Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PMB penyampai maklumat, menyokong, menghargai usaha kerajaan membangun negara

PMB_News1_2.jpg

Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan \ Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

KUALA BELAIT, Selasa, 11 Disember. - Peserta-peserta Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang terdiri daripada penduduk-penduduk Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking menghadiri taklimat penerangan daripada beberapa agensi kerajaan yang dijemput, bertempat di Dewan Serbaguna Mau, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Juga hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Labi / Ketua Kampung Labi I. Juga hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Penolong Pegawai Penerangan, Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin, selaku Timbalan Pengerusi PMB bagi Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking, yang antara lainnya menjelaskan bahawa PMB merupakan salah satu landasan Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat rasmi dan maksud kerajaan melalui sesi taklimat, dialog dan lawatan, agar masyarakat, terutamanya di peringkat akar umbi dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara, terutamanya bagi mencapai Wawasan 2035.


PMB_News2.jpg

Pada majlis tersebut para peserta yang diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Merangking, Awang Raimey bin Abdullah selaku Ketua Peserta Kampung Merangking dan Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Bukit Sawat, Awang Haji Junaidi bin Teradi, selaku Ketua Peserta Kampung Bukit Sawat berpeluang mendengarkan taklimat.

Taklimat pada sebelah pagi tersebut dimulakan dengan Sesi Taklimat 'Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, antaranya menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan' dengan terperinci dan ini juga merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, di samping mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penduduk melalui Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara.

Sementara dalam Sesi Taklimat kedua dari Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri, bertajuk 'Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam' yang disampaikan oleh Pegawai Adat Istiadat, Awang Muhammad Zaizul bin Haji Daud, antaranya menjelaskan mengenai pengunaan Terasul dan Bahasa Pengganti Diri (Bahasa Dalam).

Manakala pada sebelah petang pula, para peserta berpeluang mendengarkan taklimat dari Darussalam Enterprise (DARe) bertempat di Auditorium, Anggerek Desa Technology Park.

Pada sesi taklimat yang disampaikan oleh Penasihat Perniagaan dan Perkhidmatan, DARe, Dayang Nazurah binti Razak menjelaskan mengenai fungsi dan peranan DARe dalam pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta objektif DARe untuk membangun perusahaan menjadi penggerak perkembangan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan serta membangunkan PMKS dengan menggalakkan budaya keusahawanan, menggalakkan sumbangan PKMS ke arah ekonomi juga membarigakan kepada peserta apa jenis bantuan yang disediakakn oleh DARe dan berkongsi sama peluang berniaga dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.

Taklimat pada sebelah petang diakhiri dengan taklimat dari agensi JobCentre Brunei yang disampaikan oleh Dayang Qairawani binti Haji Yacob dengan tajuk 'Isu Pengangguran dan Memilih Pekerjaan'. Isi taklimat antaranya menyentuh mengenai dengan peranan JobCentre Brunei dalam membentuk anak tempatan mencari pekerjaan.

Tujuan PMB adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membarigakan perkembangan juga usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, seperti melalui taklimat-taklimat dan lawatan-lawatan, dengan harapan untuk mengukuhkan jati diri dan menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi negara.

Program ini juga dapat memberi manfaat, pengalaman dan inspirasi kepada para peserta melalui taklimat-taklimat dan lawatan-lawatan yang dijalankan, bahkan program ini juga menjurus kepada mendekati orang ramai secara bersua muka yang masih relevan dalam zaman canggih sekarang kerana ia lebih bersifat 'personal' dan interaksi yang lebih berkesan juga dapat memberikan jalinan muhibah yang baik di antara warga Perkhidmatan Awam dan swasta bersama masyarakat.

Selain itu, melalui PMB itu juga ia dihasrat dapat menjadi salah satu medium dalam menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Yang Ke-72 Tahun, yang mana baginda menitahkan bahawa salah satu langkah ke arah pertumbuhan ekonomi ialah dengan meneroka sektor pertanian dan sektor tersebut sangat penting untuk kehidupan kerana ia memainkan peranan utama dalam pembinaan tamadun.


Attachments
Created at 15/12/2018 02:27 PM by Dayang Sabriah binti Awang Puasa
Last modified at 15/12/2018 02:29 PM by Dayang Sabriah binti Awang Puasa