Saturday, May 25, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Penyampaian Sijil Latihan Program Perkasa

Ucapan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah di Majlis Penyampaian Sijil Latihan Program Perkasa pada Hari Isnin, 11 Rabiulawal 1432 Hijriah / 14 Februari 2011 Masihi bertempat di Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat, inayah dan hidayah-Nya, kita dapat hadir di Majlis Penyampaian Sijil Latihan Program Perkasa melalui usaha sama di antara Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis pada petang ini merupakan sebuah tanda aras bagi menunjukkan usaha berterusan pihak kerajaan untuk meningkatkan kapasiti dan memperkasa keupayaan orang-orang miskin agar berdikari sendiri untuk menjana pendapatan melalui perniagaan.

Memperkasa masyarakat susah, khususnya penerima-penerima bantuan kebajikan, dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan merupakan salah satu strategi pembasmian kemiskinan yang telah terbukti keberkesanannya. Mengikut perangkaan Jabatan Pembangunan Masyarakat, jumlah penerima bantuan kebajikan bulanan pada bulan Disember 2010 ialah seramai 3,588 ketua keluarga, tidak termasuk tanggungan. Berbanding dengan seramai 4,366 orang pada tahun 2008 dan 4,601 orang pada tahun 2009 jumlah dan kadar kemiskinan di Negara Brunei Darussalam dapat dikurangkan melalui program-program bantuan pengagihan wang zakat Baitul Mal dan juga melalui program pemberian kemahiran seperti Program Perkasa ini, apatah lagi jika ianya dikaitkan dengan pinjaman modal perniagaan yang teratur serta jaminan pasaran bagi produk-produk dan perkhidmatan yang dihasilkan.

Program Perkasa adalah sebuah program pembangunan perusahaan bagi orang-orang susah yang mengandungi empat teras utama iaitu latihan keusahawanan, kemahiran perniagaan, pembangunan diri yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Belia manakala teras keempat, iaitu pinjaman kewangan akan dikendalikan dan diselaraskan pengeluarannya oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, termasuklah penyelarasan pembelian bahan-bahan dan peralatan perniagaan yang dipohonkan, pemantauan progres perniagaan peserta dan pengutipan bayaran balik pinjaman.

Program Perkasa ini dibentuk dengan berpandukan pengalaman dan cabaran-cabaran yang telah dilalui semasa pengendalian Skim Berdikari oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, di mana pinjaman kewangan bagi memulakan perniagaan telah diberikan tanpa dikaitkan dengan latihan keusahawanan mahupun kemahiran perniagaan. Oleh yang demikian, sesuai dengan namanya, Program Perkasa ini dibentuk untuk memperkasa ataupun empower masyarakat susah yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan memberi latihan keusahawanan, kemahiran perniagaan dan pembangunan diri sebelum diberi pinjaman perniagaan. Adalah diharapkan, dengan penekanan kepada pembangunan kapasiti seperti ini, akan meningkatkan keberkesanan dan ketahanan para peserta program dalam mengurus perniagaan masing-masing dan seterusnya menyara kehidupan mereka sendiri dengan lebih baik dan terjamin.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada setiap pengusaha Program Perkasa yang mengikuti Program Latihan Keusahawanan dan Pembangunan Diri bagi sesi pertama 2011, ini kerana tanpa kerjasama dan penglibatan abiskita semua, program ini sudah setentunya tidak akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membimbing masyarakt susah ke luar dari kemiskinan.

Saya telah difahamkan bahawa sesi pertama program latihan keusahawanan dan pembangunan ini telah disertai oleh 13 orang peserta wanita dan enam orang peserta lelaki, manakala sebanyak 89 permohonan lagi masih dalam pemerosesan pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat. Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada para peserta program sesi pertama selaku pelapor dalam program ini untuk menunjukkan komitmen berterusan dan menjadi role model yang dapat dicontohi dan diteladani oleh peserta-peserta seterusnya.

Adalah diakui bahawa bidang perniagaan bukanlah satu bidang yang mudah. Ianya sentiasa menghadapi perubahan dan cabaran yang sudah setentunya akan menguji ketahanan minda, kecekalan hati dan yang utamanya kecekapan pengurusan para pengusaha yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan mahu pun yang sudah berpengalaman.

Saya menghargai dan memuji keputusan yang telah diambil oleh para peserta untuk memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya hidup. Saya penuh percaya bahawa, dengan berbekalkan pegetahun dan kemahiran dalam keusahawanan dan perniagaan yang telah abiskita perolehi dalam program latihan ini, abiskita semua akan lebih berkemampuan, gigih dan cekal untuk menghadapi apa juga

cabaran yang pasti dihadapi. Dalam hal ini, pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan khususnya Jabatan Pembangunan Masyarakat akan bersedia membantu dari segi khidmat dokongan dan nasihat untuk membimbing abiskita semua mencapai kejayaan, insya- Allah.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyeru kepada mana- mana agensi kerajaan mahu pun bukan kerajaan agar menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut sama melibatkan diri untuk membantu masyarakat susah di negara ini meraih peluang-peluang perniagaan dan keusahawanan. Kerjasama dan penglibatan semua pihak di negara ini bukan saja boleh mengurangkan kadar kemiskinan, malah boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.