Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PMB wujudkan masyarakat celik ilmu

‚Äč(BERITA 3)INFODEPT - PMB.jpg

Oleh : Noraisah Haji Muhammed / Foto : Azmah Haji Ahad, Awangku Mohammad Aminol Adi Azraie Pengiran Haji Nikman, Noraisah Haji Muhammed

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Januari. - Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan bertujuan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan melalui sesi taklimat, dialog dan lawatan agar masyarakat terutamanya di peringkat akar umbi dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya dalam mencapai Wawasan 2035. 

 

Sehubungan itu, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait terdiri dari Kampung Mumong 'A', Kampung Mumong 'B' dan Kampung Pandan 'C', Mukim Kuala Belait. 

 

Majlis pembukaan program telah diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan. 

 

Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Peneranga, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

 

Rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Ruhil Amal Faridah binti Awang Yahya selaku Pengerusi PMB bagi Kampung Mumong 'A', Kampung Mumong 'B' dan Kampung Pandan 'C'. 

 

Dayang Ruhil Amal Faridah dalam ucapan alu-alunya menyentuh mengenai peranan sebagai rakyat patut bersyukur kerana menikmati perkhidmatan dan kemudahan sosial, kebajikan dan kesejahteraan seperti pendidikan, kesihatan dan perubatan, perumahan, pencen dan skim bantuan kerajaan merupakan peranan dan tanggungjawab penting terhadap masyarakat dengan melibatkan diri dalam kegiatan badan kebajikan dan persatuan setempat, kegiatan kebajikan, keagamaan dan sosial di peringkat kampung, mukim, daerah dan negara.

 

Beliau menekankan, adalah perlu selaku rakyat untuk melibatkan diri dalam majlis suka duka setempat, memberikan pemedulian dan bantuan kepada golongan masyarakat yang kurang bernasib baik serta memberi kerjasama pada menjaga kesejahteraan dan kebajikan kampung seperti memucang-mucang, bergotong royong dan seumpamanya.

 

Pada program tersebut, para peserta juga diberikan maklumat terperinci mengenai Zakat Fitrah dan Zakat Harta daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang disampaikan oleh Pegawai Ugama MUIB, Awang Haji Md. Fahmi bin Haji Abas bersama Pegawai Pelajaran Ugama, Awang Haji Zakaria bin Haji Ajak.

 

Antara yang dikongsikan adalah perkara-perkara mengenai keramaian amil di Negara Brunei Darussalam, keterangan bagi agihan-agihan zakat kepada golongan yang tertentu seperti Asnaf Fakir Miskin, Asnaf Mualaf, Asnaf Amil, Asnaf Al-Gharimin dan Asnaf Ibnu Sabil.

 

Pihak MUIB juga mengongsikan projek-projek perumahan golongan daif fakir dan miskin, yang diungkayahkan bersama Jabatan Perdana Menteri.

 

Peserta juga berpeluang untuk mengutarakan soalan-soalan dan mendapat maklumat balas yang jelas daripada penyampai dengan baik.

 

Sementara pada sebelah petang, peserta PMB mendengarkan taklimat dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengenai Isu pencen dan bantuan yang disampaikan oleh Pegawai Kaunseling dan Pemangku Timbalan Pengawal Pencen-pencen Negara, Dayang Atiqah binti Ibrahim dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Awang Janapi bin Jian.

 

Antara yang dikongsikan ialah penerangan bagi jenis-jenis bantuan dan perkhidmatan seperti bantuan kebajikan bulanan, bantuan pekerjaan dan keusahawanan dan bantuan bencana dan perumahan.

 

Penerangan mengenai syarat-syarat penerima Bantuan Kebajikan Bulanan, permohonan pencen tua dan permohonan pencen-pencen dan elaun hilang upaya juga diterangkan semasa taklimat berkenaan.

 

Pihak JAPEM juga mengongsikan mengenai satu sistem baharu iaitu Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang mana ia akan mula beroperasi pada bulan Februari 2020.

 

Ia merupakan sebuah sistem integrasi dari empat agensi iaitu Kementerian Pendidikan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, MUIB dan JAPEM.

 

Sistem itu dikhususkan bagi penerima baharu, pembayaran bantuan dan pencen yang akan dibuat secara berfasa melalui bank tertakluk kepada pilihan penerima.

 

Peserta juga berkesempatan melawat Rimba Garden Central dan mendapat penerangan mengenai taman berkenaan yang disampaikan oleh Penyelaras Projek, Awang Jamalludin bin Haji Yusoff. 

Beliau telah mendedahkan mengenai latar belakang RGC dan penerangan ringkas tentang cara memelihara dan menghias bunga-bungaan agar sentiasa kelihatan elok, cantik dan segar serta subur.

 

Para peserta juga dibawa melawat tempat-tempat jualan bunga, tanaman bunga serta landskap yang menarik di kawasan berkenaan.

 

Pemangku Ketua Kampung Mumong 'A' dan Kampung Mumong 'B', Haji Md Yusof bin Haji Dulamin ketika ditemu bual Pelita Brunei menyambut baik program tersebut dan berharap agar usaha Jabatan Penerangan seumpama ini dilaratkan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun memandangkan ia satu hal berupa pengetahuan yang penting untuk dikongsi sama dalam menangani perkara-perkara yang perlu diterangkan melalui pihak-pihak yang lebih arif serta layak dalam sama-sama ambil tahu hal ehwal semasa dan sekeliling.

 

Sementara salah seorang peserta dari Kampung Mumong yang juga salah seorang Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan C, Awang Ismail Haji Mahran menyatakan beliau sangat beruntung menyertai program yang mengupas isu-isu berkaitan dalam mewujudkan masyarakat celik ilmu dan melaluinya, ia dapat dikongsikan dengan yang lain.

 

Manakala seorang lagi peserta MPK Pandan C, K. Salim bin Abd. Karim melahirkan rasa puas hati dengan program yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan memberi saran agar program seumpama itu dikekalkan kerana ia merupakan satu program yang benar-benar dapat memberi kesan serta penerangan yang dapat memberi penjelasan kepada hal-hal yang menjadi kemusykilan kepada para peserta.


Attachments
Created at 06/02/2020 09:03 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 06/02/2020 09:03 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin