Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Kenal pasti tanda awal unsur gejala social

DSCF7272.JPG

DSCF7192.JPG

Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 November. - Program Awasi Anak Kitani (AAK) anjuran Jabatan Penerangan melalui Jawatankuasa Program AAK bagi Mukim Berakas 'A' dengan Kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Biro Mencegah Rasuah (BMR) dan Syarikat IT Protective Security Services (ITPSS) Sendirian Berhad diadakan pagi tadi di Auditorium Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
 
Hadir selaku tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku Penghulu Mukim Berakas 'B' yang juga menjalankan Hal Ehwal Pentadbiran Mukim Berakas 'A'.
 
Lebih kurang 45 peserta termasuk Ketua-ketua Kampung tadahan Mukim Berakas 'A' menghadiri program tersebut.
 
Program dimulakan dengan ucapan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Pengerusi Program AAK yang antara lain menyatakan dalam dunia Revolusi Industri 4.0 yang dipenuhi dengan ledakan teknologi, ideologi, pengaruh dan maklumat yang boleh dihantar dan diterima dalam sekelip mata mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat.
 
Oleh itu tegasnya, adalah penting kita selaku ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa berawas dengan anak-anak kita, bagaimana mereka meluangkan masa, dengan siapa mereka bergaul dan mengenal pasti tanda-tanda awal jika ada unsur-unsur gejala sosial atau negatif. 
 
"Kesan penyalahgunaan dadah dan rasuah serta penglibatan dalam gejala-gejala sosial sudah pasti akan memberi impak kepada individu terlibat, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhan. Ia setentunya akan memberi kesan kepada kemajuan dan pembangunan negara jika negara dibelenggu dengan penyalahgunaan dadah, rasuah serta gejala sosial," tambahnya.
 
Dengan ada Program AAK katanya lagi, diharap akan dapat memberi manfaat kepada para peserta serta menambah ilmu para ibu bapa dan penjaga dalam membimbing anak-anak.
 
Para peserta kemudian diperdengarkan taklimat pertama bertajuk 'Mengenai integriti dan pencegahan rasuah' yang disampaikan oleh Penyiasat Khas Kanan, Awang Muhamad Hisham bin Abdullah yang antara lain mengenai rasuah, iaitu pemberian atau penerimaan suapan yang mempunyai maksud tertentu bagi mendapatkan balasan termasuk memberi, menerima, mencuba, menjanjikan dan menawarkan. 
 
Turut dikongsikan juga beberapa akta dalam pencegahan rasuah bagi hukuman yang terlibat dengan rasuah.
 
Taklimat kedua pula disampaikan oleh Pegawai Narkotik, Awang Saifulazli bin Abdullah yang menerangkan mengenai keburukan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat yang semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius. 
 
Taklimat tersebut juga turut mengongsikan maklumat dalam menghadapi anak-anak yang telah terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat ini.
 
Security Analyst, Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi dari Syarikat IT Protective Security Services (ITPSS) Sendirian Berhad seterusnya menyampaikan taklimat mengenai ancaman dan jenayah siber.
 
Turut dikongsikan ialah tip pengguna bijak dalam penggunaan teknologi termasuk panduan ibu bapa dalam mengawasi penggunaan IT dalam kalangan anak-anak.
 
Program AAK adalah salah satu aktiviti tahunan Jabatan Penerangan yang dirancang untuk diadakan di mukim-mukim seluruh negara secara berterusan di keempat-empat daerah bagi memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sesi taklimat dan pameran, terutamanya kepada para ibu bapa atau penjaga. 
 
Para peserta juga berpeluang bertanyakan soalan pada sesi soal jawab dan menyaksikan pameran Mobile Apps Jabatan Penerangan, Jualan Buku Terbitan Jabatan Penerangan serta Pameran dari BKN.
Attachments
Created at 27/11/2019 03:54 PM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 27/11/2019 03:54 PM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin