Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Ketengahkan permasalahan penduduk kampung

(BERITA2)1NFOFOTO4-08.jpg

(BERITA2)1NFOFOTO4-16.jpg

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 

BERAKAS, Selasa, 21 Januari. – Program Muzakarah Penerangan (PMP) bagi Mukim Berakas 'B' anjuran Jabatan Penerangan pagi tadi membincangkan sebanyak 30 isu yang telah dipersetujui pilihannya bersama dengan Penghulu dan Ketua-ketua Kampung.

 

Antara isu yang diketengahkan termasuklah isu-isu berkaitan prasarana, kemudahan awam, kebajikan, alam sekitar, sosial, keselamatan, ekonomi dan lain-lain. 

 

Seramai 13 pegawai dari agensi-agensi kerajaan juga hadir pada program tersebut bagi memberikan jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Penghulu dan Ketua-ketua Kampung.

 

Hadir sama menyertai PMP yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Jalan 77 RPN Kampung Lambak Kanan tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, juga selaku Penghulu Mukim Berakas 'B'.

 

Terdahulu, Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad dalam ucapannya menggalakkan kita sebagai rakyat untuk sentiasa bersyukur dengan adanya kemudahan infrastruktur bagi kesejahteraan rakyat. 

 

Selain itu, beliau turut menyarankan agar setiap ahli masyarakat di peringkat Mukim dan Kampung mempunyai tanggungjawab untuk menjaga dan memastikan keamanan dan keharmonian dengan mematuhi dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi Kerajaan.

 

"Apa yang diharapkan oleh jabatan ialah program ini akan dapat menjadi pemudah cara bagi penyampaian maklumat dan buah fikiran di antara masyarakat dan agensi-agensi kerajaan sekali gus merapatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat," terangnya.

 

Sementara itu, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon dalam ucapan balasnya melahirkan rasa syukur atas segala kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memenuhi hasrat dan hajat pengguna.

 

Namun tambahnya, masih ada terdapat beberapa kekurangan yang perlu diambil perhatian oleh pihak tertentu memandangkan kekurangan itu mungkin terjadi akibat dari terlepas pandang, diambil ringan, kecuaian atau mungkin disebabkan terdapat kekangan atau masalah yang menyebabkan keperluan itu tidak dapat dipenuhi dengan segera.

 

"Maka dari permuzakarahan inilah penduduk mukim dapat mendengar sendiri penjelasan dan jawapan dari pihak-pihak berkenaan agar kita sama-sama faham akan kesulitan yang dihadapi oleh kedua-dua pihak," jelas Yang Berhormat.

 

Mukim Berakas 'B' berkembang pesat dan maju setanding dengan mukim-mukim yang lain dalam semua aspek, antaranya dalam aspek pendidikan terdapat sekolah vokasional, menengah dan beberapa buah sekolah rendah kerajaan dan swasta serta sekolah-sekolah ugama.

 

Dari aspek keugamaan, terdapat lima buah masjid di mukim berkenaan, dari aspek penjagaan kesihatan disediakan oleh pihak kerajaan iaitu Pusat Kesihatan Berakas di RPN Kampung Lambak Kanan dan dari aspek keselamatan pula, terdapat Pos Kawalan Polis dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

 

Juga terdapat di mukim berkenaan, Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei Muara yang mengetengahkan pelbagai aktiviti berbentuk riadah, kebajikan, sosial, sukan dan sebagainya bagi menggalakkan penuaan aktif (active aging).

 

Bermula 2015 hingga ke hari ini, Jabatan Penerangan telah melaksanakan PMP di sepuluh mukim di Negara Brunei Darussalam yang antara lain bertujuan sebagai platform untuk memberikan ruang kepada rakyat dan penduduk di mukim-mukim untuk mendengar jawapan bagi isu yang diterima melalui Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung.

 

Di samping itu, ia juga sebagai platform kepada agensi-agensi kerajaan untuk menyampaikan mesej-mesej atau mengemas kini maklumat-maklumat yang hendak disampaikan kepada para penduduk.

 

Menurut Awang Haji Abdullah bin Haji Suhaili mewakili Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan I, RPN Kampung Lambak Kanan dalam temu bualnya bersama Pelita Brunei sangat mengalu-alukan program seumpama ini diadakan, malah merasa ia sangat berfaedah dan perlu diteruskan sampai bila-bila.

 

Akan tetapi bagi beliau, masih terdapat soalan-soalan yang sudah ditapis dan menunggu jawapan untuk diserahkan sahaja daripada dibincangkan lagi, maka beliau berpendapat apa yang sepatutnya didengar adalah merupakan suara daripada penduduk-penduduk kampung itu sendiri.

 

"Kerana orang-orang yang tinggal di kampung-kampung berkenaan terdiri dari pelbagai bangsa dan masyarakat sekeliling, maka sekurang-kurangnya melalui peluang ini, para penduduk dapat mengetengahkan pendapat atau permasalahan yang mereka hadapi untuk diberi perhatian pihak-pihak tertentu dengan mengemukakan beberapa penyelesaian atau mengambil inisiatif mengenainya," jelas beliau.

 

Namun di masa akan datang, beliau berharap agar pihak Jabatan Penerangan turut melibatkan sama beberapa syarikat NGO untuk turut serta, ini kerana sebahagian daripadanya adalah melibatkan pihak NGO seperti housing maintenance, penjagaanpersekitaran seperti pemotongan rumput dan sebagainya yang mana ada didapati pihak-pihak syarikat yang dilantik tidak menyempurnakan atau menjalankan kerja mereka dengan baik.

 

Perkara itu turut disokong oleh Awang Haji Ahmad Basar bin Haji Salleh, yang juga mengalu-alukan agar PMP ini dapat diadakan lebih dari dua kali dalam setahun bagi penduduk mukim dan kampung dapat mengikuti sebarang perkembangan terkini atau tindakan-tindakan yang telah diambil atau dilaksanakan dari isu-isu yang dibangkitkan.

 

Malah untuk membisaikan lagi acara sebegini di masa akan datang tambahnya, beliau mencadangkan agar pihak penganjur atau mana-mana pihak yang terlibat untuk memberikan peluang agar penduduk mukim dan kampung yang ikut sama hadir sesi muzakarah ini dapat menyuarakan idea atau pendapat mereka dengan lebih jelas lagi, bagi sama-sama membantu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

 

"Dari apa yang diperdengarkan melalui muzakarah ini, kami turut mendapati ada sebilangan isu yang dibangkitkan secara berulang-ulang dan sudah pernah ditimbulkan atau diketengahkan, namun bagi pihak kami selaku penduduk mukim dan kampung kadang-kadang tidak ada penyelesaian yang teratur dilaksanakan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan isu-isu yang dibangkitkan itu tergantung," terang beliau lagi.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar Penghulu dan Ketua Kampung lebih memainkan peranan mereka dengan turut mengadakan sesi muzakarah seperti seumpamanya ini agar penduduk mukim dan kampung dapat mengetengahkan lagi isu-isu tertentu untuk dijadikan perhatian dan dapat dibincangkan untuk tindakan pihak-pihak tertentu, dan dari PMP seterusnya dapat mendengar hasil atau tindakan yang dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan.


Attachments
Created at 01/02/2020 08:33 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 01/02/2020 08:33 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin