public sector manager atau sebagai pemimpin awam. Peranan yang berbilang bentuk ini memerlukan kapasiti yang berbeza untuk dimajukan.

Dengan urutan senario yang saya sentuh serba ringkas ini, rumusan untuk MSD adalah jelas.

MSD perlu mempunyai kepakaran in-house yang cukup untuk mendasari petugasan jabatan yang strategik dan kompleks di antaranya untuk pakar runding dan penasihat.

MSD justeru itu perlu merancang kemajuan pegawai secara lebih terarah, lebih-lebih lagi pegawaipegawai muda. Kemajuan ini bukan saja dari segi akademik dan kelulusan profesional tetapi juga dari segi mendapat pengalaman melalui penempatan kerja dan kajian.

MSD perlu mengenal pasti keperluan kepakaran untuk dipenuhi sama ada melalui Latihan Dalam Perkhidmatan atau biasiswa penuntut atau pengambilan pegawai-pegawai dagang atau jaringan kerjasama antarabangsa. Pokok pangkalnya kepakaran ini mesti ada sebagai teras.

MSD perlu lebih fokus dengan keutamaan-keutamaan strategik sejajar dengan visi dan misi dan kapasiti yang ada, mencipta dan memperkenalkan gagasan inovasi dan reformasi adalah satu perkara utama. Apa yang perlu juga bagi MSD ialah untuk mengawasi dan mengaudit pencapaian gagasan berkenaan. Jika tidak perlaksanaan program-program yang baik tidak akan dapat berterusan dan akhirnya akan tanggal nama.

MSD perlu memperkasa peranannya untuk menguatkan kapasiti kepimpinan di dalam Perkhidmatan Awam selaras dengan perubahan konsep dan amalan pentadbiran awam di tengah-tengah persekitaran yang penuh dengan pergolakan dasar awam dan tuntutan masyarakat yang berterusan meningkat.

Semoga pengalaman MSD yang selama 30 tahun ini memberikan sandaran yang mapan untuk merancang kemajuan mendatang.

   

Page 4 of 14