Sultan's Titah

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Musavaqah Tilawtil Qur’an Belia Asia Tenggara Pada 28 Safar 1426 / 8 April 2005

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI, Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidinna Muhammadin Wa’alaa ‘Alihee Wasahbihee Ajma’een Waba’du

Beta bersyukur kerana sekali lagi berpeluang untuk menghadiri Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Asia Tenggara ini yang melibatkan qari dan qariah belia di rantau Asia Tenggara.

Kemeriahan serta mutu musabaqah ini setentunya akan meningkat, baik dari sudut prestasi bacaan para qari dan qariah, mahupun dari sudut pelaksanaannya memandangkan ini adalah kali ketiga negara kita mengungkayahkan sebagai sumbangan kita kearah mewujudkan semangat kebersamaan yang lebih terarah di kalangan para belia di rantau Asia Tenggara.

Dalam konteks serantau, musabaqah ini dapat berfungsi sebagai wasilah kearah memupuk persefahaman, kerjasama dan persahabatan di kalangan belia yang datangnya dari pelbagai budaya etnik, dan kepercayaan. Ianya perlu dilihat dari perspektif serantau yang dinamik sebagai katalis toleransi dan hormat-menghormati dalam hidup berjiran dan bernegara.

Beta yakin melalui kegiatan belia yang terarah seperti Musabaqah Tilawatil Quran ini, golongan belia rantau Asia Tenggara akan lebih peka dan responsif serta memiliki tekad dan matlamat yang kukuh bagi melahirkan sebuah ratau yang aman, damai dan makmur, serta terhindar daripada sebarang pergeseran.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, beta ingin mengingatkan golongan belia di negara ini, bahawa mereka adalah sebahagian daripada anggota masyarakat negara antarabangsa (inter national community of nations). Oleh itu, musabaqah ini adalah merupakan upaya kita bagi menyumbang dan melakar satu peranan positif dalam arena kerjasama serantau dan antarabangsa. Kalau dulunya, cara kita berfikir ialah pada takuk kedaerahan, maka sekarang golongan belia di negara ini mesti memiliki ‘mind-set’ terbuka, proaktif, dan kaya dengan wawasan. Dan untuk berinteraksi, berdialog, bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan di arena serantau dan antarabangsa, golongan belia kita juga mestilah berilmu dan literate; literate budaya, literate sastera, literate bahasa, literate adat, dan seumpamanya. Tanpa ilmu, golonga belia kita tidak akan sampai ke mana dan tidak akan menjadi ‘regional player’ apatah lagi ‘global player’.

Untuk menjadi ‘regional player’ atau ‘global player’ golongan belia di negara ini mestilah berkemampuan berfikir dan bertindak menurut parameter politik dan diplomasi ‘regional’ atau ‘global’. Dengan kesedaran sedemikian itu, sumbangan belia-belia kita di arena serantau dan antarabangsa akan lebih bermakna, dan status mereka juga bukan lagi seperti ‘melukut ditepi gantang’ masuk tak menambah, keluar tak mengurang, tetapi mereka berperanan besar sebagai ‘problem identifier’, ‘problem solvers’ dan ‘strategic brokers’.

Beta juga ingin melihat di negara ini kewujudan belia MIB, siapa yang akan membawa sinar kebahagian, kesejahteraan dan kerukunan hidup yang sebenar-benarnya dalam masyarakat dan keluarga. Pendekatan kita ialah belia yang bertanggungjawab serta berakhlak mulia, dimana dengan tangan–tangan mereka itu diharapkan unuk menangani gejala-gejala sosial yang negatif yang boleh mengancam upaya kita membangun negara.

Alhamdulillah, melalui usrah belia rantau Asia Tenggara ini, kita telah meletakkan aktiviti kebeliaan pada tilawah Kitab Suci Al-Quran yang beta yakin tidak akan menimbulkan walau sedikit pun pergeseran atau kecurigaan kerana Al-Quran itu menyeru kepada kebaikan dan menolak kemungkaran.

Akhirnya beta mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat mengungkayahkan musabaqah ini. Dan tahniah juga kepada semua qari dan qariah rantau Asia Tenggara, semoga Alla sentiasa merahmati mereka dengan taufik dan hidayahnya, Amin.

Sekian, Wabilahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Musavaqah Tilawtil Qur’an Belia Asia Tenggara Pada 17 Zulkaedah 1423/19 Januari 2003

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI, Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidinna Muhammadin Wa’alaa ‘Alihee Wasahbihee Ajma’een Waba’du

Beta bersyukur kerana dapat lagi menyaksikan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara. Pada kali ini ianya juga turut disertai oleh peserta-peserta beliawanis yang setentunya akan dapat pula menambahkan lagi kemeriahannya.

Beta denan amat sukacita mengalu-alukan para peserta khasnya peserta-peserta yang baru.

Dalam konteks serantau, musabaqah ini berfungsi untuk menjana kesedaran beragama di kalangan belia-belia Islam. Perkara ini sangatlah mustahak, memandangkan keadaan sekarang, di mana terdapat usaha untuk memburuk-burukkan agama ini dengan cara menyandarkannya kepada perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengannya.

Sayugia untuk melihat Islam, hendaklah dilihat Al-Quran, bukan dilihat yang lain-lain. Apa sahaja rupa tohmahan atau tuduhan terhadap Islam, kita mencabar supaya mereka itu meneliti dan merujuk Al-Quran. Cuba buktikan mana satu perkara negatif atau keji yang direstui oleh Al Quran?

Sesungguhnya, inilah fenomena yang mencabar umat Islam, khususnya belia-belia Islam di seluruh dunia. Mereka sedang berhadapan dengan usaha-usaha untuk memadamkan cahaya Islam yang disebut dalam Al-Quran sebagai ‘Nurallah’ seperti mana firman-Nya dalam Surah At-Taubah ayat 32 yang tafsirnya: “Mereka itu (memang) hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka (berupa serangan-serangannya), sedang Allah enggan, yakni tidak merestuinya, melainkan akan tetap menyempurnakan cahaya-Nya itu, sekalipun orang-orang yang tidak beriman tidak menyukainya.”

Belia-belia Islam perlu memahami situasi ini, supaya tidak terpengaruh dengan propaganda memburuk-burukkan Islam. Di samping itu juga , mereka mestilah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan Islam, supaya dengannya akan bertambah kuatlah pendirian dan keimanana mereka. Apabila iman sudah kuat, maka tidaklah ada masaalah bagi kita untuk memperolehi segala macam kebajikan.

Di sinilah juga rahsia kekuatan ummah, iaitu bergantung kepada setebal mana iman itu. Iman yang tebal bolah menjadikan tuannya lebih kukuh untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa. Bahkan dengan bermodalkan keimanan, belia-belia Islam di Asia Tanggara boleh menjadi penyumbang terbaik kepada negara dan masyarakat masing-masing dalam mewujudkan keamanan, keternteraman dan kemakmuran.

Belia-belia Islam mesti membuktikan bahawa mereka boleh menjadi teladan di dalam semua segi, baik ia segi kepimpinan atau pendidikan atau akhlak dan seumpamanya.

Mereka memang layak tampil sebagai ‘iuswah’, malah Uswah Hasanah (ikutan yang terbaik) seperti mana bahasa Al-Quran, di mana perkara ini tidak dimiliki oleh orang lain.

Oleh itu, beta merasa optimis, bahawa belia-belia Islam, tanpa mengira apa jua latar belakang budaya, bahasa dan status sosial mereka adalah mampu untuk menjadi contoh kepada masyarakat masing-masing, bahkan masyarakat dunia, yang sedang di landa oleh pelbagai krisis termasuk krisis moral dan krisis kepimpinana pada hari ini

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah. Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Musavaqah Tilawtil Qur’an Belia Asia Tenggara Pada 25 Mac 2000

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI, Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidinna Muhammadin Wa’alaa ‘Alihee Wasahbihee Ajma’een Waba’du

Beta difahamkan, bahawa salah satu tujuan Musabaqah Tilawatil Qur’an Belia Asia Tenggara ini, ialah untuk mewujudkan semangat kebersamaan dikalangan belia-belia kita, sesuai dengan era Alaf Baru yang menghendaki mereka lebih peka dan responsive terhadap perwujudan suatu masyarakat yang kukuh lagi harmoni.

Alaf Baru, sebagaimana kita sedia faham, diwarnai dengan kehebatan ledakan Teknologi Maklumat (IT), sehingga dunia menjadi sebuah perkampungan yang dipanggil dengan nama jolokan “Global Village” tanpa semapadan.

Cabaran Alaf Baru yang hebat ini memerlukan, bukan saja belia-belia yang berilmu, malahan juga yang mempunyai visi atau wawasan. Mereka tidak lagi terikat atau dicorakkan oleh entity setempat, tetapi lebih terbuka dan terdedah ke[ada entity global yang lebih luas. Semua ini, tentu saja memerlukan syakhsiah-syakhsiah yang lebih besar dan hebat dikalangan para belia itu.

Walaupun kita percaya dengan keupayaan para belia mengurus diri mereka sendiri, namun dari reality serta akibat dari kehadiran Teknologi Maklumat yang canggih itu, adalah sering saja mendedahkan para belia kita kepada perkara-perkara yang tidak diingini, dan bahkan boleh merugikan mereka.

Maka kerana itu, mahu tidak mahu, keawjipan kita ialah menyediakan “safety net” untuk memantau sejauh mana kehadiran Teknologi Maklumat itu tidak menggangu perkembangan-perkembangan sihat para belia kita, terutama disegi pemikiran, budaya dan lebih-lebih lagi ugama.

Ke arah ini, Beta rasa, suatu usaha bersepadu perlulah wujud, ialatu dengan membentuk suatu Agenda Nasional Untuk Belia (National Agenda for Youth), bagi suatu tujuan terarah, iaitu mentarbiah belia-belia Alaf Baru ini, agar berhemah tinggi, bercita-cita mulia dan bersemangat suci, sehingga menjadilah mereka itu belia-belia yang sanggup mempertahankan kesucian warisan masing-masing.

Bersempena atas nama Musabaqah Tilawatil Qur’an Belia Ais Tenggara ini, elok rasanya kita menyoroti Al-Qur’an sendiri tentang belia. Allah Subahanahu Wata’ala dengan lantangnya telah menerangkan siapakah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi, sepertimana tafsirnya:

“Mereka itu ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami (Allah) telah menambahi mereka itu dengan hidayah pertujuk”

Allah telah mengaitkan pemuda-pemuda dan belia-belia itu dengan keimanan dan pertunjuk. Allah berbangga dengan keadaan mereka yang beriman itu, lalu Dia menambahkan lagi dengan hidayah serta kekuatan dan juga ketabahan hati supaya mereka itu memperolehi lebih keberanian dalam menegakkan Kalimah Tauhid.

Inilah matlamat yang wajib dituju ileh belia-belia yang membaca Al-Qur’an, bukan saja kehebatan di arena duniawi tetapi juga unggul dan hebat di arena ukhrawi.

Kita menggalakkan belia-belia yang membaca Al-Qur’an mesti terlibat dengan kegiatan-kegiatan besar, sama ada ianya di forum-forum serantau mahupun antarabangsa. Kita mahu, belia-belia itu memecahkan tradisi lama selaku pengguna-pengguna idea orang lain, kepada pencetus idea-idea sendiri yang baru lagi bernas, yang dikagumi dan dihargai oleh antarabangsa.

Masanya sudah tiba, belia-belia dirantau ini, khasnya belia-belia yang membaca Al-Qur’an, menjadi pemimpin dan ikutan, sesuai dengan penegasan Al-Qur’an sendiri yang bermaksud lebih kurang: “Kamu (wahai umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah seluruh umat manusia, kerana keadaan kamu yang menyuruh berbuat baik dan melarang daripada kejahatan, dan lagi pula kamu itu beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.”

Inilah sebenar-benarnya keunggulan umat yang membaca Al-Qur’an, keunggulan belia-belia mereka, semoga Allah akan terus meberkati dan memeliharakan mereka.

Pandangan hidup belia-belia yang membaca Al-Qur’an, tidak sekali-kali mementingkan diri, tetapi mengutamakan kebajikan bersama selaku umat Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam, iaitu sebagaimana diajarkan oleh Islam mengenai persaudaraan.

Persaudaraan sesame islam adalah merancang dan memikirkan bagaimana untuk menciptakan sebuah kehidupan yang bahagia tanpa menggangu orang lain untuk memilih jalan mereka masing-masing.

Inilah ajaran suci Al-Qur’an yang mesti dipegang kuat oleh para belia kita dan mengenalkan kepada orang lain supaya difahami.

Adapun semua ajaran Al-Qur’an itu tidak lain dari membawa kesentosaan bersama, bukan seperti yang disangkakan oleh setengah orang membawa kepada porak peranda dan kesengsaraan.

Kerania itu, beta sungguhlah gembira, bahawa pertemuaan dianatara belia-belia rantau Asia Tenggara pada malam ini, telah kita sempenakan dengan satu asas paling kukuh lagi luhur, iaitu mentilawah Kitab Suci AlQur’anul Karim, kitab samawi yang turun daripada Allah Subahanahu Wata’ala. Signifikan meletakkan aktiviti dan persefahaman belia-belia pada asas ini adalah tepat sekali, demi menagih berkat dan meghfirah Allah.

Akhirnya beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang berkenaan dengan majlis ini, baik sebelum mahupun sesudah ianya diadakan. Dan juga tahniah khusus kepada semua perserta dan bahkan sekalian belia rantau Asia tenggara amnya di atas keterlibatan mereka masing-masing, semoga Allah akan sentiasa memberkati mereka dengan taufik dan hidayahnya amin.

Sekian, Wabillahit Taufik Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.