Speeches
Speeches 2011
Majlis Penutup Rasmi Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959
Speeches 2011
Majlis Penutup Rasmi Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959
Majlis Penutup Rasmi Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya
Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah
semasa berucap di Majlis Penutup Rasmi Seminar Serantau Sempena Sambutan
Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959 anjuran Persatuan Sejarah
Brunei (PESEBAR) di Dewan Kuliah, Asrama Baru Universiti Brunei
Darussalam pada hari Ahad 17 Rejab 1432 bersamaan 19 Jun 2011
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan petunjuk dan hidayat-Nya jua maka Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) telah berakhir dengan jayanya.
Di kesempatan ini saya sukacita mengucapkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada pengerusi dan ahli-ahli PESEBAR kerana telah dapat berjaya menganjurkan Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dengan bertemakan 'Perkembangan dan Kecemerlangan 50 Tahun Perlembagaan Negara Brunei Darussalam'.
Usaha yang dilaksanakan ini adalah satu usaha yang sangat signifikan dan besar ertinya untuk kepentingan negara rakyat dan penduduk negara ini dalam sama-sama menanai tugas dan tanggungjawab untuk menanam dan menyemaikan nilainilai sejarah yang murni bagi untuk kelangsungan ketamadunan negara bangsa Brunei Darussalam.
Rakyat dan penduduk khususnya generasi muda perlu mempunyai kesedaran dan menghargai akan pentingnya Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dalam konteks kelangsungan bangsa, bernegara dan berkerajaan di Negara Brunei Darussalam.
Begitu juga dalam menghadapi arus globalisasi yang berlatarbelakangkan konsep dunia tanpa sempadan, jangan sampai generasi muda alpa dan lalai akan kewujudan malah mengenepikan kepentingan perlembagaan sebagai landasan kekuatan dan kesinambungan kewujudan bangsa Brunei dan menjadi sumber utama aturan di dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.
Sehubungan dengan ini, adalah menjadi satu kemestian bagi rakyat dan penduduk di negara ini, terutamanya generasi muda yang merupakan sebagai generasi pewaris untuk difahamkan dan mempunyai kefahaman yang mendalam mengenai dengan sejarah penggubalan, isi kandungan, hasrat dan matlamat serta pindaan- pindaan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959.
Perlembagaan adalah merupakan undang-undang tertinggi negara yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada penentuan corak dan kuasa pemerintahan negara. Perlembagaan merupakan asas kepada pemerintah menjalankan kuasa mentadbir negara dan panduan kepada jentera pentadbiran kerajaan.
Dalam waktu yang sama, Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 adalah landasan pada mengukuhkan dan memberikan pengiktirafan konsep Melayu Islam Beraja, kerana peruntukan di dalamnya terkandung ketentuan mengenai dengan kedudukan kuasa memerintah raja, agama Islam, bahasa Melayu, bangsa Melayu dan adat istiadat. Sekali gus Perlembagaan Negara Brunei Darussalam adalah merupakan sebagai kontrak sosial di antara pemerintah dengan rakyat dan rakyat dengan pemerintah yang perlu disanjung tinggi, hormati dan pertahankan. Peraturan- peraturan yang terkandung di dalam perlembagaan akan menjamin perlindungan ke atas seluruh rakyat dan keharmonian sosial di Negara Brunei Darussalam.
Dengan lain perkataan, konsep Melayu Islam Beraja yang terkandung dan tersurat di dalam peruntukan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 yang diperjuangkan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien adalah menjadi asas dan tunggak bagi kewujudan dan keutuhan pemerintahan bersultan di negara ini yang menjadikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai pemerintah dan pemegang kuasa eksekutif yang tertinggi, agama Islam menjadi agama rasmi negara, kedaulatan bangsa Melayu dan adat istiadat Melayu menjadi identiti bangsa Melayu Brunei yang semuanya diperjelaskan dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam tahun 1959.
Melihat akan pentingnya peranan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam tahun 1959 dalam menentukan arah tuju pembangunan, kemajuan dan kecemerlangan bangsa dan negara, maka sejarah perjuangan penggubalan dan liku-liku perkembangan perlembagaan tahun 1959 yang diterajui oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien perlu dititi, dirungkaikan dan dihuraikan dengan penganalisaan sejarah yang mendalam supaya ianya dihargai dan dihayati oleh generasi masa kini dan sentiasa relevan sebagai landasan kepada pembangunan, keharmonian, kestabilan dan keselamatan bangsa dan negara dalam apa jua situasi dan zaman.
Sebagaimana yang pernah di titahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa sejarah itu adalah guru sebagai panduan manusia bagi meneruskan pembinaan negara bangsa khususnya dalam usaha kita samasama memelihara kekayaan warisan sejarah negara ini supaya dapat terus dikekalkan dan dikukuhkan oleh rakyat dan penduduk negara ini khususnya generasi muda yang bakal menjadi pewaris negara bangsa Brunei di masa akan datang.
Semangat patriotisme perlu ditanamkan ke dalam jiwa rakyat dan generasi muda negara ini. Kerana semangat itulah yang akan terus mengikat rakyat Brunei sebagai satu bangsa atas dasar cintakan raja, agama dan bangsa. Bagi memastikan semangat patriotisme ini bersemadi di hati dan jiwa rakyat negara ini, mereka perlu mempelajari sejarah negara, perjuangan dan pengorbanan membangunkan negara.
Maka di sinilah pentingnya bagi sejarah perlu dimasyarakatkan melalui penyebaran dan pendekatan yang meluas agar masyarakat khususnya generasi muda di Negara Brunei Darussalam menjadi celik dan menghargai sejarah negara dan bangsanya.
Agensi-agensi dalam kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang mempunyai kepentingan (stakeholders) seperti Persatuan Sejarah Brunei perlu bekerjasama dan berganding bahu melalui penubuhan rakan strategik ke arah menyebarkan dan menanamkan penghayatan sejarah kepada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dengan mengungkayahkan pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan sejarah.
Buat mengakhiri ucapan ini sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada PESEBAR. Semoga usaha yang berkebajikan ini pada menegakkan satu negara dan bangsa bersandarkan ajaran dan jalan yang telah diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Maka dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmannir Rahim saya sukacita menutup Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959 Anjuran Persatuan Pusat Sejarah Brunei PESEBAR.


