Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
TUTONG, Khamis, 30 April. – Jabatan Penerangan menerusi inisiatif pelaksanaan Program Rehlatul Ukhuwah Penerangan terus berusaha untuk mendekati rakyat dan penduduk di negara ini tidak mengira kawasan bandar mahupun pedalaman.
Program Rehlatul Ukhuwah Penerangan, yang bermaksud Perjalanan Persaudaraan Penerangan, menggunakan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation kali ini diadakan di Taman Warisan Tasek Merimbun hari ini dengan penglibatan penduduk kampung di Mukim Ukong dan Mukim Rambai.
Program disertai oleh peserta yang mewakili agensi kerajaan selaku rakan strategik Jabatan Penerangan, serta Ahli-ahli Jawatankuasa Perhubungan Awam Kementerian-kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan (JPAKK & JJK) yang telah bekerja rapat dengan Urus Setia JPAKK & JJK dalam pelaksanaan program dan aktiviti perhubungan awam secara strategik melalui pendekatan berkenaan, agar program mempunyai impak nasional.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.
Program dimulakan dengan penyampaian Potret Wajah Kebawah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, serta Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bahan bacaan Jabatan Penerangan terkini di Sudut Penerangan yang ditempatkan di Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan.
Penyerahan berkenaan disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan kepada Pemangku Imam Balai Ibadat berkenaan, Awang Muhd. Ghazali bin Muhd. Ariffin.
Selan itu, turut menyumbangkan bahan terbitan ialah dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Pembangunan, dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Adapun Sudut Penerangan adalah sudut yang memuatkan bahan-bahan terbitan Jabatan Penerangan selaras dengan visinya ke arah 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat', di samping bahan-bahan terbitan daripada agensi-agensi kerajaan yang lain.
Selepas itu, rombongan bergerak ke lokasi utama program berkenaan, iaitu Taman Warisan Tasek Merimbun.
Acara dimulakan dengan penyerahan Potret Wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha kepada wakil Penghulu Mukim Ukong dan wakil Penghulu Mukim Rambai, diikuti dengan sesi permuzakarahan.
Pemangku Pengarah Penerangan semasa berucap menjelaskan bahawa Program Rehlatul Ukhuwah Penerangan merupakan platform komunikasi dua hala di antara pihak kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta dengan rakyat serta penduduk bagi meningkatkan kefahaman mengenai inisiatif kerajaan, NGO serta swasta berkaitan pembangunan negara, di samping sama-sama meningkatkan penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh penduduk kampung.
Setelah itu, para penduduk di kedua-dua buah kampung berkenaan juga berpeluang berdialog bersama agensi- agensi kerajaan yang antaranya berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.
Agensi-agensi yang menyertai program berkenaan termasuk dari Jabatan Perdana Menteri, iaitu Jabatan Perkhidmatan Elektrik, PPDB; KKBS, iaitu Jabatan Muzium-muzium Brunei; KSSUP, iaitu Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kemajuan Pelancongan; Kementerian Pembangunan, iaitu Jabatan Kerja Raya Cawangan Daerah Tutong, Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah, Jabatan Saliran dan Pembetungan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi); dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, iaitu Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)