Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rombongan PMB kunjungi tempat bersejarah

‚ÄčRombongan PMB kunjungi tempat bersejarah.JPG

Rombongan PMB kunjungi tempat bersejarah 2.JPG 

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
 
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 Disember. - Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Jawatankuasa Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang, Mukim Serasa, meneruskan program berkenaan dengan mengadakan lawatan ke beberapa tempat di ibu negara.
 
Terdahulu rombongan yang terdiri daripada 34 peserta itu berpeluang melawat ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei.
 
Ketibaan rombongan disambut oleh Pemangku Penyelia pusat berkenaan, Awang Haji Bakar bin Haji Jaludin, yang juga menyampaikan Taklimat Ringkas kepada para pelawat sebelum mereka dibawa beredar ke galeri-galeri untuk meninjau bengkel tradisional, yang memaparkan aktiviti menenun kain, menganyam, pertukangan perak dan tembaga, pembuatan keris, tasbih, seni ukiran juga songkok.
 
Antara tujuan lawatan adalah untuk mengetahui sejarah dan latar belakang juga melihat lebih dekat bahan pameran dan galeri di pusat berkenaan, di samping bagi memberikan pendedahan kepada para peserta rombongan mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di pusat itu.
 
Rombongan seterusnya membuat lawatan ke Pusat Sejarah Brunei (PSB), dialu-alukan oleh Pegawai Sejarah Kanan, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad yang seterusnya menyampaikan Taklimat Ringkas mengenai Sejarah Penubuhan PSB, Visi dan Misi juga Tujuan PSB Ditubuhkan.
 
PSB, antara lain bermatlamat untuk menanamkan perasaan cintakan raja, agama, bangsa dan negara, di samping turut mendukung falsafah Negara Melayu Islam Beraja dan memasyarakatkan sejarah Negara Brunei Darussalam kepada rakyat dan penduduk negara ini.
 
Pada lawatan tersebut, rombongan dibawa melawat ke beberapa galeri pameran yang terdapat di pusat berkenaan, antaranya ke Galeri Era Kegemilangan Brunei yang memaparkan rentetan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Brunei, Hubungan Brunei dan Kuasa Barat, Brunei Pusat Perdagangan dan sebagainya.
 
Dewan Pameran Salasilah yang mempamerkan salasilah-salasilah yang mempunyai perkaitan penting dengan sejarah Negeri Brunei; Galeri Koleksi Manuskrip Borneo yang mempamerkan koleksi-koleksi manuskrip yang terdiri daripada beberapa dokumen dan surat perjanjian, bertarikh sekitar tahun 1846 hingga 1932.
 
Setelah itu, rombongan juga dibawa melawat ke Galeri Sejarah Brunei Tua yang mengandungi informasi berkenaan sejarah, Sejarah Brunei Tua atau Sejarah Awal Brunei, seterusnya ke Galeri Perlembagaan yang mengandungi rentetan peristiwa penting tentang sejarah awal Perlembagaan Negeri Brunei hingga kepada Pengisytiharan Perlembagaan Negeri Brunei pada 29 September 1959.
 
Tujuan utama PMB diadakan, antara lain untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan melalui sesi taklimat, dialog dan lawatan, agar masyarakat, terutamanya di peringkat akar umbi dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara, terutamanya dalam mencapai Wawasan Negara 2035.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membarigakan perkembangan juga usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat seperti melalui taklimat-taklimat dan lawatan-lawatan, di samping dapat mengukuhkan jati diri juga menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi negara.
Attachments
Created at 11/12/2019 02:23 PM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 11/12/2019 02:23 PM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin